www.flickr.com

Tuesday, April 6, 2010

Justinus Sudarminta: Falsafah Bahasa Wittgenstein

Bahasa, secara tersurat atau tersirat, adalah minat semua kalangan, lebih-lebih lagi dari kalangan filsuf. Bahkan, Habermas sendiri, pemikir yang menekankan muafakat (consensus) itu pun turut memerlukan bahasa sebagai medium pada gagasan komunikatifnya. Bahasa, memang sifatnya adalah penyambung, bukan saja antara kelompok, hatta juga antara manusia dengan realiti. Lantaran itu, Ludwig Wittgenstein, mengangkat wacana bahasa ini diangkat ke tingkat falsafah—gara-gara peranan bahasa dalam realiti. Tapi, apa yang menarik dari filsuf kelahiran Austria ini? Tentu saja, darinya termuara dua jalur falsafah. Satu, Wittgenstein I, yang begitu menekankan bahasa formal (formal language). Maknanya, bahasa menurut Wittgenstein I, adalah bahasa yang seharusnya sebalas dengan realiti. Ibarat kata masyhurnya, “apa yang memang dapat dikatakan, katakan dengan jelas. Dan, apa yang tidak dapat dikatakan, sebaiknya diam.” Dan dua, Wittgenstein II, adalah bahasa sehari-hari (ordinary language). Pada Wittgenstein II jelas mengkritik Wittgenstein I, maksudnya mengkritik dirinya yang lalu, kerananya mula menyedari bahawa ada bahasa yang tiada rujukannya dalam realiti-konkrit manusia. Wawancara AQIL FITHRI bersama JUSTINUS SUDARMINTA, filsuf bahasa dari Sekolah Tinggi Filsafat Driyarkara (STF Driyarkara) ini, justeru membawa kita menyelami falsafah bahasa dari dua citra Wittgenstein ini.

Sejauh mana latar belakang keluarga mempengaruhi terhadap perjalanan falsafah Wittgenstein?

Kalau ditanya latar keluarga, itu tentunya melibatkan persoalan psikologi. Tapi, untuk memahami secara tepat mengenai persoalan ini, memanglah sangat sulit, melainkan ada catatan yang ditinggalkan oleh Wittgenstein sendiri. Seperti kita maklum, ayahnya pula seorang pedagang, manakala ibunya adalah ahli muzik. Mungkin juga ruang keselesaan ini, maka Wittgenstein dapat belajar dengan baik. Namun, pendidikan awal Wittgenstein itu jelas dalam kejuruteraan, bukan falsafah. Dan, kemudian setelah bertemu Russell, juga dari pemikiran Frege, perkembangan kefalsafahan Wittgenstein kian ketara. Walau bagaimanapun, untuk pertanyaan tentang pengaruh keluarga, saya sulit menanggapinya.

Lalu, sejauh mana suasana Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan Perang Dunia Kedua (1939-1945), pula mempengaruhinya?

Begini, selain dari pengaruh Russell, sebenarnya yang paling jelas mengapa Wittgenstein, iaitu khususnya Wittgenstein I menaruh minat pada falsafah bahasa, adalah kerana suasana sains kental zamannya. Pada berikutnya, terdapat kelompok (community) yang dinamakan sebagai Lingkaran Vienna (Wiener Kreis). Justeru, sains ketika itu memang bercenderungan untuk memandang rendah pada metafizik. Kebetulan, di tahun-tahun kemudian, Wittgenstein I begitu dekat dengan kelompok tersebut—yang menjunjung tinggi peranan sains. Betapa mudahnya Wittgenstein berdekatan dengan Lingkaran Vienna lantaran keserupaan pendekatan saintifiknya menerusi wacana bahasanya. Sebab, sebelumnya Wittgenstein I sudah menimbulkan gagasannya tentang bahasa formal, atau lebih rinci lagi pengertiannya, sebagai bahasa yang menunjang dalam mengawal makna-makna realiti. Jadi, usaha Wittgenstein I dalam Tractatus Logico-Philosophicus itu semata untuk menghindarkan ketaksaan makna (ambiguity meaning) dalam bahasa. Walau bagaimanapun, pada Wittgenstein II, dalam Philosophische Untersuchungen, barunya berfikir berfikir pragmatik. Sebab, Wittgenstein II mula menginsafi bahawa bahasa sebenarnya tidak menyapa tepat kepada realiti. Mithalnya, dalam suasana penderitaan manusia, setelah perang dan sebagainya, maka unsur-unsur eksistensialisme-lah yang lebih sarat. Maknanya, pengalaman-individu, dengan ragam perasaannya, itu yang lebih berbekas dari bahasa formal manusia. Namun, perlu saya tegaskan, bahawa ini bukanlah bermakna Wittgenstein II seorang eksistensialis. Tapi jelas, Wittgenstein I itu jelas adalah seorang positivis, dan bersifat anti-sistem, anti-metafizik dan ini sama dengan corak pemikiran dari Lingkaran Vienna.

Menariknya, bagaimana caranya wacana bahasa Wittgenstein I mengilhamkan Lingkaran Vienna, atau mungkin saling mengilhamkan?

Bagi Lingkaran Vienna, matematik adalah model mereka. Justeru, falsafah mereka juga harus bersifat saintifik. Maka, tugas utama dalam pendekatan ini ialah menekankan konsep kesahan (validity concept) serta menganalisa logik secara penalaran. Justeru, pendekatan ini akhirnya akan membawa kepada kekuasaan bahasa dalam merungkai segala-galanya termasuklah realiti. Sebab itu, apa yang ada pada realiti, itulah yang pada Wittgenstein I ada. Selain itu, konsep kesahan ini juga dapat mengamatinya serta menentukan sama ada itu ruang sains atau itu ruang metafizik. Pada kalangan ini, mereka turut belajar dari Wittgenstein I bahawa selain dari ruang sains, maka semuanya tidak punya erti.

Jadi, bagaimana hubungannya dengan Russell pula?

Memang, Lingkaran Vienna itu adalah kelompok yang terdiri dari ragam latar, tentunya dari bauran latar seperti falsafah (Moritz Schlick), matematik (Kurt Gödel), fizik (Philipp Frank), psikologi (Gustav Bergmann), dll. Ciri kental dari kelompok ini adalah mengabdi pada positivisme itu—yang berkembang dari falsafah bahasa menerusi Wittegenstein I, meskipun kemudiannya Wittgenstein menyatakan bahasa Lingkaran Vienna salah dalam memahami Tractatus Logico-Philosophicus. Jadi, apa yang mahu dilakukan Wittgenstein I adalah untuk mendapatkan inti bahasa (essence of language). Namun, di mana pengaruh Russell terhadap Wittgenstein I? Itu boleh kita semak pada teori gambaran bahasa (picture theory of language) Wittgenstein I yang amat mirip dengan atomisme logis-nya Russell. Di sini, Wittgenstein I mahu mengemukakan bahasa protokol, bererti bahasa yang secara isomorfiknya berhubungan dengan realiti. Jelas, kemiripan ini adalah akibat pengaruh dari Russell, yang turut menekankan bahawa “logik merupakan inti pada falsafah.” Inilah makna dari atomisme logis itu. Bahkan, kita harus ingat bahawa yang membuatkan Wittgenstein I itu terkenal, tentunya tidak lepas dari peranan Russell. Sebagai gurunya, Russell-lah yang pertama-tamanya sekali mengenalpasti bakat Wittgenstein sebagai mahasiswa yang geliga. Mithalnya, Russell amat terkesan dengan nota-nota kiriman Wittgenstein I sewaktu Perang Dunia Pertama.

Tapi, sejauh mana agnostik-nya Russell dalam mempengaruhi pandangan keagamaan Wittgenstein?


Wittgenstein itu dari tradisi Yahudi. Maka, barangkali ada sedikit pengaruh dari tradisimya tersebut. Walau bagaimanapun, saya percaya bahawa kata-kata yang terkenal, “apa yang memang dapat dikatakan, katakan dengan jelas. Dan, apa yang tidak dapat dikatakan, sebaiknya diam,” itu memuat makna mistiknya yang tersendiri. Maksudnya, secara tersirat, “diam” itu boleh saja bererti bahawa ada sebuah ranah yang tak-empirik, yang kita tidak ketahui. Mungkin di situlah peranan metafora, seperti yang selalu digunakan Wittgenstein dalam buku-bukunya tersebut. Justeru, kalau ditanya pada saya, ternyata sebenarnya pemikiran Wittgenstein bukanlah sama sekali tidak ramah terhadap perspektif dalam tafsiran-keagamaan. Filsuf besar ini secara tidak langsung meninggalkan ruang pada kita untuk menghurmati sesuatu yang tidak kita ketahui, tapi dapat kita rasakan kewujudannya. Mungkin ini juga yang mirip dengan agnostiknya Russell.

Baiklah, mungkin kita pergi melihat Wittgenstein I dengan lebih jelas lagi. Menurut anda, apakah sumbangan penting dari Wittgenstein I?

Pada saya, sumbangannya terhadap konsep yang menjelaskan realiti. Itu yang penting. Pada Wittgenstein I, sekurang-kurangnya terdapat hukum penalaran yang lebih tertata, dan lebih mudah dimengerti ekoran ciri-ciri isomorfiknya itu.

Tapi, persoalannya, apakah benar bahawa setiap bahasa ada rujukan realitinya?

Nah, ini sebenarnya hanyalah keyakinan dari Wittgenstein I saja, di mana setiap bahasa itu ada rujukannya. Ertinya, “bahasa yang mengambarkan realiti” yang ini juga mendorong bahasa bersifat perwakilan (representative). Tapi, “teori gambaran bahasa” tersebut sudah banyak dikritik, kerana kelemahannya dalam membatasi paparan bahasa kepada objek-objek fizikal semata. Walhal, sifat bahasa itu sendiri sebenarnya mengandung banyak hal yang tiada rujukan sama sekali. Mithalnya kata “kerana”, “oleh”, “maka”, dll itu semua tidak menemukan rujukannya. Kelemahan inilah yang kemudiannya mendorong Wittgenstein I bergeser kepada Wittgenstein II, dengan bergusur dari bahasa formal (formal language) kepada bahasa sehari-hari (language in use).

Wittgenstein I tampaknya ada berbicara soal realiti. Namun, kalau berbicara soal realiti—dalam sejarah falsafah—Kant memang salah satu tokoh pentingnya. Apakah ada perbezaan antara Wittgenstein I dengan Kant?

Kant, itu tersohor dengan tiga butir pertanyaan mendasar: (1) apa yang boleh diketahui?, (2) apa yang mesti dilakukan, dan (3) apa yang boleh diharapkan. Dalam bukunya yang terkenal Kritik der reinen Vernunft itu, Kant memang berusaha untuk menarik batas yang jelas antara lingkup pengetahuan berbanding lingkup kepercayaan. Namun, Kant sendiri mengakui bahawa apa yang tidak boleh diketahui itu tidak semestinya tiada. Sebab itu, pada Kant, mungkin saja kita tidak ketahui, tapi boleh saja difikirkan. Di samping itu, Kant juga mahu menerangkan tentang sharat-sharat yang membawa kepada pengetahuan transendental, yang baginya itu merupakan sebuah a priori. Justeru, di sinilah terdapatnya pembatasan antara fenomena dengan noumena (kalau keduanya ini bersifat jamak), iaitu sebuah pembahagian realiti dari Kant yang terkenal itu. Menurut Kant lagi, moral agama itu adalah sebuah noumena, kerana terpaksa diandaikan terlebih dahulu (a priori). Menariknya, inilah yang kemudiannya disanggah Hegel pula. Namun, kembali pada persoalan asal, di mana hubungannya antara Kant dengan Wittgenstein I? Saya kira keduanya bertemu pada pada pengakuan adanya dua realiti: fenomena dan noumena. Pada Wittgenstein I, fenomena itu pada katanya “apa yang memang dapat dikatakan, katakan dengan jelas.” Dan noumena itu pada kata yang berikutnya, “Dan, apa yang tidak dapat dikatakan, sebaiknya diam.”


Memang menarik bila disentuh tentang sanggahan Hegel pada Kant. Mungkin ada sedikit tambahan di sini? Sebab, Hegel juga dalam Grundlinien der Philosophie des Rechts ada sebuah kenyataan terkenal, “apa yang rasional itu nyata, dan apa yang nyata itu adalah rasional.”

Sebenarnya, kerasionalan (rationality) itu luas, dan lebih luas dari konsep kerasionalan dari Wittgenstein I tersebut. Kalau lihat pada Hegel, kritikannya kerana Kant telah membataskan konsep rasional tersebut, sama seperti jauh-jauh kemudiannya pada Wittgenstein I. Apa yang membezakan Kant dengan Hegel adalah lingkup pengetahuan mereka. Mithalnya, ruang pergelutan Kant, bukanlah sama seperti ruang pergelutan Hegel. Ini kerana dalam lingkup pengetahuan Hegel sepertinya dalam Phänomenologie des Geistes itu jelas sekali merangkumi fenomena dan noumena sekaligus. Maka, pasti realiti dari pengetahuan-mutlak-nya Hegel itu melampaui fenomena-nya Kant. Namun, saya kira, mungkin ada sesuatu yang boleh diperoleh, kalau kita menghubungkan pula idealisme Jerman itu dengan atomisme Russell, sekaligus akan berkait dengan bahasa formal-nya Wittgenstein I. Kritik yang boleh kita lancarkan pada Russell, juga pada Wittgenstein I, adalah lantaran mereka mempersempitkan realiti. Sebab, pada mereka, batas dunia kita, adalah batas bahasa kita.

Berkaitan dengan pengalaman Wittgenstein sendiri, mengapanya ada fasa dalam hidupnya memilih untuk menjadi guru sekolah?

Ini yang menarik, juga mungkin yang lucu. Sebenarnya, setelah selesai Tractatus Logico-Philosophicus, itu, Wittgenstein merasakan sudah tidak ada masalah lagi buatnya—sama ada masalah bahasa atau pun masalah falsafah. Baginya, semuanya sudah ditanggapinya secara tuntas, tamat. Barangkali kerana itulah, Wittgenstein memilih untuk menjadi guru sekolah. Namun, kemudian, penglibatannya sebagai guru sekolah tidak lama kerana kontroversi-kontroversi tertentu. Antaranya, Wittgenstein pernah menarik rambut murid perempuannya. Kemudian, pernah juga memukul murid lelakinya. Semuanya, gara-gara murid-muridnya tidak memahami apa yang diajarnya. Memang lucu, tapi saya rasa Wittgenstein ini memiliki emosi yang tidak berapa stabil juga.

Menarik, tapi ternyata, meskipun mempunyai emosi yang tidak stabil, Wittgenstein tetap berjaya sebagai seorang filsuf besar?

Benar, sebab itulah kita harus membezakan antara kelemahan peribadi dengan kelebihan idea-ideanya. Masalah kita, ialah biasanya lebih gemar menilai seseorang dengan kelemahannya. Justeru, segala kelebihan-kelebihannya akan diluput dalam kelemahannya itu. Pada saya, tindakan seperti itu sangat-sangat merugikan.

Sekarang, mari kita lihat pada Wittgenstein II dari karyanya Philosophische Untersuchungen tersebut? Apakah cetusan yang menyebabkan Wittgenstein II memikirkan semula gagasan awalnya pada Wittgenstein I?

Saya percaya, pengalamannya bergaul dengan Norman Malcolm banyak mengispirasikan perubahan pemikirannya. Malcolm ini adalah filsuf Amerika Syarikat yang sentiasa ramah menyambutnya sewaktu Wittgenstein II bertandang ke sana. Malcolm ini jugalah yang mengkritik keras G. E. Moore (juga teman Wittgenstein, yang sebelumnya mengusulkan nama Tractatus Logico-Philosophicus yang terilham dari buku Spinoza, Tractatus Theologico-Politicus) tentang skeptisme, melalui ungkapan yang tersohor “ini tangan kananku, dan ini pula tangan kiriku; maka, sekurang-kurangnya aku mengetahui ada dua benda yang wujud.” Barangkali, dari tempias persahabatannya dengan Malcolm inilah yang kemudiannya mendorong Wittgenstein II memikirkan kembali gagasan awalnya. Bertolak dari titik skeptisme ini, Wittgenstein II bersetuju dengan Malcolm, bahawa skeptisme hanyalah bercanggah dengan praxis kehidupan. Mithalnya, kaedah skeptisme dari Descartes itu dikira bersifat “keraguan semu” (artificial doubt). Sementara “keraguan hakiki” (real doubt) ternyata berbeza. Sebab itu, kaum pragmatis, seperti Dewey dalam Studies in Logical Theory, itu menganggap bahawa “keraguan hakiki” itu tidak pernah berubah. Lantas, Wittgenstein II menamsil, seperti kehairanannya tentang pintu tidak berfungsi seeloknya. Justeru, Wittgenstein berfikir jangan-jangan enselnya saja yang tidak berfungsi. Situasi seperti inilah, pada Wittgenstein II, adalah “keraguan hakiki.” Sebaleknya, “keraguan semu” itu adalah meragukan segalanya, sampai Descartes pun meragukan dirinya sendiri. Kecurigaan seperti itulah yang membawa kepada cogito ergo sum: “hanya dengan bermula meragukan seluruh dirinya—kecuali dirinya yang sedang berfikir—barulah itu memenuhi sharat kewujudannya.” Justeru, pada Wittgenstein II, “keraguan semu” ini terlalu teoritikal, dan tidak bersifat praktis untuk hidup sehari-hari. Di sinilah menunjukkan betapa Wittgenstein II amat anti-sketipsme. Maka, berangkat dari penolakannya terhadap skeptisme ini, lantas Wittgenstein II menyedari bahawa betapa berharganya kekayaan dari bahasa sehari-hari. Selain itu, Wittgenstein II juga insaf bahawa sebenarnya bahasa formal (dari Wittgenstein I) itu sebenarnya telah memiskinkan pengalaman realiti manusia. Maka, teorinya tentang permainan bahasa (language game) itu sangat berkait dengan peraturan bahasa dalam sesebuah kelompok. Saya perlu catat di sini, ada perbezaan antara kelompok dengan masharakat. Pada kelompok (Gemeinschaft), itu tampak sekali jalur kebudayaan tunggalnya, manakala masharakat (Gesellschaft) itu mengandung beragam jalur kebudayaannya. Lantas, pada Wittgenstein II lagi, setiap kelompok memang ada bentuk kehidupannya (form of life), atau dalam bahasa fenomenologinya, lebenswelt (lifeworld). Kebetulan, pandangan Wittgenstein II ini turut berselarian dengan Oxford Movement, yang jelas menekankan kekayaan bahasa sehari-hari dalam falsafah analitik mereka. Dan, menerusi “permainan bahasa” ini, Wittgenstein mengariskan bahawa setiap penutur bahasa itu hakikatnya terkepung bentuk kehidupannya sendiri, sepertimana metaforanya tentang “tukang kayu saja yang mengetahui fungsi peralatannya saja.”

Mungkin boleh dijelaskan-lanjut lagi tentang “permainan bahasa” ini?

Mithalnya begini, kalau kita mengambil perkataan, “anjing,” dan perkataan “anjing” ini jika kita temui di zoo. Pada kita, itu sekadar kata yang biasa-biasa saja. Tapi, bayangkan bila perkataan, “anjing” ini kita temui di pintu rumah kita, dan sewaktu awal pagi mahu keluar ke tempat pekerjaan. Jadi, dari dua kata yang sama, ternyata sudah ada dua pengertian yang sama sekali berbeza. Yang pertama, sebagai label, dan yang kedua sebagai perbuatan khianat, atau menghina. Jadi, mithalan tersebut membuktikan bahawa bahasa dalam keseharian itu jauh lebih kaya, dari hanya mencocokkan realiti dengan bahasa secara kaku. Sebab itu, kalau menurut Wittgenstein I, bahasa itu terkekang dengan pemaknaan-realiti, manakala Wittgenstein II itu sarat konteks-konteksnya. Contohnya yang lain, umpamanya, “SBY adalah Presiden Indonesia.” Bayangkan kalau perkataan ini diungkapkan 25 tahun silam, tentu sama sekali berbeza maknanya berbanding dituturkan sewaktu zaman pemerintahannya.

Sampai sejauh ini, Wittgenstein I mahu pun Wittgenstein II, memang keduanya menarik. Namun, apakah ini menunjukkan secara ketara hubungan antara bahasa dengan kebudayaan, terutamanya dari Wittgenstein II?

Tentu, ada hubungannya dengan kebudayaan, atau apa yang saya ungkapkan sebelumnya, “bentuk kehidupan.” Kata “bentuk kehidupan” itu sendiri sebenarnya memuatkan peranan kebudayaan. Dalam Wittgenstein II ini, kontekstualisasi memang sangat penting. Erti konteks di sini, bukan saja melibatkan budaya, tapi juga sejarah, geografi, dll, yang mana semua ini bersentuhan langsung dengan bahasa. Kerana itu, Rorty, pengarang Objectivity, Relativism, and Truth itu kemudiannya pernah menafsirkan Wittgenstein II seperti menganjurkan nisbisme (relativism), ekoran sifat “permainan bahasa” yang kontekstual tersebut. Pada Rorty, “falsafah (termasuk falsafah bahasa) itu adalah adalah membangun sikap (macam-macam sikap), bukannya bertindak sebagai hakim pada segalanya.” Bahkan, Lyotard, filsuf besar pascamoden, pun turut menafsirkan “permainan bahasa” ini sebagai mendukung nisbisme, sesuai dengan gagasan pascamodenisme-nya. Memang, sebetulnya Wittgenstein II ada unsur-unsur ketakpastian (uncertainty) di dalam gagasannya tersebut. Ini bermakna, apa yang kita kaitkan dengan pengetahuan, itu diselubungi sebuah epistemologi nisbisme, iaitu suatu faham yang mengajar tiadanya pengetahuan yang objektif, universal dan mutlak. Semuanya adalah nisbi. Mengapa nisbi? Sekali lagi, kerana “bentuk kehidupan” setiap kelompok adalah berbeza. Walau bagaimanapun, Wittgenstein II tidak pernah secara terus-terang mendukung nisbisme Lyotard ini.

Tapi, apakah dengan “bentuk kehidupan” yang berbeza-beza ini, maka setiap kelompok boleh didekatkan, atau dihubungkan?

Tentu boleh! Wittgenstein II percaya boleh. Baginya, setiap pemaparan hidup (life expression) dalam suatu kelompok itu memang berbeza. Justeru, yang Wittgenstein II tekankan di sini ialah “kalau mahu memahami makna bahasa sesebuah kelompok, maka kita mestilah memahami struktur dan tatabahasa serta sintaksis bahasa kelompok tersebut.” Ini menunjukkan bahawa penerjemahan silang budaya itu maseh mungkin. Biarpun ada nisbisme, komunikasi dari saling kelompok, itu maseh boleh didekatkan. Melainkan, kalau kita gagal memahami bahasa sesuatu kelompok, maka pastilah sulit untuk berkomunikasi. Tapi, secara praktis, maseh boleh. Ini kerana, Wittgenstein II yakin dan percaya bahawa ada ruang untuk belajar bahasa dari kelompok lain, serta menangkap makna-kehidupan dari kalangan kelompok tersebut. Mithalnya, ada kesah Louis Leahy, teman saya, juga mantan pengajar STF Driyarkara dari Quebec, Kanada. Leahy mengesahkan pengalamannya sewaktu pertama-kali ke Indonesia. Lalu, ada seseorang yang pernah bertanya secara santai, “anda mahu ke mana?” Tentu, dalam kehidupan Barat, pertanyaan tersebut sangat serius, dan Leahy menjawab, “itu bukan urusanmu.” Tapi, ternyata, di kemudian hari setelah tahu makna dalam “bentuk kehidupan” Indonesia, pertanyaan itu umpama bermakna, “hello” saja. Jadi, kita lihat betapa setiap kalimat mestilah dimaknakan dengan konteksnya, iaitu dengan “bentuk-kehidupan” lingkungannya.

Tapi, bukankah kedua-dua bukunya— Tractatus Logico-Philosophicus dan Philosophische Untersuchungen menampilkan Bahasa Jerman dan terjemahan Bahasa Inggeris secara serentak. Apakah ini menunjukkan bahawa sekiranya berlaku terjemahan dari satu bentuk-kehidupan (bahasa) kepada bentuk-kehidupan lain (bahasa lain), maka akan berlaku terciciran makna? Dan, mungkinkah kalimatnya yang pendek-pendek itu adalah untuk mengurangkan keciciran makna ini?

Memang, mana-mana kegiatan penterjemahan pasti ada keciciran maklumatnya. Ini ibarat pepatah Itali, “”Traduttore, traditore,” maknanya, “penerjemah adalah pengkhianat.” Memang, sampai batas-batas tertentu, itu benar, bahawa penjermahan ada memusnahkan beberapa makna asalnya. Namun, kita harus sedar juga, bahawa penerjemahan tidak semestinya memuatkan segalanya secara tuntas. Jadi, kemungkinan berlakunya keciciran maklumat sewaktu terjemahan itu harus saja diakui. Tapi, itu tidaklah sampai pada kegiatan terjemahan—lintas bahasa, lintas kebudayaan, lintas kelompok—adalah sama sekali tindakan mustahil. Itu tidak benar. Sebab itu, kedua buku Wittgenstein tersebut, melekatkan dua bahasa, supaya membantu para pembaca dapat melihat perbezaannya.

Lalu setelah itu, Wittgenstein I dikritik sendiri oleh Wittgenstein II. Apakah Wittgenstein II ada kelemahannya juga?

Ya, seperti yang saya ungkapkan sebelumnya, Wittgenstein II telah ditarik oleh Rorty dan Lyotard kepada kutub nisbisme. Memang, setiap kelompok bahasa itu adalah aturannya (rule following), sehingga kadang-kala memungkinkah sesebuah kelompok terpinggir. Walau bagaimanapun, kesimpulan nisbisme itu tidak logik juga. Sebab, kalangan kelompok tertentu, tatkala masuk ke dalam kalangan kelompok lain, secara perlahan-lahan mereka boleh saja mengetahui lingkungan baru mereka tersebut. Di samping itu, saya kira penting juga untuk dicermati bahawa Wittgenstein I dan Wittgenstein II selalu sibuk antara trium ranah: fikiran, bahasa dan realiti. Kalau Wittgenstein I, fikiran itu adalah cerminan bahasa, dan bahasa itu pula adalah cerminan realiti. Jadi, fikiran itu sama dengan bahasa dan realiti. Namun, Wittgenstein II, tidak begitu lagi. Makna bahasa itu haruslah berdasarkan praxis dari pengalaman kelompok. Mithalnya, saya tahu benda ini adalah “kerusi.” Dan, pengetahuan saya pertama-tama mengenai “kerusi” itu menerusi pengalaman empirik. Tapi, ketika kemudian saya mula belajar bahasa mengenai “kerusi,” itu tidak dibelajar sebagai objek. Tapi, sebagai tema pengetahuan. Ini bererti, sewaktu kita lahir, kita tidak terus belajar tatabahasa, sebaleknya menjalani kehidupan berbahasa terlebih dahulu. Jadi, ini sekaligus menunjukkan bahawa ruang awam, atau ruang kelompok itulah, yang pertama-tamanya mempengaruhi kita dalam berbahasa. Jadi, apa kelemahan Wittgenstein II? Mungkin kerana sifatnya yang cenderung nisbisme tersebut. Meskipun begitu, dalam saat yang sama, kita harus mengakui, untuk merangka sebuah falsafah yang menyeluruh adalah sulit, juga rumit. Justeru, saya bersetuju dengan Whitehead, yang juga filsuf proses dan matematik, bahawa falsafah spekulatif (yang dekat dengan nisbisme) yang bersifat hipotetikal tersebut mestilah juga tidak mengabaikan kerangka-umum falsafahnya. Ini yang membezakan antara Whitehead dengan Russell, biarpun keduanya berteman baik dan mengarang Principia Mathematica. Pada Russell, itu lebih menganut pluralisme tulen, manakala Whitehead pluralisme juga, tapi pluralisme dalam kesatuan.

Apakah ada persamaan antara Wittgenstein I dengan Wittgenstein II?

Ada, iaitu seperti saya sebutkan sebelum ini, berperanan sebagai sebuah terapeutik falsafah, penyembuhan. Terapeutik ini juga, dalam bahasa yang dipinjam Wittgenstein I dari Spinoza, kekal terangkum dalam, sub specie aeternitatis—perspektif keabadian. Di sini, Wittgenstein I dan Wittgenstein II, percaya bahawa pemakaian bahasa secara tertib itu dapat membantu menguraikan kesulitan manusia ketika mahu menangani persoalan-persoalan yang tidak seharusnya muncul. Mengapa Wittgenstein berfikir demikian? Kerana, padanya bahasa khusus (private language) telah mempersempitkan kekayaan bahasa. Maksudnya, bahasa khusus yang dikritiknya ini kerana telah memadankannya dengan dualisme minda dan jirim (mind and body), dengan andaian bahawa pemaknaan bahasa itu hanyalah sebagai sebuah kegiatan mental yang tersembunyi di balek badan. Pada Wittgenstein tidak. Padanya, bahasa adalah milik awam, dan dari kesefahaman awamlah, bahasa dapat berfungsi. Mithalnya, jika ada yang mengaduh, dengan kata “aduh.” Kata ini tentu difahami dari kelompoknya, dengan penggunaan yang benar, dan situasi yang juga benar. Jadi, memandangkan konsep “aduh” itu sudah pun ada pada setiap individu lain dalam kelompok tersebut, maka masing-masing pasti mengerti, dan dari situ masing-masing juga dapat berkomunikasi dengan baik, kerana dapat menangkap maknanya. Terbukti, bahawa bahasa bukanlah kerana sifat khususnya, tapi kerana sifat awam. Ini juga membuktikan bahawa, dengan menggunakan bahasa secara tertib, maka itu akhirnya dapat mengelakkan masalah-masalah yang berbelit-belit dalam kelompok tersebut. Itu makna terapeutik yang saya maksudkan.

Terakhir, apakah pengaruh Wittgenstein, sama ada Wittgenstein I dan Wittgenstein II, terhadap bidang-bidang lain?

Secara umumnya, saya lihat Wittgenstein berpengaruh dalam teologi, falsafah sains, sosiologi, psikologi, malah teori kebudayaan juga dari satu sisinya. Mithalnya kebudayaan, lantaran setiap individu tidak lepas dari sosio-budaya sesebuah kelompoknya. Sebab, setiap individu lahir dari kebudayaan kelompoknya, dan antara dirinya dan kebudayaan-kelompoknya tersebut adalah proses saling belajar yang osmosis. Ini bererti, individu tersebut menyerap apa yang ada dari persekitaran kebudayaannya. Maka, sudah tentu, pembentukan habitat (habit formation) sangat berperanan di sini, dan dari Wittgenstein II ini jelas ada kaitannya. Bertolak dari sini juga akan melimpah kepada psikologi pula. Seperti yang kita ketahui juga, Wittgenstein II, itu tampaknya cenderung ke arah faham behaviorisme, iaitu memerhati kelakuan manusia menerusi manifestasi fizik persekitarannya. Maka, persekitaran itu pastinya berhubungannya dengan mental, atau tepatnya dengan minda dan jirim. Di samping itu, dari pemikiran bahasa Wittgenstein ini juga mempengaruhi Thomas Kuhn dalam The Structure of Scientific Revolutions berkenaan “kemiripan keluarga” (family resemblance), iaitu kelompok saintis itulah yang harus menjadi penentu terhadap sains itu. Jadi, paradigma sains-lah sebagai sukatan pada benar-salahnya sains tersebut. Bagaimana kaitan ini dilakukan? Begini, bahawa seseorang saintis tatkala masuk ke dalam kelompok sains, mereka memerhati apa yang ada dalam kelompok tersebut, apa yang ditinggalkan, apa yang harus diselesaikan. Maka, dari sini, saintis belajar dan menuruti garis yang sama dalam memecahkan setiap persoalan yang tergantung. Dan, dengan menggunakan paradigma yang sama. Justeru, pendekatan sudah dilaksanakan oleh saintis sebelumnya, itu kemudiannya diterapkan kembali. Sebab itu, setiap saintis yang masuk ke dalam kelompok saintis tersebut, itu mestilah belajar bahasa kelompok barunya. Selain dari itu, ungkapan Wittgenstein I mengenai, “apa yang memang dapat dikatakan, katakan dengan jelas. Dan, apa yang tidak dapat dikatakan, sebaiknya diam,” itu sangat menarik. Barangkali, diam itu boleh dikembangkan wacananya ke dalam ranah lain, terutamanya dalam puisi, seni, sastera, dll. Maka, ada ruang lain yang punya makna, selain kata-kata yang “jelas.” [Jalan Telawi, 6 April 2010]

1 comment:

Mohd Tarmizi Hasrah said...

Membaca biografi Ludwig Wittgenstein kadangkala menjijikkan, tapi tidak pada ideanya. Memang benar-benar aneh sosok intelektual ini.

Rupanya perubahan Wittgenstein I kepada Wittgenstein II tidak terjadi serentak tatkala dia mengajar di Cambridge, tapi semasa dia menjadi cikgu di pedalaman Austria.