www.flickr.com

Wednesday, January 18, 2006

Sekilas Sejarah Falsafah (1)

Sejarah Sejagat
Sebahagian Catatan Kuliah Prof. Dr. Abdul Latif Samian 2006

Sejarah sejagat (universal history) dikatakan bermula pada zaman kecerahan lagi, maksudnya dalam rujukan Barat. Manakala, sebelumnya para sejarawan hanya melihat sejarah menerusi konteks Kitab Injil semata-mata. Di samping itu juga, dunia sebelum munculnya sejarah sejagat hanya merangkumi dominasi beberapa kuasa besar sahaja. Ini termasuklah, Romawi (di Itali), Yunani (di Greek), Parsi (di Iran) dan Assyria (di Syria).

Walau bagaimanapun, pada kurun ke-17, masyarakat Barat telah menerima maklumat tentang kewujudan negara China dan India. Meskipun begitu, kedua-dua negara tersebut tidak dapat diletakkan dalam rangkuman mana-mana empayar yang sebelumnya. Sementara, pada penghujung kurun ke-18, konsep sejarah sejagat ini menjadi tema yang kurang diminati di kalangan masyarakat Barat ekoran beberapa faktor. Ini termasuklah, (1) pendekatan saintifik menyukarkan mereka untuk menangani tamadun, dan (2) munculnya negara-negara bangsa bersifat militan yang utamakan sejarah bangsa mereka dalam kerangka yang sempit. Dan, keadaan ini berterusan sehinggalah kepada Perang Dunia ke-II.

Sungguhpun demikian, pada awal kurun ke-20, minat terhadap sejarah sejagat ini kembali berputik dan mula diberi perhatian serius oleh masyarakat dunia. Perkembangan inilah yang mendorong perubahan beberapa suasana. Ini termasuklah, (1) dunia yang semakin mengecil, (2) globalisasi, iaitu peralihan dana Syarikat Multinasional serta citarasa yang sama, meskipun berbeza latarbelakang bangsa, negara dan agama. Di samping itu, (3) terdapatnya penyelidikan sejarah yang komprehensif ekoran dunia memasuki era ledakan maklumat, (4) kesan daripada Perang Dunia I dan Perang Dunia ke-II yang meningkatkan lelaran daripada beragam bangsa di dunia, dan terakhir (5) wujudnya dampak revolusi sains dan teknologi yang mempengaruhi penghijrahan para ilmuan sains di antara benua. Justeru, kesemua faktor yang dicatatkan ini di dapati telah mencetuskan komunikasi aktif antara benua-benua.

Malah, akibat daripada faktor-faktor inilah, sejarah tempatan kian tenggelam di bawah penguasaan sejarah sejagat. Bagi meninjau perbincangan tentang sejarah sejagat ini, banyak buku yang telah dihasilkan. Ini antaranya oleh H.G. Wells (1919) yang menulis Outline of History, Ralph Turner (1940) melalui The Great Culture Traditions dan Unesco, sebuah organisasi PBB menerusi Journal of World History dan History of Mankind.

Mengapa perlunya kita mengkaji perabadan manusia ini? Dan, apa signifikannya penyelidikan ini dalam menangani kerumitan sosial ekoran dampak dari sejarah sejagat ini? Hakikatnya yang paling nyata sekali, kajian seperti ini seharusnya dilakukan bagi membantu umat manusia merangka satu konsep yang lebih holistik (menyeluruh) di bawah kesedaran bahawa sejarah peradaban keseluruhan manusia adalah hasil daripada sintesis sejarah setiap bangsa, negara dan tamadun dunia.

Bagi mendekati seruan ini, kita boleh meneroka bagaimana peradaban Eropah Moden yang terbentuk dewasa ini bukanlah dari jujukan sejarah negara-negara pinggiran. Sebaliknya negara Eropah Moden tersebut dipengaruhi oleh perkembangan-perkembangan dalaman yang penting, serta beberapa faktor-faktor lain yang mempunyai kesan sehingga menjangkau luaran geografi sesebuah negara.

Malah, perlu diingat juga, yang harus kita akui ialah antara kurun ke-16 hingga kurun ke-19, merupakan suatu zaman kegemilangan Eropah Barat, terutamanya menerusi perspektif global. Bayangkanlah, pada kurun ke-18, negara-negara Eropah telah berjaya menakluki hampir kesemua lautan perdagangan antara benua serta menjajah sebahagian besar benua Amerika Syarikat. Inilah zaman, di mana kalangan sejarahwan menyifatkan sebagai peralihan dari rantau terpinggir kepada hagemoni global.

Himpunan Siri Ini:
Sekilas Sejarah Falsafah (3): Tentang Perubahan
Sekilas Sejarah Falsafah (2): Tentang Physis
Sekilas Sejarah Falsafah (1): Sejarah Sejagat

2 comments:

Anonymous said...

Sdr, lihat posting terbaru saya di Patah Balek ttg Kota buku, sila edarkan kepada kawan2 & jika sesuai boleh dimasukkan ke www.geocities.com/ummahonline Terima kasih ;) faomar@yahoo.com

Anonymous said...

Kenapa "dikatakan"? Apakah tidak yakin?Kenapa tidak diutarakan al-Tabari sebagai pencetus "sejarah sejagat" atau al-Masudi?