Mim Mesle Madar, M untuk Ibu, tentunya sebuah kesah tentang ibu. Kesah perjuangan atas nama kaseh-sayang.
Semalam, saya sempat menonton filem 'melelahkan' ini. Lelah, kerana saya berada di luar sepertinya awal-awal mahu menentukan jalan cerita. Memaksa naratif sendiri pada wilayah bukan kekuasaan kita. Tapi, pasti, takkan kesampaian, atau mungkin juga tiada kesabaran.
Di sini, di Iranian Corner, memang setiap Juma'at ada tayangan filem Iran. Biarpun sebahagiannya tanpa sarikata, termasuk "M untuk Ibu" ini. Namun, bantuan langsung dari guru Farsi sekurang-kurangnya dapat membantu. Benar juga, filem adalah proses dan elemen yang baik untuk belajar bahasa.
Entah, apa lagi rahsia bahasa ringkih ini. Pada saya, bahasa Farsi amat indah. Lagu-lagunya, biarpun tak faham, begitu mengesankan. Begitulah musik yang terselit dalam Mim Mesle Madar ini. Sayu, menyentuh, dan membangkitkan.
Dalam filem ini, nama ibunya, Sapiedeh. Ayahnya Sohail. Dan, anaknya Saeed. Kesah bagaimana sang Ayah yang seorang diplomat yang tak sedia menerima kelahiran dan kehadhiran seorang anak yang cacat. Maklum, rasa terhurmat dari jiwa diplomat.
Setelah terlibat dalam pasukan kesihatan perang Iran-Iraq, Sapiedeh rupanya turut terkena gas kimia. Maka, kesannya bertahun kemudian, wujud pada diri Saeed itu. Anak kecil ini, sepanjang hidupnya, bergantung pada alat dan ubatan khusus untuk terus bernafas.
Akhirnya, tinggal ibunya membesarkan Saeed. Sendirian, dan awalnya ditemani oleh ibunya, neneknya Saeed. Dari kudrat yang berpangkat ibu-lah, segala keperluannya diusahakan. Teman penawar hati yang lain bagi mereka ialah violin. Dari violin dan mesin ketik, hidup mereka disara. Saya bertanya pada guru, "apakah di Iran, memainkan violin adalah kebiasaan." Katanya, "ya." Malah, bagi mereka, seni dan muzik tersebati dalam tubuh bangsa ini.
Lantas, kalau begitu, tak hairan filem-filem dari Iran sentiasa ada pesan untuk kita tangkap. Kalau di hadapan kita, Mim Mesle Madar adalah contohnya. Ini sekaligus turut mengingatkan saya pada filem pertama yang ditonton di pawagan, Baran (Hujan), yang juga filem Iran.
Tapi, bukankah--tentang Iran--yang tergenang dalam fikiran kita selama ini, bukan hanya filem. Sebaleknya, termasuk juga kucing, permaidani, dan nuklear. Untuk kucing dan permaidani, itu adalah kata Hooman Majd sendiri, dalam The Ayatollah Begs to Differ.
Di sana, Iran adalah warna-warni. Kalau kita cuba mencari buku tentang pengalaman kembara di Iran, itu cukup meluas sekali. Bukan seperti Malaysia, yang katanya negara warna-warni, Truly Asia, tapi tak sekelumit pun menarik wartawan asing menulis pengalamannya di Malaysia. Tandus.
Walau bagaimanapun, sejauh mana kita kembara, barangkali kaseh dari madar takkan ada batasannya. Paling berbekas. Mungkin hal ini akan kita lebih fahami sekiranya kita sendiri menjadi ibu. Bukan ayah (yang dalam kelas berbeza).
Di sana, Sapiedeh cemerlang membuktikan.
Powered by Telkomsel BlackBerry®
1 comment:
Salam.
Saya menonton mim mesle madar tanpa faham bahasanya. Tapi saya dapat menangkap wacananya. Terima kasih menjelaskan serba sedikit tentang latar mengapa ibu dan anak ditinggalkan. Barulah saya tahu.
Menariknya, dalam filem ini, tiada satu pun adegan pegang-pegang antara pelakon meski melakonkan adegan gurauan suami isteri atau sewaktu suami melihat kesakitan isteri. Pun, saya masih dapat melihat kemesraan dan keprihatinan suami tersebut.
Baru-baru ini saya menonton filem Iran, 25 hours, di astro oasis. Si anak lelaki itu tidak mencium ibunya secara langsung tetapi mencium selendang ibunya dengan syahdu, bagi menggambarkan kerinduannya. Juga pandangan matanya yang menusuk ke wajah ibunya dapat memberi kesan betapa kerinduan itu amat mendalam.
Pada saya, hal ini wajar difikirkan oleh penggiat seni beragama Islam, supaya nanti tidaklah ada yang mengatakan "itu hanya dalam filem....", seolah-olah hukum Islam itu bertempat sifatnya. Kreativiti akan dapat memberi jawapan bagaimana untuk menggambarkan adegan-adegan sedemikian.
Wallahua'lam.
Wassalam.
Post a Comment