www.flickr.com

Tuesday, February 9, 2010

Fenomenologi Levinas - Husserlian

Sebelum menyelak fenomenologi Levinas, maka penting untuk kita mengenal latarnya terlebih dahulu. Sebelumnya, kita sudah mengenal latar-kehidupannya, serba-sedikit. Namun, kali ini, adalah mengenal latar-intelektual yang akan mempengaruhi fenomeologinya. Tentu sekali, harus kembali pada gurunya, Edmund Gustav Albrecht Husserl itu.

Justeru, di sini, kita akan mengupas Husserl, dari rangkuman bukunya— Ideen zu einer reinen Phänomenologie und phänomenologischen Philosophie (Ideas: General Introduction to Pure Phenomenology) itu.

Sebenarnya, Husserl tak bermula dengan filsafat. Tapi, dengan matematik. Sebab itu, buku pertamanya berjudul, Philosophie der Arithmetik (Philosophy of Arithmetic). Jadi, usah aneh, sekiranya fenomenologi yang dibangunkan Husserl itu kelihatan sarat sekali dengan citra matematik—iaitu sebuah pengetahuan yang menekankan elemen, pasti (certain) dan tepat (exact).

Tapi, apa yang menarik dari Ideen zu einer reinen Phänomenologie und phänomenologischen Philosophie ini?

Subjek dan objek

Nah, Husserl di sini adalah filsuf yang bercita-cita untuk membina sebuah “sains baru.” Namun, sains baru yang dimaksudkan ini bukannya dalam erti yang mudah kita fahami, seperti fizik, biologi, kimia, dll itu. Sebaleknya, sebuah sains yang dekat dengan filsafat. Tepatnya lagi, sebuah sains yang benar-benar mahu menyelidik sesuatu objek itu dengan apa-ada-nya (fenomen), atau terhadap apa yang menampakkan dirinya (that which apperars), atau juga dalam ungkapannya, zurück zu den Sachen selbs.

Justeru, Husserl enggan menggunakan pendekatan lazim dipakai dalam sains. Jadi, mahu atau tidak, Husserl dalam waktu yang sama, juga harus mencipta sebuah kaedah untuk tujuan ini, iaitu fenomenologi itu. Persoalannya, bagaimana Husserl membentangkan semua gagasannya ini?

Bermula di sini, kita kita harus peka pada dua kata bermakna: subjek dan objek, dan kemudian beragam lagi istilah yang akan diserlahkan. Memang, sebenarnya Husserl ini adalah jaguh dalam mencipta istilah-istilah, dengan lampiran pemaknaannya yang tersendiri. Tak hairan, jika ada pemikirannya yang sulit untuk ditebak, melainkan terpaksa melanjutkan pada teks-teks muridnya yang lain, bagi mendapatkan sebuah gambaran yang tepat, dan menyeluruh.

Apapun, kata subjek dan kata objek adalah dua kata yang sering bermain dalam wacana filsafat, termasuk ketara sekali dalam fenomenologi Husserl ini.

Hurainnya, barangkali boleh dimulakan begini. Husserl, seperti yang ditegaskannya, merumuskan objek itu adalah sasaran pengetahuan itu sendiri (the object of knowedge), manakala subjek (manusia) itu adalah objek tindakan untuk mengetahui (the act of knowing). Justeru, objek itu sudah tentu bersifat atemporal, iaitu takkan berkadar dengan masa sewaktu kita mahu mengamatinya. Setiap hal yang diobjekkan, adalah sentiasa berada pada tempatnya, statik.


Sementara, subjek, iaitu diri kita, itu adalah temporal, serta ada tempoh masa pengamatannya. Bertolak dari kedua pemisahan ini, Husserl akan memisahkan antara dua kata lain, iaitu logik dan psikologi (selain real/ideal dan fakta/esensi).

Logik dan psikologi

Mengapa ada jarak antara logik dengan psikologi? Tanggapan Husserl, psikologi itu pengetahuan yang bukan asli lagi, dan sudah berbaur dengan hal-hal lain. Sebaleknya, logik adalah pengetahuan asli (seperti apa yang menampakkan diri). Sebab itu, logik ini hanya terdapat pada subjek, bukannya pada objek. Menarik dalam buku ini, Husserl memulakan dari subjek lalu menuju kepada objek, dan kemudiannya akan kembali semula pada subjek. Ini kerana, tujuan sebenarnya dari “sains baru” ini adalah untuk kesedaran subjek itu sendiri.

Ternyata, subjek adalah matlamat akhir Husserl. Lantaran itu, sebetulnya pada Husserl, dalam usaha menyelidik objek-objek tertentu, atau berhadapan dengan objek-objek tertentu, maka tindakan itu semua akan mendorong manusia untuk bernalar. Ini akhirnya seperti mahu membongkar dan mengerti siapa itu manusia (objek). Subjek ditemui, dan diungkapkan. Lalu, batas inilah yang berbeza dengan sains moden, yang lebih menumpukan pada hasil/produknya (objek), bukannya diarahkan pada subjek itu sendiri.

Mithalnya, kita menerjemahkan ini dalam bahasa matematik. Apakah benar 2 +5 = 7? Apakah persoalan ini juga laku di mana-mana?

Memang, kita akan menjawab benar, tatkala telah menurunkan konsep ini dalam objek. Dua kerusi + lima kerusi = tujuh kerusi. Tepat!

Namun, kalau pada Husserl, bukankah itu hanyalah jawapan psikologi kita saja--yang rupa-rupanya lebih awal mengandaikan angka dua, lima dan tujuh? Jadi, itu bukannya sesuatu yang nyata. Lalu, apakah sesungguhnya ada dua, ada lima, ada tujuh, malah ada angka itu sendiri? Tidakkah, di sini kelihatannya matematik itu turut mengusung nilai-nilai psikologi. Ini mungkin benar, sebab tak pernah ada sebuah kepastian bahawa selama-lamanya, 2 + 5 = 7, melainkan kita membubuhkan dahulu pengandaian/psikologi.

Logik dan Psikologi ini, adalah dua ranah yang cuba dileraikan Husserl. Padanya, kalau benar-benar mahu membangunkan sebuah “sains baru”, itu mestilah berteraskan logik, bukannya psikologisme.

Sebab itu, pada bahagian awal fenomenologinya, Husserl begitu keras sekali mengkritik pandangan psikologisme ini. Menurutnya, psikologisme ini sebetulnya adalah hukum-hukum ‘yang dikira’ logik serta cuba didasarkan pada keadaan-keadaan psikis kita. Akibatnya, yang memeriksa/menyemak hukum logik itu adalah psikologi, bukannya logik. Kekuasaan penuh pada psikologi ini yang kemudiannya menerbitkan istilah psikologisme itu.

Lantas, untuk projek ini juga, Husserl membayangkan subjek itu adalah berada di luar pengetahuan (objek). Sebab, subjek itu memikir, menilai, merumus, dll (sebuah kegiatan di luar objek), sedangkan objek itu adalah apa yang difikirkan, apa yang dinilai, apa yang dirumus, dll (oleh subjek). Kerana itu, Husserl turut membicarakan tentang pengalaman. Memang, sains moden turut berkaitan dengan pengalaman (pengamatan). Benar.

Namun, pengalaman seperti ini tidak merujuk-langsung kepada urusan kesedaran, pengembangan-diri, atau kembali pada subjek itu sendiri. Justeru, elemen ini yang kemudiannya menjadi sesuatu yang berharga dalam fenomenologi Husserl.

Maka, dalam catatan awalnya, Husserl sering membahaskan tentang logik dan psikologi, supaya jelas apa perbezaannya. Tindakannya ini penting, untuk mengelakkan salah-faham, serta mengelakkan suasana "jangan-jangan yang sedang dideskripsikan itu tentang objek semata, bukannya (kembali) tentang (kesedaran) subjek."

Makna objek

Di samping itu, penting untuk dijelaskan bahawa objek bagi Husserl, bukan hanya terbatas pada benda saja. Hatta, boleh juga objek itu adalah sesuatu yang difikirkan, sepertimana kemanusian/ kebaikan/ ketakutan/dll. Sebab, kita (subjek) tak pernah melihat sebuah objek yang bernama kemanusian/ kebaikan/ ketakutan/dll. Mudahnya, pada Husserl, selama boleh diintuisikan, maka itu adalah objek. Atau, selama boleh dijadikan objek oleh subjek, maka itu adalah (fenomen) objek.

Hal ini barangkali mengimbau kita kepada perbezaan yang dibuat oleh Heidegger antara “ketakutan” dengan “kecemasan.” Pada Heidegger, kedua-duanya adalah objek. Namun, yang membezakan antara keduanya: adalah ketakutan itu merujuk kepada sesuatu yang ada bendanya, manakala kecemasan itu merujuk kepada sesuatu yang tiada bendanya. Tapi, kedua-duanya, maseh tetap objek. Ini sama juga jika diibaratkan tentang keresahan terhadap keadaan politik tanahair, itu juga boleh dibawa dalam definisi objek Husserl tersebut.

Transendental subjektiviti

Namun, ada sebuah persoalan yang tak selesai, yang tentunya berakar dari subjek-objek tersebut. Bagaimana sebenarnya Husserl menjelaskan tentang logik (subjek, sains baru), yang cuba mengambil-alih kekuasaan psikologi (objek, sains moden) ini? Menurut Husserl, hakikatnya logik itu adalah pengetahuan bukan-empiris, manakala psikologi itu adalah pengetahuan empiris.

Ini kita sudah jelaskan sebelumnya, bahawa emperis itu adalah merujuk kepada psikologi, manakala bukan-empiris itu merujuk kepada logik. Mengapa psikologi dikaitkan dengan empirisme? Sebab, empirisme itu ada hubungan dengan pengalaman.

Lagi pula, psikologi itu adalah pengetahuan yang kabur, dan tak pasti, serta boleh berubah-ubah bergantung pada tahap pencerapan dan keadaan pencerapan kita. Sebaleknya, logik adalah hasil yang pasti dan tepat, dan ini projek pembangunan-pengetahuan yang mahu dikembangkan Husserl. Barangkali, harus dinyatakan, persoalan Husserl ini ada sentuhan sedikit sebanyak dengan Hume (causality) dan dengan Kant (transcendental).

Mithalnya Kant, transendental yang dimaksudkan adalah berkaitan dengan syarat-syarat pemerolehan pengetahuan, lalu syarat-syarat ini mestilah dipenuhi sebelum terungkapnya sebuah pengetahuan. Jadi, di sini, ada istilah transendental a priori. Sebab itu, konsep ruang dan waktu, itu buat Kant adalah bersifat a priori transendental.

Namun, pada Husserl pula, transendental bermaksud lain, iaitu sesuatu yg sudah diabastraksi dari aplikasi alam (nature) mahupun nudaya (culture). Maka, di satu sisi, Husserl dan Kant ada persamaan metafizik. Sebab, konsep ideal Husserl denagn konsep transendental Kant itu pada searah. Mithalnya, sebuah kerusi berwarna coklat. Kalau kerusi diabstraksi, itu akan lahirnya kecoklatan, dan kecoklatan itu merupakan sebuah transendatal, juga sebuah ideal. Sebab, ternyata, kecoklatan itu tak pernah diamati.

Dalam bahasa lain, ini juga dikenal sebagai transendatal subjektiviti, iaitu subjek yang bersifat transendatal, atau subjek yang sudah diangkat dari aplikasi alam dan budayanya. Justeru, tugas subjek ini adalah untuk mencari isi pengetahuan yang tuntas. Jadi, boleh juga dikatakan, gagasan Husserl ini adalah langkah untuk membawa "sains baru" kepada transendental subjektiviti.

Nah, sebuah pertanyaan, apakah "sains baru" ini juga akan menjadi perhatian Levinas? Tentu, kerana nantinya Levinas akan bicara hal yang sama, iaitu frasanya, eidetic pada esensi transendental subjektiviti. Sebagai catatan, eidetic itu berkaitan dengan forma. Kalau dalam Plato, manusia itu adalah spesis, dan di atas itu adalah kemanusiaan. Dan, kemanusiaan inilah adalah eidetic. Kemudian, pada saat ini, Husserl akan membawa kepada perbahasan mengenai intersubjektiviti, dan ini yang kelak dikembangkan oleh Levinas juga.

Sampai ke takat ini, kita sudah diperkenalkan dengan subjek dan objek, yang darinya melahirkan dialektika (biarpun ini bukan istilah Husserl), kepada tindakan mengetahui/objek pengetahuan, psikologi/logik, temporal/atemporal, fakta/esensi dan real/ideal.

Ideal

Baik, kita singgah pada wacana tentang “ideal” pula. Kata "ideal" ini sebenarnya dirujuk Husserl pada suatu tahap di mana sebuah pengetahuan yang tak bergantung pada yang lain lagi. Lihat saja kerusi tadi, pengetahuan dirinya akan terus kekal begitu (objek), melainkan ada subjek yang mengamatinya. Jadi, jika kemudiannya subjek hadhir mengamatinya, maka pengetahuan itu menjadi real, iaitu, ekoran sudah bergantung pada psikis subjek. Lagi, kenapa menjadi real? Kerana, subjek yang mengamati objek itu boleh berubah-ubah, menurut masa, menurut kehendak, dll.

Jadi, barangkali, ideal yang dimaksudkan Husserl di sini mungkin ada mirip-mirip dengan Theory of Forms bagi Plato, tentang sesuatu yang tak berubah itu.

Nah, setelah membezakan antara ideal dengan real, sekaligus juga membezakan antara ensensi (essence) dengan fakta (facts) itu. Ensensi itu adalah merujuk pada inti objek itu, manakala fakta itu merujuk kepada intelektual subjek sewaktu mengamati objek. Itu yang melahirkan sebuah fakta tentang objek. Hal ini sudah tentu dapat diperoleh menerusi cara mempersepsikannya, yang Husserl sebut sebagai intuition, Vorahnung, intuisi. Ertinya, subjek mengalami-langsung objek tersebut, dan ini adalah bersifat intelektual. Maknanya, itu adalah esensi hakiki dari objek itu.

Untuk lebih memahami, kita boleh guna contoh kerusi berwarna coklat lagi. Bagi Husserl, coklat ada sebuah terbitan dari yang lebih besar, iaitu kecoklatan (brownness). Selain itu, ada juga elemen warna (color). Jadi, sewaktu kita mengintusikan kerusi berwarna coklat, sebenarnya kita juga mengintusikan kecoklatan dan warna, di mana semua ini hakikatnya secara tersirat sudah tertanam dalam coklat itu sendiri.

Jadi, psikis dalam intusi Husserl ini takkan jatuh pada model psikis-nya Nietzsche yang diketahui sudah terselubung dengan idealogi-nya. Model Husserl ini lebih bersifat pasti, manakala model Nietzsche itu kabur, dan tak-pasti, serta bermain-main dengan kemungkinan-kemungkinan. Sebab itu, filsafat Nietzsche tidak pernah ada kemutlakkan.

Tapi, sebentar, mungkin ada pertanyaan baru, apakah mungkin saja psikis setiap subjek itu sama? Bukankah setiap subjek punya tahap pemikiran yang berbeza-beza menurut individu?

Di sini, Husserl jelas. Padanya, psikis itu dirujuknya pada mental, iaitu konsep mental itu. Maknanya, mental adalah psikis. Maka, tatkala Husserl mahu menerangkan mengenai sensation (iaitu sewaktu subjek menafsir sesuatu objek), itu adalah merujuk kepada subjek yang sedang merasakan sesuatu. Justeru, jika setiap subjek yang melakukan pengamatan, pasti akan merasakan sesuatu. Rasaan itulah yang dimaksudkannya dengan psikis, dan yang dimaksudkannya dengan kegiatan-intelektual. Bukannya daya-kemampuan pengamatan!

Kemudian, pada tangan murid-muridnya, sama ada Heidegger, Levinas, Merleau-Ponty, masing-masing akan membawa kepada arah yang lebih kompleks lagi. Mihtalnya, Heidegger itu tak banyak merungkai bahagian intelektual, tapi pada bahagian Dasein, iaitu cara-mengada serta ini lebih bernuansa eksistensialisme. Sementara Merleau-Ponty pula menumpukan pada fenomenologi tubuh. Pokoknya, murid-murid Husserl, termasuk Levinas, akan pergi ke batas yang lebih jauh, dan lebih ekstrim lagi.

Seperti Husserl, yang setelah menghurai lebar mengenai objek sebelum kembali semula pada subjek, maka kita juga begitu. Mari kita kembali, apakah sebenarnya faedah Husserl membicarakan sampai sejauh abstrak begini? Tentu sekali, semua yang diusahakan Husserl ini adalah kerana sebuah demi, iaitu mahu mencipta sebuah "sains baru" yang tak lagi terperangkap dengan psikologi.

Justeru, mencermati fenomen-fenomen secara logik inilah, yang kemudian dinamakan fenomenologi Husserlian, sebelum nantinya projek ini disambut pula oleh fenomenologi Levinasian--secara lebih tajam lagi.

No comments: