www.flickr.com

Thursday, September 29, 2005

Menembus Batas Waktu

Mulyadi Kartanegara ada menulis sebuah buku yang bertema, Menembus Batas Waktu: Panorama Filsafat Islam. Menariknya, buku ini melihat bagaimana menerusi revolusi kuantum, faham naturalistik dan materialistik telah mula tergugat, meskipun—kata Kartanegara— jika ditumbangkan.Buku ini sudah lama saya ketahui, cumanya baru-baru ini saja kebetulan membacanya, itupun secara tidak sengaja memandangkan buku ini merupakan salah satu siri dalam himpunan buku-buku filsafat yang diterbitkan oleh Penerbit Mizan. Di samping itu, Kartanegara—yang merupakan Doktor dalam bidang Filsafat dari Universiti Chicago, Amerika Syarikat—turut menulis satu lagi buku iaitu, Mozaik Khazanah Islam: Bunga Rampai Dari Chicago.

Menembus Batas Waktu merupakan sebuah buku yang berintikan serius, tetapi gembiranya, penulis berjaya menyampaikan dalam bahasa yang mudah, selain cara penulisannya yang membayangkan evolusi pemikiran sang pengarang. Hal ini sangat menyenangkan para pembaca saya kira.Tema utama yang ingin saya kupas ialah soal sains, idealogi dan agama. Kartanegara menerangkan, semenjak Abad Pertengahan Eropah lagi, manusia (Barat khususnya) sudah mula menjadikan faham materialistik dan naturalistik dengan bersandarkan rumus Newton sebagai suatu faham yang multak, tak terbantah.

Bagi Kartanegara lagi, andainya kita boleh mempersoalkan paradigma Cartesian-Newtonian, yang cuba membangunkan pandangan alam ini secara tentuistik-mekanidtik, maka tidak mustahil juga kita boleh menghancurkan bangunan naturalistik dan materialistik sekaligus.

Apa itu naturalistik? Faham ini mempercayai bahawa hukum alam ini bersifat deterministik, pasti dan tidak berubah-ubah, kata Kartanegara. Maksudnya begini, selepas Tuhan menyiapkan alam ini, ia membiarkannya terurus secara mekanikal tanpa sebarang campur tangan lagi, macam sistem jam randik (contohnya). Menurut Dr. Wan Fuad Wan Hassan dalam Ringkasan Sejarah Sains—sebuah buku yang disempurnakan semasa cuti sabatikal—faham ini adalah sangat dominan dalam komuniti sains di barat semenjak Abad Pertengahan. Namun, mereka yang mula-mula sekali menwar-warkan secara sistematik faham ini ialah Voltaire, filosof Revolusi Perancis.

Nah, apa itu materialistik pula? Khalayak mungkin beranggapan ia merujuk kepada seseorang itu bersikap kebendaan semata-mata. Barangkali mudah begitu, atau barangkali juga tidak. Namun dalam filsafat sains, ia sebenarnya membawa pengertian yang lebih menarik, dan lebih saintifik. Materialistik di anggap sebagai faham yang percaya bahawa alam semesta ini tersusun daripada jasad (matter), iaitu atom. Kita tahu bukan, atom merupakan komponen terkecil dalam alam semesta ini, justeru seluruh alam ini adalah terdiri dariapda benda! Ini hujah kaum materialis!

Kendatipun begitu, hujah kaum naturalis dan materialis ini boleh dipatahkan oleh fenomena dalam fizik kuantum. Bidang yang dipelopori oleh Max Planck, Einstein, Schrödinger dan Heisenberg ini benar-benar telah menjadikan faham naturalistik dan materialistik sebagai usang. Sebab, hukum determinsime-mekanikal, juga hukum kebersebaban tidak lagi relevan dalam alam atom yang selama ini dipercayai oleh kaum materialis. Hal inilah yang mendorong Heisenberg merumuskan Prinsip Ketaktentuan sebagai alternatif untuk menyelesaikan persoalan ini.

Anehnya, Einstein yang realisme masih tidak berpuashati dengan Heisenberg. Cara pandang macam Einstein ini turut terseret pada Stephen Hawking yang memerli, "Tuhan bukan sahaja bermain dadu, tetapi dadu yang dilempar tidak dapat dilihat oleh semua". Sebab itu juga, kata Paul Davies dalam God and The New Physics, sepertimana yang di kutip oleh Kartanegara, "soal ketidaktentuan ini turut meluas ke dalam semua fenomena, atom dan subatom, hingga memerlukan sebuah penilaian balik terhadap kepercayaan umum untuk mejelaskannya."

Begitu juga, bilamana ditemukan bahawa atom - yang sebelum ini dianggap sebagai benda—rupa-rupanya masih dapat dipecah-pecahkan lagi. Atom, seperti yang yang tersurat dalam teori atom, ia terdiri daripada hadron-hadron iaitu nukleas (proton dan neutron) dan orbit (electron). Namun, kalau kita perhalusi semula sifat-sifat atom ini, sebahagian besar isinya terdiri daripada ruang-ruang kosong, lantaran nisbah elektron, proton dan neutron hanya upama sebiji guli dengan luas tiga buah padang bolasepak! Jadi, bolehkan kita katakan bahawa atom itu masih lagi bersifat benda?

Jika tidak, nah, bukankah ini satu pukulan yang sangat berat pada kaum naturalis dan materialis? Pada meraka, kononnya agama, dan ritual agama (seperti du’a) tidak boleh mengubah apa-apa kerana semuanya sudah ditentukan menerusi hukum kesebaban. Jadi, paradigma Cartesian-Newtonian yang tertutup, yang bebas nilai, yang subjektiviti hinggakan mahu menerapkannya sebagai weltanschauung kehidupan manusia, kini mana mungkin lagi boleh dianggap sebagai satu sistem tunggal? Namun, harus diingat juga, kehadiran fizik kuantum bukanlah bermakna telah ditemukan satu sistem tunggal yang baru.

No comments: