Tentang Physis
Sebahagian Catatan Kuliah Prof. Dr. Abdul Latif Samian 2006
Sebelum Socrates lagi, sebenarnya soal-soal tentang pemikiran saintifik telah pun hangat dibicarakan oleh pemikir-pemikir Yunani. Lazimnya, bercakap tentang pemikiran saintifik ini, ia selalu diakrabkan dengan satu kaedah berfikir yang rasional, atau lebih mendalam lagi kaitannya, iaitu sebagai suatu proses berfikir yang perbandingan antara dua atau lebih aspek serta keadaan. Dari dasar inilah, perkataan rasional (dasar kata dari rasio) juga dikenali sebagai perkataan nisbah.
Mengapa kita perlu menoleh kepada Yunani, tidak tamadun yang sebelumnya? Bukankah Tamadun Mesir Purba turut di katakan pernah mengamalkan kaedah pemikiran saintifik ini? Ya, memanglah benar Tamadun Mesir Purba turut disifatkan oleh sesetengah sejarahwan sebagai pernah mengamalkan kaedah pemikiran saintifik, namun ia sebenarnya tidaklah sekemas dengan apa yang terdapat di dalam Tamadun Yunani. Ini perlu diakui.
Tamadun Yunani, bahkan kita tahu, ia jelas mencatat serta meninggalkan khazanah ilmu-ilmu mereka agar dapat dirujuk pada zaman selepasnya. Dan, inilah antara ciri utama yang membezakannya dengan Tamadun-tamadun sebelumnya. Selain daripada itu, bila kita bercakap soal pemikiran saintifik juga, ia juga tidak dapat lari dari menghubungkannya dengan budaya pemikiran kritis, di mana aspek ini hanyalah pertama kali dapat dikesan terangkum dalam kebudayaan Yunani itu, tidak Tamadun Mesir Purba.
Baiklah, kita bermula di sini. Dalam Tamadun Yunani, tokoh yang di katakan pertama kali mempopularkan pemikiran saintifik ialah Thales (yang hidup sekitar 600 SM). Thales, cuba memecah tradisi berfikir dengan mula mempersoalkan tentang “realiti”. Realiti yang dimaksudkan oleh Thales ini ialah, apa yang berada disebalik yang kita lihat itu? Ia juga berminat untuk meneroka tentang paksi serta hakikat kejadian semesta ini. Justeru, menurut Thales, apa yang kelihatan di hadapan mata kita ini, iaitu banyaknya “substance”, sebenarnya hanyalah berasaskan air, kerana air merupakan unsur sejagat kepada alam ini.
Jadi, bertitik-tolak dari cetusan awal Thales inilah yang membawa kita kepada istilah “physis” (dari bahasa Yunani). Dan, physis inilah yang mengawali kepada istilah Fizik, yang dewasa ini dikenali sebagai satu daripada bidang sains moden. Namun begitu, makna physis (dalam Tamadun Yunani) di sini bererti kepada “sesuatu yang mendasari segala sesuatu”, sesuai dengan persoalan yang dikemukakan oleh Thales tadi. Dalam bidang falsafah, usaha yang dilakukan oleh Thales ini boleh kita kelompokkan dalam faham turunisme (reductionism).
Tambah Thales lagi, dunia yang terbentuk dari sesuatu yang zahir boleh difahami oleh manusia, dan ia bukannya tertakluk menurut selera Tuhan, seperti anggapan dominon waktu itu. Thales berkata sedemikian, sebagai satu daripada reaksi kritisnya terhadap kepercayaan majoriti masyarakat Yunani ketika itu yang kuat mempercayai Tuhan-tuhan yang diciptakan melalui imaginasi manusia, seumpama Zues (ketua Tuhan), Neptune (Tuhan Laut), Nike (Tuhan Sukan), dll.
Tuhan-tuhan ciptaan masyarakat Yunani ini adalah satu cara untuk mereka memudahkan gambaran bagi menjelaskan tentang kejadian di sebalik realiti yang kelihatan dalam alam ini. Sebab itu pada mereka, keanehan kejadian–kejadian alam pada waktu itu, seperti petir, gerhana, hujan, gempa bumi dll hanya dapat dilakukan oleh mereka yang bersifat supermanusia (atau lebih lagi, super duper manusia). Supermanusia inilah Tuhan imaginasi yang mereka sembah itu.
Namun tentang ketidakmantikan Tuhan masyarakat Yunani ini masih lagi belum sampai dikritik oleh Thales, cumanya Thales berpendapat, ketikanya mengamati keanehan kejadian alam ini, bahawa pengetahuan manusia hakikatnya tidaklah sempurna seperti sesempurnanya pengetahuan Tuhan. Kerana itu, pengetahuan Tuhan tidak boleh dimiliki sepenuhnya oleh manusia biasa, melainkan oleh supermanusia (Tuhan) sahaja.
Setelah Thales, Anaximender (yang hidup sekitar 560 SM) yang juga anak muridnya, bersetuju dengan Thales tentang physis ini. Cuma Anaximender ini cuba memperluaskan skop takrifan physis Thales ini dengan berpendapat bahawa unsur-unsur alam semesta ini, bukannya hanya terdiri satu unsur sahaja, sebaliknya mungkin terdiri dari jumlah unsur yang sampai tak terhingga banyaknya, yang akhirnya tersimpul dalam satu jalinan. Di sinilah munculnya isitilah “apeiron” bagi menerangkan maksud Anaximender ini.
Ke hadapan lagi, Anaximenes (yang hidup sekitar 546 SM), yang juga anak murid Anaximender, tidak bersetuju dengan gurunya, tetapi bersependapat dengan Thales, bahawa hanya ada satu unsur sahaja dalam alam semesta ini, cumanya bagi Anaximenes ia bukannya air (seperti kata Thales) sebaliknya ia adalah angin.
Setelah itu lagi, Xenophanes (yang hidup sekitar 530 SM), lebih ekstrim lagi, mula mempersoalkan ciptaan Tuhan-tuhan masyarakat Yunani ini, sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh sesiapa pun di kalangan mereka. Xenophanes berpandangan, bahawa Tuhan-tuhan ini semata-mata merupakan pengaruh “anthropomorphic construction” masyarakat Yunani. Justeru, sebagai alternatifnya, Xenophanes memberikan penerangan Tuhan yang lebih bersifat tabii (natural), tanpa memerlukan andaian-andaian yang supertabii (supernatural).
Kini tampilnya Pitagoras (yang hidup sekitar 530 SM), satu daripada seorang pemikir awal Yunani sebelum Socrates yang mempercayai kewujudan satu Tuhan sahaja. Pitagoras menilai physis ini adalah ilmu matematik sebenarnya. Kita tentu ingat bukan, Teorem Pitagoras yang diajar dalam tahap awal pendidikan matematik moden kini, adalah antara hasil daripada sumbangan pemikir kuantitatif Yunani pertama ini.
Pitagoras percaya, sebarang fenomena-fenomena alam ini dapat dijelaskan menerusi nombor, malah lebih jauh dari itu, Pitagoras ini turut mempercayai bahawa segala benda di alam ini memang mengandungi nombor-nombor, dan nombor-nombor ini wujud sebagai objek material yang konkrit. Dan, nyata lagi bagi Pitagoras, nombor inilah physis kepada alam semesta ini.
Dalam falsafah (falsafah matematik khususnya), gagasan Pitagoras ini memang mengundang pertanyaan-pertanyaan yang luar biasa. Umpamanya, jika manusia, yang kita sedar hidup dalam alam terhingga ini, kenapa kita berkemampuan untuk memahami hal-hal yang melibatkan tak terhingga? Begitu juga jika ada makhluk angkasa lepas (andaian) yang melihat manusia di bumi, mereka akan menyatakan alam kita ini bersifat terhingga, tetapi manusia (yang di bumi) tentunya akan memikirkan sebaliknya.
Setelah Pitagoras, Pengaruh aliran kuantitatif dalam masyarakat Yunani ini mengalir cukup kuat. Hal ini boleh kita perhatikan kepada beberapa aspek dalam perbahasan mereka seperti soal kesempurnaan yang lazimnya masyarakat Yunani hubungkannya kepada angka sepuluh, lelaki kepada angka tiga, wanita kepada angka dua, perkahwinan kepada angka lima dan peluang kepada angka tujuh.
Malah, soal keadilan juga dikaitkan, iaitu dengan nombor empat, sebagai gambaran kepada kemutlakkan sesuatu. Sebab itu, dalam masyarakat Yunani, empat inilah yang membatasi perkara-perkara teras seperti pembahagian utara, selatan, timur dan barat, juga seperti andaian popular tentang unsur-unsur alam semesta, iaitu tanah, air, api dan angin, dan juga empat kepada sisi segi empat sama. Inilah pada mereka, di mana angka empat menunjukkan konsep keadilan.
Setelah Pitagoras, golongannya pula melanjutkan tentang kuantitatifnya alam ini. Kita boleh lihat, dalam angka moden dewasa ini, nombor satu merupakan penghampiran kepada bentuk satu titik, begitu juga nombor dua penghampiran kepada dua titik, begitu juga nombor tiga, empat dan seterusnya. Di samping itu, mereka (golongan Pitagoras) mula menghubungkan pengaruh nombor ini dengan aspek geometri pula, sehinggakan dimensi alam ini mereka wakilkan menerusi konsep ruang dan waktu, sejajar dengan faham geometri Euklidan yang berkembang pada waktu itu.
Merujuk kepada geometri Euklid ini, ia menyatakan titik dan garisan adalah merupakan asas kepada pembinaan keseluruhan geometri alam ini, sebelum pandangan ini berjaya dirungkaikan pertama kalinya oleh Bolyai dan Lobachevsky menerusi geometri non-Euklidannya pada tahun 1832 M.
Namun begitu, dari satu sudut, inspirasi Bolyai dan Lobachevsky ini (serta tokoh-tokoh lain juga yang mengutarakan geometri non-Euklidan ini selepas mereka berdua), mengakui bahawa kehadiran geometri non-Euklidan bukanlah bermakna ia meruntuhkan geometri Euklid, kerana geometri Euklid masih lagi mantik dan berfungsi hingga kini. Sebab itu, dalam mensifatkan geometri non-Euklidan ini, mereka masih tetap mengekalkan istilah Euklid lagi.
Akhirnya, sesuai dengan tema perbincangan ini, maka adalah tidak berlebihan, kalau kita rumuskan secara faktanya bahawa masyarakat Yunani sebelum Socrates lagi, adalah dipercayai mula-mula sekali membangkitkan soal pemikiran saintifik ini menerusi wacana physisnya. Dan, dampaknya memang sudah kelihatan kini, malah semenjak Abad Pertengahan Eropah lagi boleh dirasakan, di waktu memuncaknya revolusi sains.
Himpunan Siri Ini:
— Sekilas Sejarah Falsafah (3): Tentang Perubahan
— Sekilas Sejarah Falsafah (2): Tentang Physis
— Sekilas Sejarah Falsafah (1): Sejarah Sejagat
Wednesday, February 1, 2006
Sekilas Sejarah Falsafah (2)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment