www.flickr.com

Sunday, June 30, 2013

Niklas Luhmann (1927-1998)

Niklas Luhmann (1927-1998): Sebuah Biografi Intelektual Ringkas

Hans-Georg Moeller

Niklas Luhmann dilahirkan pada 8 Disember 1929, di Lüneburg, Jerman, sebuah kota kecil di selatan Hamburg. Bapanya mempunyai sebuah kedai minum (bar) dan pernah menjadi anggota kepada perkumpulan ahli perniagaan di kawasan tersebut. Waktu kecil Luhmann dihabiskan dalam "persekitaran Nazi." (1) Dan sejak kecil lagi, Luhmann menganggotai Hitler-Jugend, sebuah organsiasi pemuda fasis, yang mana ini merupakan kewajipan anak-muda pada masa tersebut. Tentang cerita ini, Luhmann mengingati-kembali pengalaman tersebut sebagai menyesakkan kerana terpaksa mengikuti perarakan dan keraian yang diadakan. Pada usia 15 tahun pula, Luhmann diminta untuk menjalani latihan ketenteraan sebagai pembantu tentera udara. Kemudian, pada hujung 1944, Luhmann dikerah sebagai seorang tentera di barisan hadapan. Tapi malang tidak berbau, sebaik saja bertugas, Luhmann ditangkap oleh tentera Amerika. Untungnya, tidak lama kemudiannya, Luhmann dibebaskan lantaran usianya yang belumpun mencecah 18 tahun.

Setelah Perang Dunia Ke-II, Luhmann mengambil kursus hukum (law). Keputusannya menekuni bidang ini adalah dipengaruhi oleh pencerobohan Konvensyen Geneva, yang mana ini disaksikannya sendiri sewaktu bergelar tawanan perang (prisoner of war) (yang mana ketika itu Luhmann dipukul dan beberapa rakannya yang berumur lebih 18 tahun dipaksa berkerja di lombong-lombong Perancis). Jadi, Luhmann mengambil kursus hukum di Universität Freiburg, dan memberi tumpuan khusus kepada sejarah hukum Roman, dan akhirnya memperoleh ijazah pada 1949. Lanjutan dari pendidikan ini, Luhmann mengikuti satu kursus sangkutan dengan seorang peguam di kampung halamannya. Namun, Luhmann tidak puas hati dengan tugas-tugas keseharian yang terpaksa dihadapinya. Lantas, Luhmann tidak berfikir panjang untuk menerima satu jawatan dalam sebuah cawangan hukum (legal branch) bagi pentaabiran daerah (regional administration). Di sana, Luhmann bertugas sebagai seorang pembantu kepada pelbagai mahkamah yang sedia-ada di daerah tersebut. Lalu, pada 1950-an, Luhmann bertugas pula untuk pentaabiran negeri dalam kawasan yang dikawal-selia oleh Jerman, di mana penduduknya pernah mendapat layanan buruk sewaktu zaman Nazi. Apapun, Luhmann sendiri tidak pernah menjadi anggota kepada mana-mana parti politik. Pada Luhmann, kekurangan penglibatannya dalam parti inilah yang akhirnya menjejaskan peluang kariernya sebagai seorang penjawat awam (civil servant). Ini ditambah lagi dengan keengganan Luhmann untuk bersama-sama mabuk dalam acara keramaian yang dilakukan oleh pasukan bomba tempatan (2). Di samping itu, Luhmann turut merasakan bahawa minat-minat intelektualnya terhadap Descartes, Husserl, fenomenologi-nya Alfred Schütz, sang penyairnya Hölderlin, serta beberapa lagi pengarang, adalah sama sekali tidak membantu untuknya mendapat kenaikan pangkat dalam jawatan pentaabirannya. Kemudian, pada 1960, Luhmann berkahwin; dan bersama isterinya, Ursula (meninggal dunia pada 1977), mereka dikurniakan tiga orang anak.

Menariknya, kebetulan sewaktu bertugas di pejabatnya, Luhmann terserempak dengan sebuah iklan mengenai satu tawaran biasiswa. Dengan teruja, Luhmann memohon dan diterima. Bertitik-tolak dari saat inilah, Luhmann mula mengambil cuti selama satu tahun dari kerja pentaabirannya. Lanjutan dari itu, Luhmann mengambil kursus selama setahun (1960-1961) dan ditempatkan di bawah Talcott Parsons di Harvard University. Bermula dari detik inilah, Luhmann diperkenalkan dengan teori sistem sosial. Pada 1962, sebaik saja pulang ke Jerman, Luhmann ditempatkan di sebuah institut penyelidikan di sebuah akademi pentaabiran di Speyer. Beberapa tahun kemudian, yakni pada 1966, Luhmann memperoleh Ph.D, dan kemudian mendapat Habilitation-nya (sebuah ijazah lanjutan yang membolehkannya untuk mendapat jawatan professor di Jerman), serta ditawarkan satu jawatan di Universität Bielefeld. Universiti yang baru ditubuhkan tersebut adalah di bawah kelolaan Helmut Schelsky, seorang intelektual dan ahli sosiologi Jerman yang tersohor pada masanya. Antara 1963 hingga 1966, Luhmann (termasuk sebagai pengarang-bersama) menulis tujuh buah buku dan pelbagai makalah berkenaan dengan perkara-perkara pentaabiran dan topik-topik yang berkaitan sosiologi.(3)

Sewaktu awal perkhidmatannya sebagai pensharah universiti tersebut, gerakan protes mahasiswa di Jerman, dan juga di beberapa negara yang lain, mula tercetus. Namun, dalam kemelut ini, Luhmann tidak menemukan dirinya sepakat dengan mana-mana kelompok yang terlibat (neither on the side of the accused nor of the accusers).(4) Selain itu, pada 1969, terdapat sebuah lagi fakta yang menarik sewaktu di tahap awal perkhidmatannya. Pada tahun tersebut, tatkala Luhmann dilantik sebagai profesor penuh di fakulti sosiologi di Universität Bielefeld tersebut, Luhmann telah menyenaraikan projek penyelidikannya yang ingin dilaksanakannya. Dalam rancangan tersebut, Luhmann menyatakan bahawa projeknya adalah mengenai sebuah "teori masharakat", yang mengambil masa 30-tahun, dan tidak memerlukan biaya sesenpun.(5) Pada masa tersebut, Luhmann memang tidak puas hati dengan mutu perbahasan teori politik dan teori sosiologi dan percaya bahawa tiada dari pemikir klasik, yakni dari Marx hingga Weber hingga Durkheim hingga juga Simmel, yang mampu menawarkan huraian memuaskan bagi masharakat semasa (contemporary society). Lantas, Luhmann berazam untuk mengantikan teori-teori mereka dengan apa yang dinamakannya sebagai sebuah aditeori sosial (social supertheory).(6)

Pada awal 1970-an, nama Luhmann mula disebut-sebut dalam dunia akademik di Jerman. Namanya menjadi sebutan akibat debat terkenalnya dengan Mazhab Frankfurt, yang ketika itu lantang diwakili oleh Juergen Habermas. Pada 1971, debat yang dikenali sebagai kontroversi Habermas-Luhmann atau kontroversi Frankfurt-Bielefeld ini telah dimuatkan dalam sebuah dokumen yang dinamakan sebagai Theorie der Gesellschaft oder Sozialtechnologie (Teori Masharakat atau Teknologi Sosial) (7). Pendekatan Habermas dan pendekatan Luhmann terhadap apa yang mereka fahami mengenai masharakat adalah sangat berseberangan sama sekali. Dalam pengkaedahahannya saja, masing-masing sudah berbeza. Di sana, Habermas mengajukan sebuah teori kritis (critical theory) yang menyumbang kepada pembangunan-semula normatif bagi masharakat; lalu, Habermas menjangkakan bahawa teori ini mampu membantu mewujudkan masharakat yang lebih setara (equal), adil (just), jujur (fair) dan seterusnya. Sebaleknya, Luhmann pula lebih memilih sebuah kaedah deskriptif dan yang sama sekali tidak dihubungkan dengan mana-mana ideologi. Bebalek pada Habermas, masharakat itu mengandungi sebuah "dunia-kehidupan" (life-world) manusia yang di dalamnya terdapat tindakan komunikatif (communicative action), yang mana ini boleh memacu ke arah sikap untuk saling-memahami (mutual understanding). Justeru, komunikasi menurut Habermas lagi, adalah asas terpenting dalam aktiviti manusia, yang mana jika tindakan ini dilakukan dalam keadaan rasional, maka tindakan tersebut mampu untuk membawa kepada muafakat sosial (social concensus) serta mengurangkan dominasi antara sesama (of some over others). Tapi, untuk Luhmann pula, komunikasi sama sekali tidak berasaskan kepada interaksi manusia, seperti yang dipercayai oleh Habermas. Pada Luhmann, komunikasi adalah mod di mana masharakat itu beroperasi. Bahkan, menurut Luhmann lagi, sistem-sistem komunikasilah yang sebenarnya berkomunikasi, dan bukannya individu-individu. Mithalnya, ekonomi adalah sebuah sistem komunikasi yang beroperasi lewat bermacam bentuk transaksi kewangan. Di dalam transaksi ini terkandung fungsi sistem ekonomi, dan sama sekali tidak melibatkan manusia (seperti pemilik akaun bank). Berdasarkan kepada perbezaan asas antara pendekatan Habermas yang normatif-humanis dengan pendekatan Luhmann yang deskriptif-fungsian ini, maka debat antara dua tokoh besar Jerman ini akhirnya menjadi tumpul dialognya dan sekadar sebuah pertukaran maklumat bagi sebuah kedudukan yang memang langsung tidak dapat dirukunkan. Di sini, di awal-awal lagi, masing-masing ternyata gagal untuk bersepakat tentang apa yang dimaksudkan dengan masharakat, dan apa yang dimaksudkan dengan teori sosial tersebut. Di kemudian waktunya, Luhmann mengakui bahawa dirinya sebenarnya tidak terbantu sangat dengan kontroversi tersebut (8). Menurut Luhmann, kontroversi Frankfurt-Bielefeld tersebut kurang membantu kerana terdapat perbezaan radikal antara teorinya dengan agenda politik Habermas itu sendiri.

Berbeza dengan pemikir-pemikir sebelumnya, dan termasuk juga dengan pemikir-pemikir dari Mazhab Frankfurt, Luhmann dengan azam untuk membangun sebuah teori sosial baru, telah memberi perhatian yang besar terhadap aspek-aspek kefungsian masharakat. Justeru, Luhmann memandang sibernetika dan model-model konstruktivis sebagai pilihan yang terbaik, yang mana bidang ini mula meledak pada 1950-an dan 1960-an. Dalam rangka ini, Luhmann menerapkan bidang-bidang tersebut bagi membangun serta memperbaiki analisa sistemik masharakat dari Parson. Sambil dipengaruhi oleh pemikir-pemikir lain, seperti Gregory Bateson, Ernst von Glasersfeld, Heinz von Foerster, dan juga ahli logik dan matematik iaitu George Spencer Brown, Luhmann cuba mengalihkan pendekatan dari sibernetika tertib-pertama (first-order cybernetics) yang melihat sistem sebagai "mesin-mesin cikai" (trivial machines) kepada sibenetika tertib-kedua bagi mesin kompleks untuk teori sistem sosialnya.(9) Di sini, Luhmann meminjam beberapa konsep sibernetika seperti, pembikinan-perbezaan (distinction-making), swa-rujukan dan liyan-rujukan (self-reference and other-reference), dan bintik buta (blind spot) kognitif, bagi membantu teori sosialnya, sehinggakan usaha ini menjauhkan Luhmann dari pendekatan asal teori sistem yang dikemukakan oleh Parsons. Pada 1970-an dan 1980-an, Luhmann mula tertarik dengan kerja-kerja dari konstruktivis Chile iaitu Humberto Maturana dan Francisco Varela, lantas cuba untuk memasukkan pandangan dua ahli biologi evolusi ini ke dalam teori sistem sosialnya. Maka, bertitik tolak dari pengenalan inilah, Luhmann mengambil beberapa konsep mereka, termasuklah konsep biologi autopoiesis, pandangan tentang evolusi-bersama (coevolution) antara sistem-persekitaran (system-enviromental), dan idea mengenai pemerhatian konstruktif, lalu mengintegrasikan kesemua konsep ini ke dalam teori sosial dan komunikasinya.

Sebetulnya, karya-karya Luhmann bolehlah dibahagikan kepada beberapa bahagian. Pertamanya, pada 1984, magnum opus pertama Luhmann diterbitkan iaitu, Soziale Systeme (Sistem Sosial). Karya tebal ini turut memuatkan sebuah ringkasan "aditeori" sosial Luhmann ini. Dalam perbandingan dengan karya-karya yang sebelumnya --yang memang sudah agak banyak-- Luhmann memangil karya monumental ini sebagai "terbitannya sebenar"nya (his first real publication) yang pertama. Sebaleknya, untuk terbitan sebelumnya, buat Luhmann, itu semua tidak lebih dari sebuah "terbitan tanpa-siri bagi penghasilan teori (kepada teori sistem sosial)" (zero series of theory production). (10) Lantaran itu, maka bolehlah dikatakan bahawa teori sistem sosial Luhmann ini mencapai kematangannya sebaik saja atau setelah saja penerbitan Soziale Systeme ini, yang mana ini turut memuatkan konstruktivisme bagi sibernatika tertib-kedua dan biologi evolusi (evolutionary biology). Dalam tanggapan terhadap pengaruh dari bidang biologi evolusi ini, Habermas, dalam sebuah analisa komprehensif terhadap teori Luhmann, melabelkan teori Luhmann sebagai sebuah teori yang bersifat "metabiologi." (11) Sebagaimana penjelasan metafizik Greek mengenai dunia yang melampaui fizis lewat aplikasi dari konsep-konsep fizik, Habermas menuduh Luhmann menerapkan konsep-konsep biologi untuk analisas deskriptifnya bagi dunia bukan-biologi. Malah, secara khususnya pula, Habermas turut menunding bahawa pendekatan yang sama diterapkan Luhmann untuk masharakat dan komunikasi.

Bahagian keduanya, dari beberapa bahagian dalam penerbitan Luhmann, adalah merujuk kepada dekad setelah penerbitan magnum opusnya yang pertama ini. Di sini, tidak dapat dinafikan lagi bahawa Soziale Systeme, jelas menggariskan teori masharakatnya secara menyeluruh. Namun, lanjutan dari itu, Luhmann menerbitkan beberapa lagi karya padu yang memerihalkan pelbagai subsistem kefungsian dalam masharakat, termasuklah: Die Wirtschaft der Gesellschaft (Ekonomi Masharakat, 1988), Die Wissenschaft der Gesellschaft (Sains Masharakat, 1990), Das Recht der Gesellschaft (Hukum Masharakat, 1993), Die Kunst der Gesellschaft (Seni Masharakat, 1995), Die Realität der Massenmedien (Realiti Media Massa, 1996). (12) Lalu, pelbagai lagi karyanya turut diterbitkan setelah kematiannya, yang melibatkan tema-tema seperti politik, agama, dan pendidikan.(13) Pada 1997, Luhmann juga membentangkan sebuah teori umum masharakat yang baru dan lebih rinci menerusi Die Gesellschaft der Gesellschaft (Masharakat untuk Masharakat) yang berjumlah 1,164 halaman. (14)

Bahagian ketiganya, sebagai tambahan kepada dua garis umum bagi sebuah teori masharakat serta penjelasannya mengenai sistem fungsi sosial yang khusus ini, Luhmann menulis beberapa lagi karya berkenaan "struktur sosial dan semantik", yang mencatatkan kesejarahan bagi perubahan struktukral masharakat. Di sini, buat Luhmann, perubahan struktural masharakat atau, dalam kata lain, evolusi masahrakat, adalah berjalan serentak dengan evousi semantik, yakni segala yang berkaitan dengan sejarah perkembangan bagi konsep-konsep (concepts), nilai-nilai (values), dan kosakata-kosakata (vocabularies). Secara lebih khusus lagi, Luhmann membicarakan topik-topik seperti pembangunan semantik bagi indvidu, moraliti, dan dalam bentuk monograf pula, Luhmann menerbitkan Liebe als Passion (Cinta sebagai Ghairah, 1982) dan juga mengenai, Cinta. (15)

Bahagian keempatnya, bentuk penerbitan yang berikutnya adalah berkenaan dengan isu-isu yang melibatkan politik semasa. Buku seperti, Ökologische Kommunikation (Komunikasi Ekologi, 1986) (16) adalah tanggapan terhadap sambutan tema-tema ekologi dalam masharakat dan politik (sebagaimana yang terpapar dalam kebangkitan kuasa Parti Hijau di Jerman pada masa tersebut). Lagi, buku seperti, Soziologie des Risikos (Sosiologi Risiko, 1991) (17) dapat dilihat sebagai tanggapan terhadap peningkatan populariti bagi konsep "masharakat risiko" yang dikemukakan oleh Ulrich beck. Barangkali, boleh dikatakan bahawa dua monograf Luhmann ini (begitu juga dengan beberapa makalah yang berkaitannya), adalah lanjutan dari debat awal Luhmann dengan kelompok politik kiri. Kelompok akademik dari garis kiri yang cukup popular ketika itu, telah menukar pendekatannya daripada keghairahan terhadap tema-tema Mazhab Frankfurt kepada isu-isu tentang persekitaran, dan Luhmann telah cuba untuk "membangun-semula" (deconstruct) perubahan kewacanaan yang bersifat ideologi ini ke dalam dasar pemahaman kefungsian, sesuai dengan teori komunikasinya.

Dalam bahagian terakhir, yakni dalam dekad terakhir hidupnya, penulisan Luhmann semakin menyentuh faham pascamodernisme (Perancis). Mithalnya, Luhmann dengan kerap merujuk kepada Deleuze tatkala membicarakan konsep terkenalnya mengenai Sinn (erti), di mana, diketahui bahawa Delueze pada awalnya mengambil konsep tersebut dari Husserl. Pemikir seperti, Derrida dan Lyotard juga secara berterusan diulas dalam fasa penulisan terakhir Luhmann ini. Pada 1993, Luhmann menerbitkan makalah yang bersifat perancangan (programmatic), 'Dekonstruksi sebagai Tertib-Kedua Pemerhatian," yang mana dalam makalah ini Luhmann menegaskan tentang kesamaan antara sikapnya dengan pendekatan dekonstruktivis tersebut. (18) Ketika itu, Luhmann tidak henti-henti bertegas bahawa istilah "pascamodeniti", sebenarnya adalah mengelirukan --kerana Luhmann percaya bahawa, dalam sejarah, zaman modeniti maseh belum lagi berakhir-- kerana itu, Luhmann mengungkapkan bahawa (dalam hal yang berkait dengan teorinya) "adakah, selepas semuanya ini, itu adalah sebuah teori pascamoden? Mungkin saja, tapi para penganut konsep pascamoden ini juga yang akan tahu tentang apa yang mereka sebenarnya bicarakan." (19)

Semenjak penerbitan Soziale Systeme tersebut, Luhmann kian mengukuhkan dirinya sebagai ahli sosiologi yang paling berpegaruh di Jerman. Pada zaman tersebut, Luhmann dianggap sebagai salah satu dari ahli teori tersohor Jerman pada 50 tahun terakhir di abad ke-20. Karya-karyanya yang rencam, mencakupi 70 buah buku dan hampir 500 makalah, yang mana karya-karya ini merangkumi pelbagai bidang yang melibatkan sains sosial dan kemanusiaan. Karya-karya terjemahannya turut tersebar le dalam beberapa bahasa termasuklah, bahasa Itali, Sepanyol, Inggeris, Cina, Jepun dan pelbagai bahasa lagi. Dengan perkembangan ini, maka dengan itu teori-teori Luhmann ini mula diakses secara global (atau setidaknya boleh diperoleh dengan lebih mudah). Pada 1988, Luhmann telah dianugerahkan sebuah hadiah yang berprestij iaitu Hadiah Hegel di Stuttgart. Pada 1993, Luhmann dikurniakan Profesor Emeritus, dari Universität Bielefeld. Kemudian, setelah bertarung dengan sakit yang menderitakan, Luhmann akhirnya meninggal dunia pada 6 November 1998, di rumahnya, di Oerlinghausen, berhampiran dengan Bielefeld. Tepatnya pada waktu tersebut, Luhmann dengan jayanya melengkapkan 30 tahun projek "teori masharakat", sepertimana yang digariskannnya pada 1969.

Teori Masharakat

Dari takrif Luhmann, teori masharakat adalah teori komunikasi. Takrif ini diberi kerana Luhmann berpendapat bahawa masharakat sebenarnya adalah terdiri dari komunikasi.(20) Bagi Luhmann, "masharakat" adalah bermakna semua komunikasi yang sedang berlangsung. Untuk lebih memahami lagi, Luhmann turut berpendapat bahawa masharakat adalah sebuah gabungan sistem-sistem komunikasi. Justeru, dalam usaha untuk memahami teori komunikasi Luhmann yang kompleks ini, maka kita mestilah memahami dahulu rangka-kerja menyeluruh bagi teori sistem umum (general systems theory), yang di dalamnya terdapat rangka-kerja khusus bagi teori sistem sosial (social systems theory). Teori komunikasi Luhmann ini, dalam cerminan yang lebih luas, adalah terbentuk dari konteks teori yang lebih besar.

Di sini, terdapat dua generasi dari sistem teori ini, dan Luhmann adalah berdiri di dalam generasi yang terakhir tersebut. Pada landasan yang Luhmann berdiri ini, konsep teori sistem sosial telah banyak diungkapkan antaranya sebagai, "teori sistem tertib-kedua" (second-order systems theory), "sibernetika tertib-kedua" (second-order cybernitics), atau juga teori-teori "kemunculan tertib-kedua" (second-order emergence). (21) Dalam pengenalan Soziale Systeme, Luhmann mengutarakan tentang apa yang disebutnya "perubahan paradigma dalam teori sistem", yakni lewat perubahan dari sebuah konsep sistemik yang berasaskan perbezaan seluruh/sebahagian (whole/parts) kepada konsep yang berasaskan perbezaan sistem/persekitaran. Dari sini, kita boleh juga memanggil teori sistem tertib-kedua ini sebagai "teori sistem-persekitaran" atau juga sebagai "teori sistem ekologi". Walau bagaimanapun, panggilan tersebut tidaklah begitu popular, dan tidak dipakai secara meluas. Berdasarkan kepada hal ini, Luhmann dalam kutipan di bawah, menjelaskan ciri-ciri teori sistem tertib-keduanya dalam sebuah perbandingan dengan tertib pertama.

"System differentiation is nothing more than the repetition within systems of the difference between system and environment. Through it, the whole system uses itself as environment in forming its own subsystems and thereby achieves greater improbability on the level of those subsystems by more rigorously filtering an ultimately uncontrollable environment. Accordingly, a differentiated system is no longer simply composed of a relatively large number of parts and the relations among them; rather, it is composed of a large number of operationally employable system/environment differences, which each, along different cutting lines, reconstruct the whole system as the unity of subsystem and environment." (22)

Berdasarkan kutipan di atas, kita dapat melihat sebuah contoh betapa padat dan teknikalnya bahasa yang digunakan Luhmann. Sehubungan dengan itu, di sini saya akan cuba untuk menjelaskan kerumitan ini menerusi sebuah anologi yang lebih nyata. Terlebih dahulu, analogi ini saya ambil dari biologi, yang mana merupakan bidang sains yang sangat sering diimbas oleh Luhmann (lewat Maturana dan Varela). Maka, untuk menjelaskannya, adalah diketahui bahawa sebuah konsep "cikai" (trivial) bagi jasad (body), bolehlah dilihat sebagai sebuah sistem atau keseluruhan organik yang merangkumi bahagian-bahagian individu. Sebagai contohnya, kita lihat saja pada organ-organ, di mana terdapat; paru-paru, jantung, limpa, dan seterusnya. Maka, jasad bolehlah disebut sebagai himpunan dari bahagian-bahagian yang memberi sumbangan terhadap sebuah fungsi keseluruhan (jasad). Bahagian-bahagian (atau, organ-organ) ini adalah berhubungan melalui cara di mana semua ini dapat membentuk sebuah keseluruhan. Maka, inilah juga yang dinamakan sebagai sebuah organisme, yang mana organisme ini dapat berfungsi sebagai sebuah mekanisme yang bersepadu (integrated mechanism). Sebuah pandangan alternatif (dan yang lebih kompleks) mengenai jasad dapat dibayangkan sebagai sistem-sistem, berbanding dari dibayangkan sebagai organ-organ. Seseorang mungkin memikirkan lebih lanjut mengenai sistem daya-tahan (immune system), sistem kardiovaskular, sistem saraf, dan begitulah seterusnya. Semua sistem-sistem ini tidaklah dapat ditempatkan pada tempat tertentu, dan tidaklah juga merupakan unsur individual yang boleh dilonggok bersama. Sebetulnya, sistem-sistem ini adalah proses-proses fungsi yang beroperasi di seluruh jasad tersebut. Lagi, sistem-sistem ini tidak boleh secara mudahnya dianggap sebagai bahagian-bahagian dari jasad tersebut. Dalam hal ini, setiap sistem adalah "beroperasi secara tertutup" (operationally closed). Mithalnya, peredaran darah, hanya boleh berlaku lewat peredaran darah juga. Tiada sistem biologi lain, yang berupaya mengambil alih fungsi peredaran darah ini. Namun, dalam rangka untuk memastikan peredaran darah terus berfungsi, maka sistem-sistem lain dalam persekitaran peredaran darah tersebut, seperti sistem daya tahan, mestilah turut sama berfungsi. Jadi, katakan bila peredaran darah berhenti, maka sistem daya tahan juga berhenti berfungsi, dan begitulah juga sebaleknya. Justeru, di dalam sistem yang kompleks ini, seperti jasad manusia ini, di sana terdapat banyak sekali subsistem yang saling membentuk persekitaran untuk sesamanya. Lalu, hubungan antara sistem-sistem ini adalah sangat kompleks serta mengandungi pelbagai garis silang (cutting lines) (antara sistem kardiovaskular dan sistem daya tahan, antara sistem sarat dan sistem kardiovaskular, antara sistem daya tahan dan sistem saraf, dll). Lewat keadaan yang sangat kompleks ini, yang sekaligus mengambarkan fungsi sebuah jasad, maka dapatlah dikatakan bahawa setiap dari sistem ini adalah cukup bermakna (dan penting) bagi fungsi untuk keseluruhan sistem, berbanding dengan hanya kepentingan sesebuah organ semata. Sebab itulah, organ-organ boleh saja diganti tatkala organ-organ tersebut tidak berfungsi baik, tapi bagaimanakah untuk kita mengganti sistem daya tahan atau sistem saraf, jika sistem-sistem tersebut gagal berfungsi?

Maka, dalam kata lain, teori sistem tertib-pertama, pada asasnya, adalah terdiri dari sistem-sistem sebagai "mesin-mesin cikai" yang berfungsi berdasarkan asas input-output. Mari kita lihat operasi dari sebuah mesin air soda. Di sini, sebuah mesin air soda, bolehlah dianggap sebagai sebuah keseluruhan yang terdiri dari beberapa bahagian mekanikalnya. Fungsi keseluruhan mesin air soda ini boleh digerakkan dari luar, menerusi sebuah input khusus yang secara mekanikalnya dan prosedurnya akan menghasilkan pemberian output tertentu. Sebagai contohnya, dengan memasukkan satu ringgit serta menekan punat tertentu, maka mesin air soda tersebut dapat mengeluarkan sesuatu (mengeluarkan air soda). Begitu juga contoh yang lain untuk teori sistem tertib-pertama ini seperti, pemanduan kereta, penggunaan komputer, pengendalian roket, ini semua boleh juga dijelaskan berdasarkan sibernetika mekanistik ini, maksudnya ini bolehlah dianggap sebagai sebuah "sains pengawalan" (steering science).

Sebaleknya, sibernetika tertib-kedua adalah memfokuskan mengenai cara untuk memahami sistem tertib-kedua, di mana keadaan ini tidak lagi dapat dianggap sebagai "cikai", sebaleknya sebagai "bukan-cikai" (nontrivial) atau boleh juga dianggap sebagai "mesin-mesin kompleks" --sebagai contohnya, sebuah jasad secara asasnya bukanlah terdiri dari organ-organ, tapi terdiri dari sistem-sistem.(23) Lantaran sistem-sistem ini adalah jauh lebih kompleks, dan sangat sulitnya untuk menduga hasil-akhirnya, serta tidak mudah lagi untuk dikendalikan. Di sana, tiada hasil kebolehjangkaan yang tepat (precisely predictable output) tatkala, mithalnya, seseorang mengambil ubat (drug) tertentu, atau melepaskan CO2 ke udara. Jadi di sana, tiada lagi peristiwa tunggal yang boleh dikenalpasti sebagai "output" bagi "input"nya. Di sana juga lagi, input bagi CO2 yang dilepaskan ke dalam udara tersebut, pastinya akan mengandungi pelbagai kesan kompleks. Dan, kesan kompleks ini akan bertindak terhadap beragam hubungan subsistem/persekitaran kompleks, yang mana dari situ membentuk iklim global.

Selain dari itu, perbezaan ketara lain antara teori sistem tertib-pertama dan teori sistem tertib kedua adalah berkaitkan dengan konsep masing-masing tentang perubahan. Secara jelasnya, perubahan, menurut sistem tertib-pertama, merupakan subjek yang bergantung seluruhnya kepada faktor-faktor luaran --yang mana ini semua adalah bersifat allopoietik, atau "terjana secara luaran" (externally generated). Sekali lagi, sebuah mesin air soda mungkin berubah dari penuh kepada kosong, atau dari kosong kepada penuh, yang mana ini bergantung kepada apa yang diletak di dalam mesin tersebut. Mesin air soda tersebut juga, mungkin juga berubah dari tidak berkarat kepada berkarat, yang mana ini bergantung kepada dedahan kelembapan yang diterimanya (moisture it is exposed to). Manakala, sistem tertib-kedua, tidaklah berubah dengan cara "rekaan" (creationist) tersebut. Sebaleknya, perubahan dalam sistem tertib kedua adalah dibentuk daripada tiada, tapi menerusi cara yang bersifat evolusi, dan perubahan tersebut terjana dari dalam dirinya sendiri. Sehubungan dengan itu, sistem tertib-kedua bolehlah dianggap sebagai bersifat autopoietik, atau "swa-janaan" (self-generating). Lihat saja, evolusi spesis-spesis (di mana aktiviti-aktiviti manusia mempunyai input dan kesannya dikenali sebagai output) adalah tidak dikawal, tapi berlaku menerusi swa-kawalan (self-steering). Swa-kawalan ini adalah sama sekali tidak boleh dipanggil sebagai kawalan saja. Kerana itulah, dipercayai bahawa tiada proses evolusi atau perubahan iklim yang akhirnya bertujuan untuk mencapai sebuah matlamat khusus, di dalam perjalanan sejarahnya. Jadi, swa-kawalan ini bukanlah sesuatu yang bersifat teologi. Sementara, teori pengawalan bagi sibernetika tertib-pertama hanyalah memberi perhatian tentang bagaimana sesebuah sistem kawalan berfungsi menerusi masukan input tertentu, yang mana ini akan membawa kepada dapatan sebuah output yang dikehendaki. Sebaleknya, sibernetika tertib-kedua pula menganggap bahawa pengawalan luaran adalah sama sekali tidak mungkin, yang mana ini sejajar dengan aturan sistem tertib-kedua yang besifat autopoietik tersebut. Mithalnya, lihat saja pada perubahan bumi, organisme biologi, minda, atau lebih tepat lagi buat Luhmann, lihat sajalah pada masharakat. Untuk semua sistem ini, inputnya adalah juga outputnya, dan begitulah sebaleknya. Dalam ungkapan yang lain, input dan output adalah saling berhubungan menerusi lompatan maklumbalas (feeback loops). Sistem yang bersifat autopoietik ini adalah sistem yang berada di mana-mana (immanent systems) --sama ada di dalaman-luarnya (inside-out) ataupun luaran-dalamnya (outside-in). (24)

Sebagai seorang ahli teori sistem, Luhmann bukanlah seseorang yang percaya pada tradisi dualisme Cartesian, yang mengusulkan wujud-bersama (coexistence) bagi dua substans utama, yakni antara res cogitans dan res extensa, atau antara minda dan jasad. Luhmann, sebaleknya, adalah seorang "triadis" (triadist). Pada Luhmann, di sana setidaknya terdapat tiga jenis sistem autopoietik yang berbeza --malah, mungkin saja lebih dari itu.(25) Sistem-sistem ini adalah berbeza, kerana masing-masing beroperasi dalam cara yang sama sekali berbeza. Sistem biologi, seperti jasad-jasad, beroperasi menerusi proses-proses kehidupan (life procesess) seperti peredaran darah, aktiviti saraf, penghadaman, reproduksi, dan bahagian sel-sel. Sistem mental pula beroperasi menerusi operasi-operasi mental seperti pemikiran, perasaan, dan emosi. Lalu di sini, Luhmann melihat dirinya sebagai seorang ahli sosiologi yang memberi fokus yang besar terhadap jenis ketiga sistem, iaitu sistem-sistem sosial. Dalam konteks ini, sistem-sistem sosial tidaklah bersifat kehidupan (biologi) dan tidaklah juga bersifat kesedaran (minda). Namun, sistem-sistem sosial ini tetap mampu berkomunikasi. Sama dengan sepertimana ahli sistemik biologi tertib-kedua yang mahu menjelaskan fungsi dari beragam sistem komunikasi yang terdapat di dalam masharakat, maka Luhmann turut bermaksud untuk menjelaskan mengenai fungsi dan saling gandingan (mutual coupling) bagi pelbagai sistem komunikasi yang terdapat di dalam masharakat ini. Mithalnya, di sana ada sistem ekonomi, di mana terdapatnya wang dan edaran nilai kewangannya; di sana juga ada sistem politik, di mana ada kuasa yang dijana dan dikekalkan; disana juga ada juga sistem hukum, di mana beroperasi atas asas perbezaan antara apa yang legal dan apa yang tidak-legal. Sepertimana jasad manusia, menerusi "kemunculan" (emergence), maka jasad manusia berevolusi dan membangun semua jenis sistem fungsi yang beragam di dalamnya. Maka, demikian juga masharakat berevolusi dan mencetuskan beberapa hal yang mustahil (lihat saja betapa banyaknya kemungkinan yang boleh berlaku dalam proses evolusi) dalam operasinya lewat komunikasi. Justeru, secara asasnya, masharakat adalah terdiri dari pelbagai jenis komunikasi yang --sedikit sebanyak-- secara kebetulannya, dan secara kontingennya, muncul menerusi proses-proses evolusi sosial. Di sini, "kehidupan" sosial (bercakap dalam bahasa metaforanya --kerana masharakat itu tidak hidup, sebaleknya hanya jasad saja yang hidup) mengambil-alih bentuk hukum, politik, ekonomi, keintiman, pendidikan, sains, agama, komunikasi perubatan, dan seterusnya. Semua jenis komunikasi ini muncul sebagai sistem-sistem komunikasi autopoiesis yang berfungsi dalam masharakat. Di dalam masharakat juga, semua sistem-sistem ini adalah merupakan persekitaran untuk yang selain dari dirinya.

Lebih lanjut lagi, masharakat dan sistem-sistem yang komunikasi ini, telah berevolusi di dalam persekitaran ektrasosial yang turut merangkumi minda-minda dan jasad-jasad, atau disebut juga sebagai mental dan biologi. Tanpa minda dan jasad di dalam persekitaran masharakat ini, maka di sana tidak akan ada komunikasi sama sekali; hanya sekadar ikan yang tanpa air. Walau bagaimanapun, kita sepatutnya tidak keliru mengenai bidalan ikan tanpa air tersebut, yakni kita mestilah tidak keliru dengan saranan mengenai masharakat atau sistem-sistem komunikasi yang tanpa "orang-orang" (people) ini. Sesungguhnya, adalah diterima bahawa manusia itu dapat berfikir dan hidup berdasarkan kepada sebuah persekitaran yang lengkap untuk proses evolusi dari sistem komunikasinya. Sebab itu, seandainya tiada jasad yang hidup atau berfikir, maka di sana tiada juga apa yang dinamakan sebagai masharakat. Namun begitu, kehidupan manusia dan pemikiran manusia dan perasaan manusia ini, semuanya bukanlah operasi-operasi komunikasi; tapi, semua ini yang pada hakikatnya berfungsi di luar masharakat. "Hanya komunikasi yang boleh berkomunikasi,"(26) dan bukannya manusia yang berkomunikasi. Barangkali inilah penyataan teoritis-komunikasi yang paling radikal hasil daripada teori sistem sosial Luhmann ini.

Teori Komunikasi

Luhmann memanggil teori masharakatnya yang "secara radikalnya anti-humanis" (radically anti-humanist), atau juga boleh dikenali sebagai teori komunikasi yang secara radikalnya anti-humanis.(27) Diulangi: panggilan ini tidaklah mahu menafikan tentang tiadanya komunikasi manusia tanpa pemikiran dan tanpa kehidupan; sebaleknya panggilan itu, hanya mengesahkan lagi anggapan munasabah tersebut. Bahkan, panggilan tersebut juga menafikan bahawa idea-idea Luhmann adalah bercanggah dengan manusia atau jasadnya atau mindanya. Hanya saja, Luhmann memikirkan bahawa konsep-konsep humanis --atau, dalam kata yang lebih baiknya, secara antropologinya-- adalah tidak sesuai dengan penjelasan teorinya dan analisa komunikasinya. Pada Luhmann, komunikasi, dan proses-proses biologi, serta proses-proses mental, masing-masing adalah beroperasi secara tertutup antara satu sama lain. Justeru, sesama mereka sangat memerlukan persekitaran mereka untuk memastikan mereka terus wujud --dan untuk memastikan masing-masing saling berkewujudan dan berkebergantungan, yang mana ini dipanggil Luhmann sebagai "gandingan struktur" (structural coupling) (dengan meminjam dari Maturana dan Varela)-- maka operasinya tidaklah pula "bersambungan" (connectivity): mithalnya, peredaran darah tidaklah boleh berlaku hanya menerusi berfikir mengenai peredaran darah-- sebaleknya, darah sepatutnya mengalir sesuai dengan operasi dan fungsinya. Begitu juga, seseorang tidaklah boleh lulus dalam peperiksaan (bertulis) hanya dengan menghafal semua jawapan di dalam mindanya. Sebaleknya, seseorang itu mestilah menulis jawapannya (yang terdapat di dalam mindanya) di dalam peperiksaan untuk memastikan jawapan tersebut dianggap benar. Jadi, seseorang itu mestilah menulis jawapannya agar dapat disemak oleh pengajar, kerana operasi semakan sama sekali tidak mempertimbangkan tentang apa difikirkan oleh pelajar sewaktunya menulis kertas jawapannya tersebut. Manakala, permarkahan tidak pernah (berlaku sama ada untuk pengajar mahupun untuk pelajar juga) menunjukkan apa yang pengajar sebenarnya berfikir atau rasakan ketika membaca kertas jawapan tersebut. Hakikatnya, sebuah peperiksaan adalah sebuah produk komunikasi yang tidak mampu memaparkan semua aktiviti mental (ini belum dinyatakan lagi mengenai proses-proses jasad yang berlaku dalam peperiksaan tersebut) yang terdapat di dalam pemikiran pelajar saat menulis jawapannya di dalam peperiksaan tersebut. Sebab itu, sebuah pemarkahan tidaklah memaparkan, dalam mana-mana keadaan psikologipun, sebarang keputusan itu datang dari pemikiran pengajar. Melainkan, semua pengajar yang memberikan grad 80 itu mestilah mempunyai sebuah pemikiran yang sama dan serupa saat masing-masing memutuskan hal tersebut.

Sebenarnya, teori Luhmann adalah bermatlamat untuk mengantikan sebarang jenis mental atau mengantikan takrif kalangan humanis terhadap makna komunikasi dengan sebuah fungsi yang tulen. Di sini, Luhmann secara jelasnya mengelak untuk berbicara mengenai komunikasi dalam istilah "pemaparan" (expression), "pertukaran" (exchange) atau "agensi" (agency). Dalam konsep komunikasinya, tiada lagi penghantar (sender) dan penerima (receiver), dan tiada apa yang dipindahkan --setidaknya, sama ada secara mental mahupun fizikal. Sebagai contohnya, pemindahan wang dari akaun anda ke akaun saya adalah sebenarnya sebuah transsaksi kewangan antara akaun-akaun tersebut yang mana itu ditujukan (addressed) kepada saya dan anda, tapi di dalam proses tersebut tiadalah apa "ditukarkan" atau "dipindahkan" daripada minda anda atau jasad anda kepada minda saya dan jasad saya, setidaknya untuk kes ini. Menurut Luhmann, hal yang sama benar juga berlaku bagi semua komunikasi. Bahkan, perkara yang melibatkan cinta yang paling intim sekalipun tidaklah boleh secara literalnya dianggap sebagai pertukaran idea-idea atau pertukaran perasaan-perasaan. Eva Knodt, dengan menarik telah membahaskan "pasrah hermeneutik" (hermeneutic despair) yang muncul dari kemustahilan ini di dalam prakata Soziale Systeme. "Dalam babak pembukaan Danton's Death, penulis drama Jerman abad ke-19, Georg Büchner telah mementaskan tentang apa yang secara ringkasnya sebagai adegan primitif bagi pasrah hermeneutik ini. Dalam tanggapan terhadap percubaan untuk memastikan diri kekasehnya memahami sunguh-sungguh akan perhubungan mereka, pratagonis dalam drama tersebut membuat sebuah insharat terhadap dahi wanita tersebut dan menyatakan: "di sana, di sana, apakah pembohongan-pembohongan ada di sebalek ini? Teruskan, kita memang gagal memahami. Tapi bagaimana untuk memahami antara sesama kita? Kita mesti memecahkan tengkorak kita dan mendorong pemikiran untuk keluar dari selirat mindanya."(28) Tapi, tentu saja, pemikiran adalah tidak dapat ditemukan (untungnya, seseorang mungkin dapat menambah) di dalam selirat akal (brain) kita. Akal, minda dan (malah keintiman) komunikasi adalah beroperasi secara tertutup antara satu sama lain. Di sana, tiada pemikiran atau perasaan yang terdapat di dalam akal atau di dalam komunikasi. Masing-masing kekal sebagai operasi sistem mental semata. (Menariknya juga, itu dapat disimpulkan bahawa anggapan mutakhir yang lazim bahawa pemikiran dan perasaan adalah bertempat di akal, di mana ini tidak berpadanan dengan anggapan Greek kuno dan Cina bahawa jantung adalah organ bagi semua aktiviti mental).

Jadi, berbanding dengan sebuah percubaaan kognitif atau model humanis bagi usaha pertukaran atau pemaparan ini, Luhmann sebaleknya mencadangkan sebuah teori fungsi komunikasi sebagai alternatifnya. Di sini, komunikasi tidaklah ditakrifkan menerusi perkiraan persekitaran komunikasi (adanya manusia, sebagai contohnya). Maka, adalah sebuah kekeliruan jika mahu menakrifkan komunikasi ini di dalam istilah pemikiran atau idea. Dan, ini juga sama kelirunya jika hal ini ditakrifkan sebagai proses-proses mental, yakni dalam istilah psikologi akal pula. Sebaleknya, Luhmann mencadangkan takrif komunikasi sebagai sintesis fungsi bagi tiga detik (three moments), untuk sebuah proses "pemilihan" (selection), yakni, pengumuman (announcement) (29), maklumat (information) dan pemahaman (understanding).

Dalam konteks ini, bahasa, tentu saja, adalah salah satu cara untuk berkomunikasi. Tapi, di sana terdapat banyak juga cara-cara yang lain: ini termasuklah tanda-tanda, insharat-insharat, dan media, seperti wang atau markah (peperiksaan). Sehubungan dengan itu, dalam usaha untuk memastikan komunikasi ini dapat berjalan, maka tiga pemilihan ini mestilah berfungsi serentak. Mithalnya, tatkala saya menghantar markah pelajar saya ke pejabat pendaftar, maka saya boleh menduga bahawa terdapat sebuah pengumuman (pemakluman) terhadap maklumat ini yang boleh difahami (sesiapa saja). Sebelum itu, saya memang tidak pernah ke pejabat pendaftar, dan saya memang tidak mengenal sesiapapun di sana. Saya tidak ada gambaran langsung tentang suasana kerja serta suasana perkerja di sana. Dan, mereka juga tidak mengetahui tentang saya. Kami tidak pernah berbicara antara satu sama lain --bahkan, tidak pernah berhubung secara emailpun. Namun, komunikasi kami dapat saja berjalan dengan lancar dan sempurna. Bila saya mengisi markah dalam kertas penandaannya, maka maklumat tersebut dapat difahami oleh pejabat pendaftar (dan itu dapat diketahui oleh sesiapa saja yang bertugas di sana). Mereka memahami bahawa markah tersebut adalah dicatat (diumum) oleh pengajar untuk kuliah tertentu pada akhir semester tertentu. Dan satu lagi, benar, bahawa semua peristiwa mental dan fizikal ini perlu berlaku (pelajar, pengajar, dan kakitangan masing-masing perlu berfikir dan hidup), tapi dari sebuah perspektif kefungsian, komunikasi adalah secara operasinya adalah tidak mandiri (independent). Di sana tiada pertukaran: markah adalah tidak boleh secara literalnya diberikan dari satu orang ke satu orang yang lain. Dan, "pemahaman" tersebut tidak semestinya tepat dan benar. Lihat saja, banyak pelajar saya yang kerap salah-faham tentang kandungan yang saya ajarkan, tapi itu tidaklah menghalang dari kuliah saya diteruskan --tapi adalah sebaleknya. Katakan sekiranya pelajar saya sudah memahami apa yang akan saya ajarkan, maka di sana tidak perlu lagi kuliah. Sebuah peperiksaan yang gagal difahami (soalan-soalannya), itu tidaklah bermakna bahawa peperiksaan tersebut adalah kurang fungsinya (sebagai komunikasi) berbanding dengan peperiksaan yang berjaya (difahami soalan-soalannya). Keduanya, sama ada perperiksaan yang gagal mahupun peperiksaan yang berjaya, masing-masing maseh lagi berpandukan kepada sistem pemarkahan, dan keduanya tetap menyumbang dalam keberlangsungan sistem pendidikan.

Sistem-sistem komunikasi, dan juga masharakat, adalah untuk membina erti (sense). Di sini, erti menunjukkan "ufuk" (horizon) (Luhmann meminjam istilah ini dari Husserl) kemungkinan di dalam sesuatu bagi mendapatkan maknanya. Meletakkan markah 80 untuk seseorang pelajar prasiswazah, sebagai contohnya, mempunyai maksud tertentu sekiranya angka tersebut mempunyai sebuah ufuk yang bermakna bagi suatu skema pemerakahan. Dan, ini juga memberi makna tertentu pada transkrip, serta kemudiannya memberi makna terhadap penyemakan transkrip bagi sebuah kriteria pemilihan, dalam rangka pemilihan di dalam sebuah program pascasiswazah, dan begitulah seterusnya. Sistem-sistem komunikasi (mithalnya, sistem sosial) dan sistem mental, merujuk kepada Luhmann, adalah "sistem yang memproses erti" (sense-processing systems). Sistem ini menghasilkan erti dan kemudian mengoperasikannya berasaskan produk tersebut. Dalam makna yang literal bagi paparan ini, komunikasi adalah membikin erti (makes sense), maka kerana itu, komunikasi turut membina dirinya (it constructs it).

Justeru, beragam sistem komunukasi di dalam masharakat, semuanya adalah membikin erti. Sebagai seorang "konstruktivis radikal" (radical consructivist) (30), Luhmann tidak percaya bahawa fungsi-fungsi masharakat adalah berasaskan kepada sebarang pra-sosial yang universal. Baginya, sesuatu itu mempunyai nilai ekonominya, dan sesuatu itu adalah dibayangkan sebagai sebuah kerja seni, dan sesuatu itu bertindak berdasarkan kepada sistem legal dan sistem yang lain-lainnya, dan di sana terdapat juga kuasa politik, institusi agama dan kepercayaan-- yang mana semua ini, menurut Luhmann, adalah pelbagai hasil dari pembikinan komunikatif (communicative construction). Tidak seperti Sokrates dalam Republik-nya. Sebagai contohnya, Luhmann tidak percaya pada "idea keadilan" (idea of justice) sebagai sebuah subjek yang layak untuk ditekuni. Bagi Luhmann lagi, dalam sebuah contoh untuk menunjukkan konstruktivisme sosialnya, keadilan adalah sebuah "formula kontingensi" (contingency formula) yang dihasilkan dalam sistem legal.(31) Pada asas formula inilah, sistem legal beroperasi tanpa ada batasnya. Sistem legal ini boleh mengistiharkan sesuatu itu sama ada legal atau tidak-legal; mithalnya, merokok di tempat awam sebagai adalah legal dalam kes tertentu dan tidak-legal pada kes yang lain. Bahkan, undang-undang ini boleh diralat lagi di masa depan. Pada masa yang sama, operasi dalam sistem legal ini turut membenarkan sistem-sistem lain dalam persekitarannya untuk menghasilkan "resonance" (resonance) dengan caranya sendiri. Media massa, sebagai contohnya, mempunyai peluang-peluang baru untuk melapor berita-berita yang bersifat skandal. Berita tersebut boleh melaporkan bahawa seorang bintang filem sedang merokok saat dirinya diwawankata di sebuah festival filem --dan bayangkan saja jika tiada undang-undang merokok yang sedemikian rupa, maka persitiwa tersebut mungkin saja tidak dilaporkan di TV.

Sekiranya sistem-sistem sosial tidak mempunyai matlamat khusus, maka begitulah juga dengan sistem biologi. Kerana itu, sistem biologi hanya didorong oleh kelahiran (procreation) and perkembangan (proliferation). Ini adalah sesuatu yang kadangkala, berjaya mahupun gagal. Sesetengah spesis ternyata dapat terus hidup (berjaya), manakala sesetengah yang lain pula mengalami kepupusan (gagal). Selain itu, sistem komunikasi tidaklah berkembang secara teologi. Sebab itu, perkembangan komunikasi legal ini tidak membawa masahrakat ke arah yang adil. Perkembangan komunikasi politik dan sistem politik pula, sama sekali tidak meningkatkan kekuatan masharakat. Biarpun sistem komunikasi ini tidak mengalami kemajuan, dan tidak memahami antara sesama dengan lebih baik dan baik lagi, namun sistem komunikasi ini terus saja berevolusi menerusi adanya "sambungan"nya (connectivity). Jadi, sistem komunikasi ini membangun mekanisme-mekanisme untuk melangsungkan operasinya. Kerana itu, sesebuah pilihanraya adalah bertujuan untuk membenarkan satu perkara yang lain, kepada satu perkara yang lain. Demikian juga, berita hari ini akan membenarkan berita hari esok; undang-undang hari ini akan membenarkan sebuah perbicaraan di mahkamah pada hari esok; dan begitulah seterusnya.

Maka, biarpun sistem komunikasi ini tidak menetapkan makna akhir (ultimate meaning), tetap saja komunikasi maseh bererti (makes sense); tanpa sebuah kemajuan (progress) sekalipun, komunikasi maseh menawarkan peluang-peluang baru; dan tanpa membenarkan kita untuk memahami secara sempurna antara sesama kita, komunikasi maseh juga mampu untuk menawarkan kepada kita sebuah khayalan tentang apa yang kita lakukan: "sesungguhnya, memahami selalu juga merupakan sebuah kesalahfahaman, yakni tanpa memahami tentang apa yang salah (mis) itu." (32)

Kritik dan Tanggapan

Tentu saja, seperti dijangka, sikap "antihumanisme radikal" (radical antihumanism) dari Luhmann ini mengundang beberapa kritikan. Kebanyakan dari kritikan ini dapat dihimbau lewat kontroversi Frankfurt-Bielefeld pada 1970-an. Memang, Luhmann dan Mazhab Frankfurt, hanya mempunyai sedikit saja kesepakatan. Justeru, debat kedua kubu yang berseberangan tidak lebih dari ungkapan terhadap perbezaan dan ketakserasian yang ketara. Di sini, Mazhab Frankfurt bolehlah difahami sebagai percubaan untuk kelompok tersebut melanjutkan diktum terkenal Marx bahawa falsafah --teori komunikasi, dalam kes ini-- tidak sepatutnya hanya untuk menafsirkan dunia, tapi mestilah juga untuk mengubahnya.(33) Perbezaan yang paling asas antara teori Habermas dan teori Luhmann adalah berkenaan dengan pengkaedahan (methodological). Habermas bermaksud untuk memperbaiki masharakat menerusi anjuran komunikasi yang lebih rasional, sementara teori Luhmann pula tidaklah semata bersifat deskriptif, tapi juga cuba untuk menunjukkan batas-batas pada percubaan untuk memacu sosial (social steering). Dengan anggapan terdapat kompleksiti yang tinggi bagi sistem komunikasi di dalam masharakat semasa (contemporary society), Luhmann menyatakan bahawa sebarang percubaan untuk memacu sosial masharakat semasa ini akan selalu berhujung dengan sebuah kesia-siaan. King dan Thornhill, dalam telaahnya mengenai teori politik dan hukum dari perspektif Luhmann, secara menariknya telah merumuskan kritik-kritik atas Luhmann ini, sama ada kritik langsung dari tokoh Mazhab Frankfurt atau juga dari kalangan yang bernada sama. Kritik-kritik ini dapatlah dihimpun sebagai mewakili kritik-kritik (keseluruhan) atas teori komunikasi Luhmann. Sebuah versi ubahsuai bagi pelbagai kritik-kritik ini, seperti yang disenaraikan King dan Thornhill, adalah menuduh Luhmann:

- menolak untuk melihat komunikasi sebagai sebuah alat untuk perkembangan masharakat.
- gagal untuk mempertimbangkan agensi manusia dalam komunikasi.
- teorinya adalah tidak lebih dari sebuah jenama baru bagi konsertavisme.
- menolak rasionaliti sebagai keadilan universal bagi kesahan (validity), nilai dan legtimasi komunikasi, dan
- enggan untuk terlibat dalam debat berkenaan dengan isu-isu politik dan sosial semasa yang berkaitan dengan komunikasi."(34)

Meskipun asas dari kritik-kritik ini lebih terkait sebagai wacana akademik, sebetulnya teori Luhmann tetap saja mempunyai kesan yang cukup bermakna terhadap beragam bidang di dalam kemanusiaan mahupun sains sosial.(35) Walau bagaimanapun, kesan yang boleh dilihat sehingga sejauh ini ialah di Eropah dan Amerika Latin. Selain itu, teori Luhmann turut mendapat sambutan hangat di Jerman, Itali, England, Sepanyol, dan negara-negara di luar Eropah yang berbicara dalam bahasa Sepanyol-Portugis. Di Amerika Utara, penerimaan terhadap teori Luhmann ini adalah lebih terbatas. Kita mungkin dapat mengagak tentang alasan di sebalek ini. Pada saya, setidaknya terdapat dua alasan iaitu (i) pertamanya adalah asas bukan-humanis (nonhumanist) pada teori komunikasinya, yang mana ini berseteru dengan dominasi wacana di Amerika Utara yang cenderung kepada pandangan liberal dan komunitarian, seperti hal-hal yang berkait masharakat warga (civil society); dan (ii) keduanya gaya-tulisan Luhmann yang tidak mesra-pembaca. Biarpun terdapat sejumlah dari karya-karya luhmann diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, dan tentunya banyak lagi dijangka terbit, namun gaya-penulisan Luhmann yang samar (cryptic) dan berbelit (convoluted) adalah sangat tidak menarik untuk para pembaca di Amerika Utara.(36)

Namun, meskipun kalangan akademia di Amerika Utara menolak untuk menelaah teori Luhmann ini dengan serius, tapi adalah dijangka bahawa idea-idea Luhman ini akan mula diterima, barangkali kerana aspek komunikasi yang bukan-humanisnya mula menampakkan bukti nyata di belahan tersebut. Mithalnya, perkembangan terbaru dalam ekonomi, media massa, dan politik, setidaknya menurut pandangan saya, adalah berguna untuk analisa deskriptif, dan malah dapat menjangkau kepada huraian terhadap fenomena seperti krisis ekonomi yang muncul pada 2008. Malah, fenomena ini dapat dihuraikan lewat sebuah istilah humanis yang terkenal, yakni sebagai "ketamakan" (greed). Barangkali juga, kutipan yang berikutnya dapat memotret sambutan masa depan terhadap hasil-hasil kerja Luhmann dalam kajian komunikasi di Amerika Utara ini. "Komunikasi, dan lebih am-nya lagi adalah penandaan, adalah sebenarnya aspek-aspek struktur sosial/proses, berbanding dengan sebuah perkara yang melibatkan kognitif yang mandiri. Dan, seluruh dari seluruh asas ini adalah sama sekali tidak lepas dari sumbangan Luhmann." (37)

Catatan Kaki:

1. Kutipan dari sebuah wawankata Wolfgang Hagen, dari Radio Bremen, dengan Luhmann: tersiar pada 2 Oktober 1997. Transkrip wawnakata tersebut termuat di www.radiobremen.de/online/luhmann/es_gibt_keine_biographie.pdf. Terjemahannya pula dilakukan oleh saya. Dalam bahasa Jerman, Luhmann menggunakan istilah "Nazi-Umwelt" dalam anologinya kepada istilah "Sistem-Umwelt" yang merupakan teorinya. Selain dari apa yang dinyatakan, semua maklumat biografi yang dipaparkan di sini adalah diambil dari penyataan Luhmann dalam wawankata tersebut.

2. Minum arak pada sebuah festival awam sewaktu berkeruman dengan masharakat tempat adalah dianggap sebagai sebuah keutamaan sosial di Jerman. Mereka yang menolak untuk terlibat dari aktiviti ini mungkin akan berdepan dengan kesukaran dalam mendapatkan kedudukan lebih baik di perkhidmatan awam.

3. Sebuah bibliografi penulisan Luhmann yang komprehensif ditulis oleh Sylke Schiermeyer dan Johannes F. K. Schmidt, "Niklas Luhmann --Schriftenverzeichnis," Soziale System: Zeitschrift fur soziologische Theorie 4, no. 1 (1998): 223-263.

4. Lihat www.radiobremen.de/online/luhmann/es_gibt_keine_biographie.pdf.

5. Lihat Die Gesellschaft der Gesellschaft. Frankfurt/Main: Suhrkamp, 1997: 11.

6. Social Systems. Terjemahan John Bednarz Jr. dengan Dirk Baecker. Standford: Standford University Press. 1995: 4.

7. Lihat Niklas luhmann dan Juergen Habermas. Theorie der Gesellschaft oder Sozialtechnolgie: Was leistet die Systemforschung? Frankfurt/Main.: Suhrkamp, 1971.

8. Protest. Frankfurt/Main: Suhrkamp, 1996.

9. Berkenaan dengan perbezaan antara sibernetika tertib-pertama dengan sibernetika tertib-kedua, lihat Bruce Clarke, posthuman Metamorphosis: Narrative and Systems (New York: Fordham University Press, 2008), 4-7

10.Short Cuts. Frankfurt/Main.: Zweitausendeins. 2000: 25.

11. Lihat bab berkenaan Luhmann dalam Juergen Habermas, The Philosophical Discourse of Modernity: Twelve Lectures (Cmabridge, Mass.: MIT Press, 1987).

12. Semua buku, kecuali yang terakhir adalah diterbitkan oleh Suhrkamp (Frankfurt/Main); Die Realitat der Massenmedien (Opladen: Westdeutscher Verlag). Das Recht der Gesellschaft, terjemahan Klaus A. Ziegart (Oxford: Oxford University Press, 2002); Dier Kunst der Gesellschaft, terjemahan Eva Knodt (Stanford: Stanford University Press, 2000); Die Realitat der Massenmedien, terjemahan Kathleen Cross (Stanford: Stanford University Press, 1996).

13. Die Religion der Gesellschaft (Agama Masharakat) (Frankfurt/Main: Suhrkamp, 2000); Die Politik der Gesellschaft (Politik Masharakat) (Frankfurt/Main: SUhrkamp, 2000); Das Erziehungssyem der Gesellschaft (Sistem Pendidikan Masharakt) (Frankfurt/Main: Suhrkamp, 2002).

14. Diterbitkan oleh Suhrkamp (Frankfurt/Main); sebuah terjamhan Inggeris sedang siap diterbitkan.

15. Dierbitkan oleh Suhrkamp (Frankfurt/Main). Terjemahan oleh Jeremy Gaines dan Doris L. Jones, Lover as Passion: The Codification of Intimact (Cmabridge, UK: Polity Press, 1986). Sejumlah makalah Luhmann tentang semantik diterbitkan dalam empat siri oleh Suhrkamp (Frankfurt/Main) di bawah judul Gesellschaftsstruktur und Semantik (Struktur Sosial dan Semantik) pada 1980, 1981, 1989, dan 1995.

16. Terjemahan oleh John Bednarz Jr. (Chicago: University of Chicago Press, 1989).

17. Terjemahan oleh Rhodes Barrett (New York: De Gruyter, 1993).

18. "Deconstruction as Second-Order Observing." New Literary History 24 (1993): 763-782.

19. "Why does Society Describe Itself as Postmodern?" Cultural Critique 30 (1995): 171-186.

20. Untuk pengenalan yang lebih rinci berkenaan teori Luhmann, lihat buku saya Luhmann Explained: From Souls to Systems (Chicago: Open Court, 2006).

21. Berkenaan teori sistem tertib-kedua, lihat Clarke, Posthuman Metamorphosis, 7; berkenaan dengan sibernetika tertib-kedua dan kemunculan tertiba-keuda, lihat N. Katherine Hayles, How We Became Posthuman (Chicago: University of Chicago Press, 1999), 6, 243.

22. Social Systems. Terjemahan John Bednarz Jr dengan Dirk Baecker. Stanford: Stanford University press, 1995. 7.

23. Perbezaan istilah antara mesin-mesin cikai dan bukan-cikai adalah merujuk kembali pada Heinz von Foerster. Lihat Clark, Posthuman Metamorphosis, 141-142.

24. Saya meminjam catatan tentang lagu Beatles ini dari esei Ranulph Glanville dan Francisco Varela, "Your Inside Is Out and Your Outside is In (Beatles 1968)," dalam Applied Systems and Cybernetics, vol. 2, ed George E. Lasker (Oxford: Pergamon, 1981) 638-641.

25. Lihat bab kelima (The Last Footnote to Plato: A Solution to the Mind-Body Problem).

26. Lihat "How Can the Mind Participate in Communication?" Dalam Materialities of Communication, ed. H. U. Gumbrecht dan K. L. Pfeiffer. Stanford: Stanford University Press, 1994.

27. Die Gesellschaft der Gesellschaft. Frankfurt/Main: Suhrkamp, 1997. 35.

28. Social Systems. Terjemahan John Bednarz Jr dengan Dirk Baecker. Stanford: Stanford University press, 1995. xxiv.

29. Istilah ini juga adalah diterjemahkan dalam Inggeris sebagai "utterance."

30. Social Systems. Terjemahan John Bednarz Jr dengan Dirk Baecker. Stanford: Stanford University press, 1995. xxiv.

31. Lihat Law as a Social System. Terjemahan Klaus A. Ziegert. Oxford: Oxford University Press, 2005. 468.

32. The Reality of the Mass Media. Terjemahan Kathleen Cross. Stanford: Stanford University Press, 2000. 97.

33. Sebagaimana yang diformulasikan dalam tesis ke-sebelas melawan Feuerbach.

34. Lihat Michael King dan Chris Thornhill, Niklas Luhmann's Theory of Politics and Law (New York: palgrave Macmillan, 2003), 204.

35. Untuk sebuah gambaran berkenaan kesan akademik uhmann di Jerman dan Eropah, lihat Henk de Berg dan Johannes Schmidt, eds. Reeption und Reflexion: Zur Resonanz der Systemtheorie Niklas luhmanns ausserhalb der Soziologie (Suhrkamp: Frankfurt/Main, 2000).

36. Lihat bab kedua (From Necessity to Contingency: A Carnvalization of Philosophy).

37. Harrison C. White, Identity and Control: How Social Formations Emerge, 2nd ed. (Princeton: Princeton University Press, 2008), 337.

_________
Makalah ini adalah terjemahan bebas dari The Radical Luhmann, karangan Hans-Georg Moeller, di bawah tajuk, "Niklas Luhmann (1927-1998): A Short Intellectual Biography", terbitan Columbia University Press (New York, 2012), halaman 121-137.

2 comments:

PEP said...

Saudara ada menulis buku?

AF said...

Maaf. Tiada.