www.flickr.com

Tuesday, February 4, 2014

Pengagihan-Semula dan Pengakuan: Kerangka Alternatif untuk Pembangunan Dasar yang Melibatkan Kaum Aborigin

Membaca makalah "Redistribution and Recognition: Assessing Alternative Frameworks for Aboriginal Policy in Canada", tulisan Robert Maciel dan Timothy E.M. Vine, memberi kepada kita gambaran betapa penting pembangunan dasar sesebuah negara, agar dibina berasaskan kepada keseimbangan antara pengagihan-semula (redistribution) dan pengakuan (recognition).

Keseluruhannya, makalah ini membahaskan kedua persoalan ini dalam tujuh pecahan.

Sebagai pecahan pertama (1), makalah ini membicarakan mengenai latar belakang hubungan antara negara dengan kaum Aborigin. Dalam sejarahnya, kaum ini telah menjadi mangsa kepada proses peradaban dan assimilasi, serta menjadi subjek kawalan negara (Kanada) menerusi dasar-dasar yang berasaskan kolonial (colonial-based policy) dan kemudiannya dasar-dasar yang hanya berasaskan kepada pengagihan pula. Justeru, bertolak dari keadaan ketakseimbangan kuasa ini, maka terdapat keperluan untuk menstruktur-semula hubungan antara Aborigin dengan negara (state).

Dalam pecahan ini juga, ditegaskan mengenai keperluan untuk memasukkan aspek pengakuan ke dalam aspek pengaihan-semula di dalam setiap pembangunan dasarnya. Dengan melakukan pendekatan ini, maka negara dapat memberi reaksi yang tepat terhadap sebarang tuntutan dari golongan orang asal. Lantas, dengan sebuah pendekatan dasar yang lebih menyeluruh, maka ini juga akan dapat menstrukturkan semula hubungan tak seimbang yang sedia-ada. Bagaimanapun, menurut penulis, pendekatan yang ditawarkan ini mestilah selari dengan garis idealogi liberalisme (merujuk kepada Law of Peoples dari John Rawls).

Manakala pada pecahan kedua (2), ketiga (3) dan keempat (4), dibahaskan mengenai gambaran tentang konsep pengagihan-semula dan pengakuan. Dalam bahagian ini, penulis memaparkan mengenai beberapa pandangan dari beberapa pemikir tentang dua konsep ini, yang merangkumi perbezaan serta perkaitannya.

Di sini, untuk konsep pengagihan-semula, terdapat dua pemikir yang dikupas, iaitu menerusi John Rawls dan Willy Kymlicka, dan fokus diberikan kepada konsep keadilan distributif (distributive justice). Perbezaan besar antara kedua pemikir ini ialah di mana Rawls percaya pada teori kebajikan egalitarian bagi sebuah keadilan distributif, manakala Kymlicka pula memakai konsep yang sama tapi dipanjangkan ke dalam konteks tuntutan keadilan dari minoriti nasional.

Dalam hal ini juga, ada penjelasan panjang dan teknikal mengenai pendirian dua pemikir ini tentang konsep pengagihan-semula, yang mana bahagian ini tidaklah ingin dibahas di sini. Namun, catatan yang penting untuk diungkap di sini ialah, betapa Kymlicka melihat terdapatnya ketakseimbangan kuasa antara negara dan kaum Aborigin, sehingga ketempangan ini menuntut sebuah rumusan dasar baru. Maka, rumusan dasar baru tersebut ialah dengan mempertimbangkan konsep pengakuan agar selari dengan konsep pengagihan.

Dalam konsep pengakuan, makalah ini membariskan beberapa pemikir dalam perbicaraannya. Ini termasuklah dari Charles Taylor, Michael Sandel, James Tully dan Axel Honneth.

Perbezaan antara para pemikir ini ialah, Taylor banyak membicarakan mengenai konsep pengakuan dan perkaitannya dengan keaslian (originality), keautentikan, dan identiti. Manakala, Sandel pula membahaskan mengenai kesalah-pengakuan (misrecognition), dan hubungan antara pengakuan dengan kesahan tujuan-kolektif (legitimate collective ends).

Sementara, Tully pula membicarakan mengenai saling-pengakuan (mutual recognition) dan fungsi pengakuan untuk semua pihak (Aborigin dan bukan-Aborigin). Dan, terakhir, Honneth membahaskan mengenai pengakuan dalam konteks yang lebih luas, yang berkaitan dengan ketidakadilan sosial (social injustice). Bagi Honneth, konflik pengagihan itu sebenarnya sudah termuat dalam salah-satu daripada perjuangan untuk mendapatkan pengakuan.

Meskipun begitu, idea unik Honneth ini dikritik Fraser, yang menyatakan bahawa pendapat Honneth ini gagal untuk menganalisa ketaksaksamaan dalam ekonomi kapitalis. Bagi Fraser, bentuk ketidakadilan dalam konteks ini adalah satu aspek yang berada di luar jangkauan pengakuan seperti yang disebutkan Honneth tersebut.

Lanjutan dari pecahan seterusnya (pecahan kelima) (5), adalah dibahaskan lebih lanjut mengenai perspektif gandingan antara pengagihan-semula dan pengakuan. Dalam pecahan ini juga, dirangkumkan penghujahan Fraser tentang mengapa perlunya gandingan ini dalam menangani ketakadilan sosial.

Bagi Fraser, kedua aspek ini --pengagihan dan pengakuan-- adalah saling diperlukan untuk menangani ketakadilan. Menurutnya, kedua aspek ini bukan anti-tesis, sebaleknya adalah saling melengkapi.

Ini kerana, tegas Fraser dalam petikan makalah ini, bahawa pengagihan semata takkan mampu untuk berurusan dengan perbezaan (difference). Perbezaan di sini bukan saja merujuk kepada ketaksaksamaan dalam ekonomi, tapi juga ketaksaksamaan dalam etnik, budaya, dll. Dengan pengalaman dalam ketempangan sosial (social disadvantage), maka sudah tentu konsep pengagihan saja tidak mencukupi. Menurut pengarang, kasus kaum Aborigin adalah contoh terbaik, tentang bagaimana peminggiran bukan saja berlaku dalam aspek ekonomi, tapi juga dalam aspek ketempangan sosial, perlekehan budaya, dll.

Maka, untuk memperbaiki keadaan ini, Fraser berhujah menerusi konsep "pariti penyertaan" (participatory parity). Dalam konsep ini, terdapat dua keadaan yang diperlukan, iaitu keadaan objektif dan keadaan intersubjektif. Dalam hal keadaan objektif, di dapati bahawa ketaksaksamaan ekonomi akhirnya telah mendorong keterbatasan dalam memperbaiki keadaan hidup masing-masing (hujah ini merujuk kepada pengagihan). Manakala, dalam hal keadaan intersubjektif, itu pula merujuk kepada corak institusi (yang berkaitan dengan negara) yang mana institusi tersebut tidak membenarkan kebudayaan tertentu untuk dihargai (hujah di sini pula merujuk kepada pengakuan).

Jadi, untuk mengatasi dua hambatan ini, --ketempangan ekonomi dan ketempangan sosial--, maka Fraser menawarkan idea perspektif dualisme (dualism perspectival). Di sini, dalam kasus kaum Aborigin, di dapati daripada kajian tertentu bahawa dengan menghargai kebudayaan mereka, maka ini secara tidak langsungnya telah memperbaiki kualiti hidup kaum Aborigin. Pendapat Fraser ini selari dengan Kymlicka, yang berpendirian bahawa ada hubungan erat antara pemupukan kehidupan yang baik dengan penyegaran budaya mereka.

Sehubungan dengan itu, berasaskan kepada pandangan Fraser ini, maka tujuan pemuliharaan kebudayaan masharakat orang asal, itu bukanlah semata demi memulihara kebudayaan tersebut. Tapi, lebih dari itu, tindakan tersebut adalah demi juga untuk memperbaiki realiti sosial dan realiti ekonomi dalam komuniti mereka.

Berdasarkan kepada penerangan dalam pecahan ini, maka ternyata Fraser telah memperjelaskan mengenai kesaling-terikatan antara pengagihan dan pengakuan dalam memperbaiki kualiti komuniti tertentu. Dengan adanya dasar yang mempertimbangkan kelangsungan kebudayaan tertent, itu sekaligus akan memperbaiki keadaan sosial dan ekonomi komuniti tersebut. Dan, inilah yang dimaksudkan oleh Fraser mengenai istilah perspektif dualisme.

Seterusnya, dalam pecahan keenam (6) makalah ini, penulis memaparkan bagaimana usaha untuk mereaslisasikan perlaksanaan dasar yang bersifat pengaihan dan pengakuan ini secara menyeluruh.

Sebagai asasnya, penulis mencadangkan buku Rawls yang berjudul "Law of Peoples" dijadikan sebagai panduan. Dengan mengambil buku ini sebagai pedoman, maka ini akan membantu memperjelaskan langkah pengambilan dasar yang tepat, sesuai dengan keadaan semasa kaum Aborigin.

Meskipun Rawls menyatakan bahawa konsepnya adalah merujuk kepada masharakat liberal, namun ini tidaklah bererti bahawa masharakat bukan-liberal (seperti kaum Aborigin) tidak boleh dihargai dan tidak boleh didefinisikan dalam konsepnya. Selagi kaum Aborigin menerima konsep autonomi hak individu yang asas, maka pandangan Rawls ini maseh lagi relevan, meskipun untuk kasus kaum Aborigin.

Bagi Rawls, prinsip keadilan itu adalah secara tersiratnya bersifat sosial dan universal. Jadi, adalah munasabah untuk dipakai prinsip ini dalam konteks kaum Aborigin. Ada beberapa hujah yang dikemukakan. Ini termasuklah, Kanada adalah negara multi-nasional yang menerima konsep liberal, jadi ini bukanlah sebuah masalah untuk negara tersebut mempertimbangkan dasar-dasarnya yang mesra-Aborigin.

Keduanya, kaum Aborigin adalah kelompok yang diakui mengalami sejarah gelap dan ketakadilan lampau (past injustice). Ketiga, kerajaan Kanada telah mengakui dakwaan penindasan yang mereka lakukan. Dan keempat, kaum Aborigin merupakan salah satu kelompok yang terdefinisi menerusi konsep "peoples", seperti mana yang dinyatakan Rawls.

Jadi, dengan merasakan bahawa kaum Aborigin adalah kelompok sah dalam negara Kanada, maka sebuah dasar yang berasaskan pengakuan mestilah dipertimbangkan, dan dasar ini mestilah dirangkumkan ke dalam dasar yang berasaskan pengagihan yang telah sedia ada. Jadi, setiap dasar bukan saja mementingkan status ekonomi kaum Aborigin, tapi juga mesti mementingkan sekali pemuliharaan kebudayaan mereka. Jadi, mahu tak mahu, setiap dasar yang bakal digubal mestilah dipandu oleh sebuah teori yang ada asas pengagihan dan pengakuan.

Tidak seperti Kymlicka, yang menyatakan bahawa pemuliharaan kebudayaan Aborigin adalah semata berdiri atas asas otonomi individu (merujuk kepada faham liberalisme). Sebaleknya, pemasukan dasar yang bersifat pengakuan, sebenarnya adalah turut bertujuan untuk mengurangkan kesenjangan sosial (sekaligus ekonomi) kaum tersebut. Malah, faham liberalisme Kymlicka ini akan bermasalah apabila kita melihat lebih lanjut kepada sejarah gelap antara negara Kanada dengan kaum Aborigin.

Jadi, dengan perlaksanaan dasar yang berasaskan pengakuan, itu terntaya akan membantu mengurangkan ketakseimbangan kuasa antara negara dan kaum Aborigin, juga sekaligus dapat menyingkirkan terus dasar yang bersifat kolonial dan pengagihan semata. Di samping itu juga, perlaksanaan dasar baru ini --yang berasaskan kepada gandingan pengagihan dan pengakuan-- akan turut membantu dalam memperbaiki hubungan tegang antara negara Kanada dengan kaum Aborigin.

Sebagai pecahan terakhirnya (7), yang merupakan bahagian kesimpulan, maka tuntutan dasar baru yang mesra kebudayaan Aborigin adalah amat diperlukan. Namun, pengarang mencatatkan bahawa, kita perlu berhati-hati dalam memakai istilah seperti keadilan, kerana itu mungkin ada takrif yang berbeza mengikut kaum-kaum tertentu. Selain dari itu, perlaksanaan dasar baru ini akan dapat mengurangkan patologi sosial (mungkin merujuk kepada kejanggalan yang berlaku abkibat transisi antara kehidupan moden dan kehidupan tradisi mereka) yang terdapat dalam kaum Aborigin, selain meneruskan pengagihan kekayaan ekonomi yang saksama. Malah, sekiranya pihak pemerintah mengakui kezaliman lampaunya terhadap kaum Aborigin, itu adalah menjadi petanda awal ke arah hubungan yang sehat. Namun, langkah awal ini mestilah diteruskan pula dengan pendekatan-bersama (mutual engagement) antara negara dan kaum Aborigin.

Sebagai catatan akhirnya, penulis menyedari bahawa makalahnya tidaklah memperhatikan beberapa persoalan yang berkait, seperti siapakah yang layak mewakili kaum Aborigin (kerana terdapat banyak kelompoknya); adakah semua kelompok Aborigin mempunyai nilai yang serupa, dll.

Tapi, terlepas dari semua ini, sebuah dasar baru yang mesra pengagihan dan pengakuan perlulah diperkenalkan terhadap kaum Aborigin, dan ini boleh terpakai selagi mana kaum Aborigin terdefinisi dalam konsep "peoples"nya Rawls tersebut.

Bacaan rinci:

Robert Maciel dan Timothy EM Vine. 2012. Redistribution and Recognition: Assessing Alternative Frameworks for Aboriginal Policy in Canada. The International Indigenous Policy Journal, Volume 3, Issue 4.

No comments: