www.flickr.com

Wednesday, September 21, 2005

Kemelut Fikiran Aktivis Kampus

Saya mengamati, rata-rata di kampus dewasa ini kelihatan para aktivisnya gagal untuk berfikir secara kritis, rasional dan demokratis, seolah-olah membayangkan bahawa budaya ini tidak lagi dianggap sebagai amalan yang signifikan. Hal ini jelas tergambar menerusi beberapa realiti pendekatan gerakan mahasiswa yang mudah sangat dimomok-momokkan dengan pengaruh politik kepartian yang berada di luar kampus.

Ya, sebenarnya bukanlah salah untuk kita bersetuju dengan parti-parti politik, tetapi jangan sampai seluruh orientasi dan arah pemikiran aktivis kampus itu gagal mencerapi kesan pembudayaan nilai akibat rasa terikat mereka. Di sini juga, aktivis kampus tidak harus menjadikan taklid sebagai wahana gerakan, hingga mendorong kepada ‘kelumpuhan paradigma’ serta kebuntuan untuk menganalis fenomena persekitarannya.

Cuba kita teliti pada kebanyakan kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh aktivis kampus, lazimnya idea mereka ini akan terarah pada blok-blok politik, sembari berselindung dengan slogan perjuangan kebajikan mahasiswa. Tetapi kelantangan mereka ini tidak mempunyai makna apa-apa pun, kerana ideanya tidak merangkumi suatu analisis yang bernas sambil memuatkan beragam teori ilmu yang terkini.

Upamanya, sejauh mana aktivis kampus mampu menghayati serta memugar nilai-nilai menerusi aktiviti demokratisasi dalam gerakan mereka? Yang jelas, kerana gagal memahami hasrat murni dari pesan demokrasi ini, banyak aktivis kampus yang menjadi dogmatik, tertutup, manakala sebahagian yang lain merasa bahagia bila berjaya menundukkan kumpulan gerakan mahasiswa yang berseberangan dengan ideanya.

Namun, apa natijahnya? Adakah ini matlamat akhir sebuah gerakan mahasiswa, iaitu mahu melihat ada yang menang dan ada yang kalah? Dan, ke manakah menghilangnya agenda untuk merangsang kemajuan berfikir dan bertindak di kalangan warga kampus itu sendiri? Saya kira, barangkali aktivis kampus lebih seronok bila mereka sentiasa menang dalam pilihanraya kampus, meskipun mereka sendiri tidak demokratik!

Bayangkan, hingga kini sukar untuk saya temui ada di kalangan mahasiswa yang cuba memperluaskan skop bacaan serta diskusi mereka di luar pentas kuliahnya. Mahasiswa hari ini khabarnya lebih senang dengan bahan-bahan yang ringan-ringan, yang sarat dengan seloka cinta anak muda, tetapi begitu sinikal sekali dengan soal-soal yang serius, yang memerlukan pemupukan budaya analitik.

Kemelut sebeginilah yang memasung minda di kalangan mereka. Kerana kurang membaca, khususnya displin-displin ilmu di luar kuliahnya, akhirnya mereka tidak mampu untuk sosialisasikan ilmunya dalam bentuk gerakan yang memikat, dengan penguasaan ilmu yang mantap dan corak berhujah yang kemas, sesuai dengan gelaran mereka sebagai “mahasiswa”, bukannya “pelajar”!

Pada saya lagi, pembentukan budaya secara halus ini sememangnya mengancam masa depan negara. Bahkan, selagi mana mereka masih berpaut pada ‘sindrom kebergantungan’, maka hakikatnya negara kita sedang menempah bahaya! Sebab, jika aktivis kampus sendiri sudah mundur fikirannya, mana mungkin masyarakat dapat mengharapkan sesuatu yang lebih bermakna dari mereka.

No comments: