Ini tentang pengatar fenomenologi. Bukan fenomenologi pendirinya, Edmund Husserl, tapi fenomenologi pada Emmanuel Levinas, dan Levinasian.
Ternyata, teks Levinas memang berat. Membacanya sungguh sulit. Malah filsuf besar sendiri, Jacques Derrida, pernah berujar bahawa membaca Levinas seperti “ombak yang menghempas pantai,”--dengan berkali-kali menghempas, kemudian surut dan menghempas lagi. Sebab itu, membaca satu atau dua halaman dari teks Levinas, seharusnya direhatkan dahulu, dan dibawa ke dalam fikiran sendiri. Mungkin memang demikian sifat filsafat Perancis. Walau bagaimanapun, bukankah ini tujuan filsafat: mengajak berfikir, bukan mendorong menghafaz semata. Lain seperti filsafat Jerman, yang kelihatannya lebih sistematik.
Levinas itu Yahudi, yang bertuah terlepas dari maut-nya kem konsentrasi. Namun, pernah dipenjarakan, sebelum dibebaskan.Pemenang anugerah Balzan Prize for Philosophy ini lahir di Lithuania (1906) dan meninggal pada Hari Natal (1995). Lithuania ketika itu adalah di bawah wilayah Soviet Union (USSR). Maka, sudah tentu Levinas turut terbiasa dengan teks-teks dan weltanschuung Russia. Malah, Fyodor Mikhaylovich Dostoyevsky adalah minatnya. Selain itu, Levinas turut dekat dengan Talmud, serta kitab-kitab suci Yahudi yang lainnya. Maka, tak hairan Levinas begitu faseh menguasai bahasa Hebrew, selain Russia dan Perancis.
Sesudah itu, keluarganya pindah ke Perancis, iaitu di Strasbourg, dan menekuni filsafat. Kemudian, Levinas ke Freiburg, untuk menuntut di bawah Edmund Husserl, yang ketika itu professor besar di fakulti filsafat. Selain dekat dengan Husserl, Levinas mula berkenalan dengan Heidegger, yang kebetulan juga merupakan murid Husserl. Mereka sama-sama murid perintis fenomenologi itu. Kedekatan ini jelas sepanjang 1928-1929. Kemudian, Heidegger pula menggantikan kedudukan Husserl di Freiburg. Di sinilah, Levinas menyelesaikan doktoratnya dengan tesis, La théorie de l'intuition. Tesis yang dijadikan buku pertamanya ini diselesaikan sewaktunya berumur 24 tahun.
Akibat terpukau dengan Heidegger, terutamanya dengan Sein und Zeit (SZ), merangsang Levinas untuk menulis tentang Heidegger, khususnya tentang fenomenologinya. Lalu, Levinas memulakan penulisan makalah terlebih dahulu. Kekagumannya pada Heidegger pasti kerana SZ yang dianggapnya sangat monumental. Bilangnya, “sekiranya ada lima buah karya filsafat terbesar sepanjang zaman, SZ adalah salah-satu antaranya.” Buku SZ ini juga merupakan kembangan Heidegger dari filsafat Plato tentang konsep manusia, terutamanya konsep “mengada” (Sein) itu.
Malangnya, pada 1933, Heidegger memileh menyertai Parti Nazi—yang ketika itu pesat berkembang dan cukup popular di Jerman. Mungkin waktu itu, jauh-jauh sebelum perang dunia II, idealogi Nazi maseh lagi bersifat ketaksaan. Namun, keputusan Heidegger itu tetap mengecewakan Levinas. Jadi, kerana itu, hubungan antara kedua filsuf ini mulai renggang. Lantas, Levinas mengabaikan projek bukunya tentang Heidegger tersebut--meskipun kekagumannya pada SZ tak pernah padam. Tapi, selain sanjungannya pada SZ, Levinas tak henti-henti menyindir, malah mengkritik etika/sikap Heidegger lebih-lebih tentang politik. Katanya, “apakah boleh diterima seorang filsuf yag menulis buku SZ yang hebat, tiba-tiba menjadi seorang Nazisme.” Sebab itu, pada Levinas, setiap filsuf mesti ada etika-nya, yang menunjukkan nilai praktis dari setiap gagasannya.
Bahkan, pada Levinas lagi, setiap filsafat seharusnya punya etika. Penegasan, dan perhatiannya yang berkali-kali pada cabang filsafat etika ini turut dikatakan menyaingi kemashyurannya dalam fenomeologi. Barangkali kerana penekanan Levinas ini, khalayak filsafat di Perancis mula memerhatikan soal etika, termasuklah Deridda itu sendiri. Malah, Derrida turut menyatakan bahawa dekonstruksi-nya juga sarat etika, bukan saja hanya idea. Tapi, akhirnya, seringkali juga persoalan etika ini menjadi momokan, atau cibiran, serta mudah terseret dengan ragam tafsiran.
Tapi, mengapa Levinas begitu kecewa tatkala Heidegger memilih Nazi? Bukan tebakan lagi, seluruh keluarga Levinas terkorban di kem konsentrasi. Mujur, isterinya dan seorang anaknya dapat diselamatkan—dari shoah atau holocoust itu—setelah berjaya disembunyikan ketika serbuan tentera Nazi. Sebab itu, sampai hayatnya, levinas bertekad takkan menjejak kaki ke Jerman. Itu ditepatinya. Anehnya, dalam penindasan Nazi ini, alih-alih, di sana, Heidegger dikatakan Levinas telah bersengkongkol dengan Nazisme. Itu yang sangat sulit diterimanya.
Namun, kepedihan dari Nazisme ini tak menghetikan kegiatan filsafat Levinas. Pada 1943, levinas menulis De l'Existence à l'Existant. Buku ini maseh lagi tebal bayang-bayang Heidegger, terutamanya SZ. Mithalnya, perkataan l'Existence itu adalah merujuk kepada Sein, dan salah satu konsep besar Heidegger yang lain ialah Dasein, iaitu (ada-adaan) boleh dikaitkan kepada l'Existant tentang manusia yang sesungguhnya; ontologi, metafizik, dll. Manakala, konsep time itu adalah terlembaga secara langsung dengan Being itu sendiri. Jadi, l'Existence dan l'Existant itu sering disebut sebagai sebuah permainan kata filsafat dari Levinas untuk ‘menandingi’ filsafat Heidegger.
Kemudian, pada 1961, Levinas menulis magnum-opusnya, Totalité et Infini: essai sur l'extériorité, lalu disusuli sebuah lagi karya besar, pada 1974, Autrement qu'être ou au-delà de l'essence. Buku ini juga buku besar Levinas kerana cuba mengupas apa yang tak dilakukan Heidegger, iaitu setelah being itu sendiri. Di sini Levinas, mahu melampaui SZ itu sendiri. Kerana sakan kecewanya pada Nazisme, juga pada Heidegger, buku ini diabadikan Levinas pada enam juta Yahudi yang terkorban dalam “shoah” itu. Setelah itu, dihujung-hujung usianya, gagasan Levinas diwarnai agama, sampailahnya meninggal.
Ketika acara semadi Levinas, Derrida hadhir, dan membacakan catatan, yang kemudian dijadikan buku, “Adieu to Emmanuel Levinas.” Benar, kata Adieu ini boleh bermakna "selamat jalan," atau juga sebenarnya boleh bermuara dari “a Diew” iaitu mengarah pada tuhan, suatu rujukan pada khatimah-nya Levinas, dan biarpun belum tentu berakhirnya Levinasian. Sebab, hujung-hujungnya, Levinasian turut mempengaruhi filsuf fenomenologi yang lainnya, seperti Merleau-Ponty, Ricoeur, dll.
Monday, February 1, 2010
Fenomenologi Levinas
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment