www.flickr.com

Saturday, October 1, 2005

Cartesian-Newtonian

Maaf, rasa-rasanya sudah kerap saya mengungkapkan istilah paradigma Cartesian-Newtonian dalam tulisan-tulisan sebelum ini. Paradigma kembangan Rene Descartes (1579-1650) dan Isaac Newton (1643-1727). Namun sayangnya, hingga kini penjelasan tentang soal ini masih belum diperhalusi lagi dengan sebaik-baiknya. Memang, dalam pengalaman barat, terutamanya bermula daripada zaman Renainsans-nya (1300-1700), paradigma komuniti sainsnya telah mula dikatakan menunjukkan bibit-bibit peralihan dari kepercayaan sains-wahyu kepada kepercayaan sains-akal.

Dalam meninjau kembali sejarah peralihan ini, punca utamanya disebabkan meledaknya revolusi sains yang telah tercetus ekoran krisis-krisis dalam pengkajian sains semasa zaman tersebut, iaitu dalam waktu zaman renainsans. Dan, krisis yang paling signifikan pada revolusi ini ialah perubahan cara pandang manusia terhadap kedudukan bumi dari bentuk heliosentrik kepada bentuk geosentrik seperti yang war-warkan oleh Nicolaus Copernicus (1473-1543), ahli falsafah Poland.

Sebab itu, Thomas S. Kuhn, Professor dari Machussesette Institute Technology (MIT) ada menyebut, bahawa perubahan cara pandang terhadap bentuk kedudukan dunia ini merupakan suatu anjakan paradigma. Ini dinyatakan dalam adikaryanya, The Structure of Scientific Revolution (1962). Buku Kuhn ini, kemudiannya telah diterjemahkan oleh Shaharir Mohamad Zain, Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) sebagai Struktur Revolusi Sains (1997), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dalam istilah paradigma yang diperkenalkan oleh Kuhn ini sebenarnya membawa pengertian yang merangkumi hukum, teori, aplikasi dan instrumentasi yang digunakan oleh sesuatu komuniti (dalam kes ini, komuniti sains barat).

Menariknya, sebelum munculnya ide Kuhn ini, Emmanuel Kant, failasuf berkebangsaan Jerman yang berpengaruh, turut menggunakan mengambil signifikan revolusi Copernicus ini bagi menukar cara pandang terhadap hal-hal yang berhubungan antara subjek dan objek. Begini, andainya kita renungkan balik sebelum ini, lazimnya kita selalu berfikir bahawa subjek akan memandang objek-objek. Nah, kini kata Kant kita cuba ubah pula, iaitu objek-objek itu yang memandang subjek. Jadi, ia adalah melibatkan soal paradigma. Setelah mengendurnya pengaruh Aristotelian dalam komuniti sains barat, maka paradigma Cartesian-Newtonian di lihat mula mengambil alih peranan serta menguasai pemikiran komuniti sains barat, lebih-lebih lagi setelah zaman renainsans.Lebih mengukuhkan lagi, terdapat ramai fizikawan dewasa ini yang turut bersetuju bahawa pemikiran Descartes dan Newton merupakan sendi-sendi asas dalam membangunkan paradigma sains-akal ini. Ini termasuklah, Fritjof Capra dalam The Tao of Physics, Sayyed Hossein Nasr dalam The Spiritual Crisis of Modern Man, Morris Berman dalam The Reenchantment of The World serta Alfred Whitehead dalam Science and the Modern World.

Di samping itu, perlu juga kita sedari dari awal, bahawa paradigma ini turut dikukuhkan oleh beberapa tokoh sains yang lainnya, terutamanya mereka yang hidup dalam rentang waktu antara Descartes dengan Newton. Upamanya seperti Galileo Galilei , Johannes Kepler, John Locke, dll. Walaubagaimanapun, asas bagi kaedah paradigma ini ialah bersandarkan rumusan induktif seperti yang dikembangkan oleh Francis Bacon. Memandangkan asas-asas paradigma Cartesian-Newtonian bermuara dari rumusan saintifik seperti yang teruji dalam alam Newton, maka komuniti sains barat akhirnya mempercayai dan menyakini bahawa alam ini telah berfungsi secara mekanikal, kebersebaban, tentuistik, bebas-nilai, objektif, logik dan linear.

Justeru, apabila rumusan ini dilimpahkan dalam cara pandang mereka terhadap seluruh corak kehidupan di dunia, maka kefahaman inilah yang mendorong terbentuknya paradigma Cartesian-Newtonian, suatu paradigma yang juga disifatkan tertutup. Dan, kita namakannya tertutup lantaran pengaruh luar (atau juga pengaruh pengamat) tidak lagi berkesan dalam menentukan perubahan terhadap sebarang keputusan-keputusan ujikaji yang dijalankan, seperti yang dipercayai oleh Bacon.

Maka, ekoran dampak realisme paradigma Cartesian-Newtonian inilah, maka ianya turut dianggap telah mengambil-alih posisi agama (Kristian Katolik). Atau lebih sinikal lagi, seperti cakap Sayyed Hossein Nasr, sains barat konon-kononnya mahu menakluki alam tabii.

2 comments:

Anonymous said...

salam..
bole tak dperjelaskan apa itu revealed sciences (sains wahyu?)

Anonymous said...

jika ade article mengenai revealed sciences boleh tak emailkan ke adny2805@yahoo.com