www.flickr.com

Wednesday, January 13, 2010

Ahmadinejad

Setelah membaca Ahmadinejad: The Secret History of Iran's Radical Leader, buku Kasra Naji, saya mendapat sikap baru. Tidak lagi melihatnya dalam bentuk tanpa-kritis. Tidak lagi menyimpan sikap. Kini, sampai saatnya menaakul.

Untuk mendapat kebebasan, maka kita tak seharusnya memenjarakan sikap kritis. Memang, dalam beberapa hal, Mahmoud Ahmadinejad boleh dipuji. Tapi ada banyak hal juga yang boleh membawa kita menimbang balek setiap tindakannya.

Tampaknya, Ahmadinejad cuba membawa retorika ke pentas keperluan. Sekilas, salamannya dengan wanita-tua, gesaannya agar wanita dibenar menyaksikan bolasepak di stadium, tindakannya melantik menteri wanita, penekanannya pada mardomyar (pelayan rakyat), sepertinya bernuansa dinamik, juga politik.

Tapi, dalam semua janji dan tindakan itu, kelihatan kesempitan hidup rakyat Iran belum terselesai, malah makin terlihat mendesak. Tatkala membaca Hamid Dabashi (A Window into the Iranian Civil Rights Movement), juga Hooman Majd (It's A Civil Right Movement, Not A Revolution), maka gelombang hijau (mowj-e-sabz) itu barangkali tiba pada saat yang tepat, lebih-kurang setiap 30 tahun sekali.

Retorika, meskipun atas nama Mahdaviyat, itu ternyata takkan bermakna apa-apa, jika tak disusuli dengan tindakan praktis. Maksud tindakan praktis ialah, menjaga ruh revolusi Islam dalam garis semangatnya. Apa semangat revolusi Islam? Suara rakyat. Sebab, tanpa suara rakyat, sistem velayat-e faqih sekalipun takkan dilembagakan.

Kini, di bawah keraguan suara rakyat, velayat-e faqih mula dilekatkan dengan kata mutlak (velayat-e mutlaq-e faqih). Amat malang sekali, jika kita terhenti pada titik ini. Titik mutlak pada sebuah sistem teori. Saya ada keyakinan peribadi, Iran, meskipun disuguhkan dengan sekularisme, akan tetap saja berpaut pada agama.

Justeru, tak perlu gentar dengan apa yang selain Islam. Kerana, pada akhirnya, yang benar itu yang menang. Biarpun, bukanlah kemenangan itu adalah kehendak hakiki. Maka, mowj-e-sabz itu pasti bukanlah revolusi baru, tapi semangat rakyat.

Dalam pengalaman Iran, tradisi rakyatnya terbukti tak pernah kenal putus-asa. Inilah--yang sampai dewasa ini--membezakannya dengan Malaysia.
Powered by Telkomsel BlackBerry®

No comments: