www.flickr.com

Tuesday, February 4, 2014

Tentang Martabat

"Human dignity requires both due recognition, and adequate redistribution, and social inclusion requires nothing less and, perhaps, nothing more."

Martabat (dignity) itu bermata dua. Mata pertama, martabat mewakili aspek material. Mata kedua, martabat mewakili aspek bukan-material. Dalam bahasa falsafah politik, kedua sisi ini boleh diwakili dalam istilah pengagihan dan pengakuan.

Jelas, pengagihan (distribution) dan pengakuan (recognition), masing-masing merupakan inti kepada martabat. Penyataan ini sebenarnya adalah selari dengan petikan pembukaan tulisan ini, yang telah menekankan betapa pentingnya dua aspek ini dalam rangka untuk memastikan perlaksanaan pemasukan sosial (social inclusion).

Petikan pembukaan tersebut, merupakan kalimat penutup dari makalah Zoë Morrison, "On Dignity: Social inclusion and the politics of recognition". Bagaimanapun, hampir keseluruhan makalah ini tampaknya lebih tertumpu kepada penjelasan mengenai persoalan-persoalan yang bukan-material manusia, iaitu aspek pengakuan. Atau, lebih tepat lagi, makalah ini di dapati mahu menghuraikan dengan lebih rinci mengenai aspek pengakuan intersubjektif.

Istilah pengakuan intersubjektif (intersubjective recognition), adalah digunakan pengarang bagi membezakannya dengan pengakuan yang bersifat institusi (institutional recognition). Oleh kerana wacana tentang pengakuan intersubjektif adalah relatif sedikit dalam persoalan pengubalan dasar, maka di sini pengarang mengambil inisiatif dengan lebih banyak memperbahaskan serta menghubungkannya dengan pengakuan yang bersifat institusi dan juga lebih jauh lagi, dengan menghubungkannya dengan konsep pengagihan.

Lalu, apa yang istimewa dari makalah ini ialah, kita akan dapat melihat bagaimana pengarang cuba untuk menunjukkan betapa sesebuah dasar yang bersifat pemasukan sosial adalah sangat memerlukan aspek material dan bukan-material, sekaligus.

Namun, untuk memahami lebih lanjut perkara ini, maka adalah lebih baik kita mengenali terlebih dahulu beberapa istilah yang akan dibicarakan dalam keseluruhan makalah ini.

Terdapat tiga istilah utama iaitu, (1) pengakuan (termasuk pengakuan intersubjektif dan pengakuan yang bersifat institusi), (2) pengagihan (-semula), dan (3) pemasukan sosial. Ini adalah tiga kata yang mesti difahami sungguh-sungguh, sebelum wacana ini dimulai. Sebab, tanpa pemahaman definisi ini, maka adalah sangat sulit untuk kita membayangkan bagaimana caranya sesuatu martabat manusia dapat dipertahankan.

Pertamanya, kita akan berkenalan dengan istilah pengakuan. Istilah ini, seperti yang dikutip oleh pengarang dari Axel Honneth, adalah merujuk kepada sikap hurmat-menghurmati sesama manusia ekoran dari sifat manusia yang bitara (unique) dan setara (equal). Definisi ini juga, adalah berkaitan dengan sifat manusia yang mempunyai rasa kedirian (sense of self), rasa kesejahteraan (wellbeing) dan rasa bebas serta berfungsi dalam masharakat.

Bagaimanapun, Nancy Fraser, yang juga rakan intelektual Honneth, telah cuba merangka sebuah konsep baru terhadap istilah pengakuan ini. Dengan tidak mengikat definsi pengakuan ini hanya kepada konteks psiki individual seperti yang digambarkan oleh Honneth tersebut, sebaleknya Fraser mengaitkannya kepada sesuatu yang bersifat status dan pariti penyertaan (participation parity).

Berdasarkan kepada perbezaan istilah yang dikemukakan Fraser ini, maka Macdonald dan Merrill (2002), telah membahagikan antara pengakuan intersubjektif (Honneth) dengan pengakuan yang bersifat institusi (Fraser). Untuk lebih memahami perbezaan antara Honneth dan Fraser mengenai istilah pengakuan intersubjektif dan pengakuan yang bersifat institusi ini, maka adalah lebih wajar untuk kita melihat apa yang dimaksudkan oleh keduanya.

Pada Honneth, pengakuan (intersubjektif) adalah kemampuan kita menjadi individu menerusi pengakuan oleh manusia yang lain. Dan, sekiranya kita dinafikan pengakuan ini, maka itu dengan sendirinya bererti kita mengalami kecederaan dalam identiti kita, serta mengherot hubungan dalam rasa-kedirian. Jadi, tujuan murni politik pengakuan, menurut Honneth adalah untuk memulihkan kecederaan ini, lalu mengembalikan rasa kedirian individu tersebut.

Namun, pandangan Honneth tentang takrif pengakuan sebegini dipertikaikan oleh Fraser. Bagi Fraser, pengakuan (yang bersifat institusi) itu mestilah dihubungkan dengan insitusi-institusi serta pariti penyertaan, dan ini mestilah juga lebih berbanding dengan hanya sekadar psiki individual dan status identiti sahaja. Padanya, hanya dengan takrif sebegini sajalah, kita akan dapat mendekatkan tujuan pengakuan dengan tujuan pengagihan.

Meskipun demikian, dalam makalah ini juga, pengarang makalah ini menegaskan betapa pentingnya peranan pengakuan intersubjektif, seperti yang digariskan Honneth tersebut, terutamanya sebagai "pembuka jalan" kepada terlaksananya pengakuan yang bersifat institusi, sekaligus mengatasi sebarang kemelut nyata dalam persoalan pengagihan.

Di sini, konsep pengagihan sering saja mendapat lebih tumpuan, ekoran sifatnya yang tampak (material). Dalam definisinya, pengagihan ialah suatu konsep yang berkaitan dengan kesaksamaan atau keadilan dalam pengagihan kekayaan di dalam sesebuah masharakat. Ini juga berkait rapat dengan aspek ekonomi, pendapatan, sumber daya, serta kedudukan sosial. Dalam cara fikir yang lebih lanjut, kegagalan mengurus kesaksamaan kekayaan bakal mendorong kepada kemiskinan, ketakadilan dan penindasan di dalam sesebuah masharakat.

Seterusnya, kini kita akan serba-sedikit pula berkenalan pula dengan konsep pemasukan sosial. Dalam maknanya, pemasukan sosial ialah sebuah konsep multidimensi dalam menangani jurang sosial dan ekonomi di dalam sesebuah masharakat. Konsep multidimensi yang diguna-pakai ini adalah bertujuan untuk menangani masalah kesenjangan ekonomi dan kerana sifatnya yang multidimensi, maka pada dasarnya konsep ini adalah turut berkaitan dengan persoalan-persoalan yang melibatkan non-material, seperti budaya, identiti, kebebasan, dan seumpamanya.

Justeru, dalam memastikan jayanya sesebuah dasar pemasukan sosial sehingga mampu meningkatkan mutu hidup sesebuah masharakat, maka aspek yang melibatkan pengakuan (intersubjektif dan yang bersifat institusi) dan pengagihan mestilah dipertimbangkan sekaligus, tanpa pengecualian salah-satu darinya.

Setelah kita memahami apa maksud dari tiga istilah yang telah diungkapkan di atas (pengakuan, pengagihan dan pemasukan sosial), maka eloklah kita dalami pula bagaimana pengakuan dan pengagihan ini boleh saling berkaitan.

Untuk hal ini, kita akan menelaah pandangan Fraser mengenai pengakuan dan pengagihan ini. Bagi pemikir feminis ini, pengakuan atau dalam bahasa Frasernya, adalah diwakili dengan frasa "keadilan budaya". Manakala pengagihan adalah diwakili dengan frasa "keadilan ekonomi." Menurutnya, sesuatu hal yang terdapat dalam masharakat, adalah boleh mempunyai dua dimensi ini --keadilan budaya dan keadilan ekonom. Mithalnya, persoalan gender dan persoalan kaum.

Dalam persoalan gender (dalam kategori pengakuan), sudah menjadi kebiasaan bahawa golongan perempuan sering saja dikonotasikan kepada mangsa keganasan domestik, gangguan seksual dan peminggiran dari ruang awam. Ini sekaligus hampir sama dengan persoalan gender dalam kategori pengagihan, di mana perempuan turut dikaitkan dengan gaji-rendah, tidak-profesional, serta perkerjaan yang bersifat domestik.

Dalam contoh lain, ialah persoalan yang berkaitan dengan kaum. Di sini, dengan mengamati pengakuan dalam aspek kaum, maka selalunya kaum bukan kulit puteh akan sering mendapat stigma negatif, buruh kasar, dan mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi. Sebaleknya, kaum kulit puteh pula dikonotasikan berseberangan dengan itu.

Jadi, dari dua contoh ini, Fraser ingin menyatakan bahawa pengakuan dan pengagihan adalah dua aspek yang perlu ditangani secara bersama, dalam usaha untuk memastikan keadilan sosial di dalam sesebuah masharakat. Dengan memberi keadilan budaya dan keadilan ekonomi secara sekaligus, maka barulah sesebuah masharakat dapat diberdayakan.

Lebih rinci lagi, Fraser juga menganalisa bahawa terdapat juga pertentangan antara keadilan budaya dan keadilan ekonomi di dalam masahrakat. Walaupun hal ini tidak dijelaskan oleh pengarang dengan rinci, namun di dapati maksud pertentangan ini adalah merujuk kepada pihak-pihak yang ada menyatakan bahawa pembahagian dua dimensi ini tidak relevan. Tuduhan Fraser ini kerana, kononnya dengan tumpuan kepada keadilan ekonomi semata itu sudah cukup untuk menyelesaikan segalanya.

Bagaimanapun, sikap Fraser yang melihat wujudnya (potensi) pertentangan antara keadilan budaya dan keadilan ekonomi ini, telah disambut dengan nada yang berbeza oleh beberapa pemikir yang lain.

Mithalnya, dalam analisa yang lebih halus, Young (2001) memberi contoh mengenai sambutan persaudaraan Afrika-Amerika, manakala Hunter (2007) memberi contoh mengenai hubungan antara identiti budaya orang Asal di Australian dengan kedudukan sosioekonomi mereka. Sementara, Macdonald dan Merril (2002) memaparkan contoh mengenai dilema para pengasuh (childcare).

Berdasarkan kepada contoh-contoh ini, Young Hunter, dan Macdonald & Merril, masing-masing berpendirian bahawa politik pengakuan dan politik pengagihan adalah saling melengkapi, dan bukannya saling bertentangan seperti yang dimaksudkan Fraser.

Apapun, dalam bahagian ini, kita telah dipaparkan tentang bagaimana politik pengakuan dapat berfungsi untuk mengatasi masalah kemiskinan di dalam sesebuah masharakat. Dalam bahasa Fraser, "mereka (yang menjadi mangsa) perlu menaik-tarafkan kelas komuniti dan budaya mereka bagi memulihkan kecederaan tersembunyi (hidden injury) dalam kelas mereka, dalam ini bertujuan untuk memastikan mereka yakin kepada diri mereka sendiri." Jadi, di sini kita melihat Fraser juga percaya bahawa pembangunan pengakuan dan pengagihan adalah perlu dilakukan secara serentak.

Untuk bahagian berikutnya, kita akan meneliti serba-sedikit bagaimana konsep pemasukan sosial ini dapat dijayakan menerusi bantuan konsep pengakuan dan pengagihan tersebut. Untuk itu, kita akan melihat tiga kasus yang melibatkan integrasi antara pengakuan dan pengagihan. Tiga kasus tersebut ialah (1) penyertaan dalam kejiranan, (2) penyertaan dalam kerja-buruh dan keluarga yang menganggur, dan (3) hidup-gelandangan serta kekerasan domestik.

Untuk yang pertama, pengarang makalah "On Dignity: ini berkongsi mengenai penglibatan masharakat bawahan terhadap projek-projek pembangunan.

Dalam projek "Together in Dignity Forth World Movement", pengarang memaparkan bagaimana komuniti setempat telah dilibatkan dalam pengubalan dasar. Dengan penglibatan golongan bawahan, ini telah menaikkan rasa harga diri golongan ini dalam status masharakat (pengakuan intersubjektif). Di samping itu juga, golongan ini turut merasa berfungsi dalam konteks pengubalan dasar yang mengambarkan sebuah pengakuan peranannya dalam institusi (pengakuan yang bersifat insitusi).

Selain dari contoh tersebut, kita juga boleh meninjau tentang keberkesanan kasus penyertaan tenaga-buruh dan keluarga yang menganggur, seperti yang dipaparkan oleh pengarang makalah ini. Dalam kasus ini, adalah di dapati bahawa tenaga buruh selalunya dikaitkan dengan kerja murahan dan mereka sering dipandang hina (pengakuan intersubjektif). Bahkan, dalam waktu yang sama, golongan ini juga dikonotasikan dengan gender, etnik serta keterbatasannya (pengakuan yang bersifat institusi).

Demikian juga kita dapat melihat perkaitan erat antara pengakuan dengan pengagihan dalam kasus hidup-geladangan dan kekerasan domestik. Dalam kasus ini, pengarang menyatakan bahawa mereka yang hidup-gelandangan adalah mereka yang sekaligus mengalami kekerasan rumahtangga. Mereka ini, selalunya akan kehilangan rasa percaya diri (pengakuan intersubjektif). Ini ditambah lagi mereka ini lazimnya terdiri dari wanita dan kanak-kanak, yang mana ini gagal dilindungi oleh dasar-dasar yang sedia ada (pengakuan yang bersifat institusi).

Justeru, dari tiga kasus ini, kita dapat menyaksikan betapa ada hubungan yang rapat antara rasa hormat sesama manusia (pengakuan) dengan kedudukan ekonomi individu mahupun kelompok tertentu (pengagihan). Lebih jelas, golongan seperti masharakat bawahan, tenaga-buruh, hidup-geladangan, dll ini semua adalah golongan yang miskin, dan tidak mendapat nikmat kekayaan yang seimbang dan keadaan ini dengan sendirinya merendahkan martabat sosial mereka.

Sehubungan dengan itu, makalah ini secara jelas merumuskan bahawa pemasukan sosial, terutamanya dalam hal pengubalan dasar, hanya akan akan lebih bererti, sekiranya dilibatkan sama mengenai persoalan pengakuan.

Dalam kata lain, pengakuan dan pengagihan mestilah menjadi agenda serentak, bagi memastikan kejayaan setiap pengubalan dasar yang berkaitan pemasukan sosial. Dan, hanya dengan cara ini saja, martabat manusia dapat dibela dengan cara yang lebih menyeluruh dan tepat pada sasarannya. Bak mengulang petikan pembukaan, tapi kali ini dalam terjemahan:

"Martabat manusia memerlukan kedua-duanya, pengiktirafan dan pengagihan yang mencukupi, dan pemasukan sosial memerlukan tidak kurang dan, mungkin, tidak lebih."

No comments: