Subjektivisme, dalam falsafah sains, merupakan kesedaran modenisme bahawa manusia merupakan pusat alam. Kesedaran subjektivisme ini begitu kuat dicanangkan oleh Rene Descartes menerusi jargonnya, cogito ergo sum --> manifestasi kesedaran subjek yang terarah kepada dirinya sendiri. Dan, hal itu merupakan asas ontologi terhadap eksistensi realiti eksternal di luar diri pengamat (subjek).
Keith Lehrer dalam Theory of Knowledge (1992) mengungkapkan bahawa sebelum Descartes, epistemologi dibangunkan dalam konteks untuk memberi reaksi terhadap persoalan-persoalan mengenai pengetahuan menerusi penyelidikan hakikat realiti. Pendekatan ini disebut oleh Lehrer sebagai epistemologi metafizik, ekoran ia dimulai dari tindak balas metafizik dan lalu meletakkan epistemologi sebagai langkah penjelasan terhadap pengetahuan tentang realiti.
Pendekatan tradisional (rujuk: Aristotelian) seperti ini dilihat tidak kritis, dan tidak sesuai dengan situasi zaman waktu itu. Descartes telah menukar skema pendekatan metafizik ini dengan menyatakan bahawa apa yang kita ketahui tentang yang real itu, dan harus tetap ragu terhadap realiti sampai kita menemukan apa yang dapat kita ketahui. Pendekatan ini disebutnya sebagai epistemologi keraguan.
Menurut Abdul Latif Samian dalam Perkembangan Sains dan Perabadan Manusia (2003), gagasan Descartes ini mengungkapkan bahawa tidak ada kualiti lain bagi perkara-perkara yang tidak berfikir. Jadi, manusia dalam alam ini hanya satu-satunya makhluk yang berfikir, yang mempunyai kualiti. Justeru, segala pertanyaan manusia itu harus kembali kepada dirinya sendiri.
Descartes menjadikan usahanya untuk mengetahui diri sendiri sebagai objek penyelidikan; bagaimana saya tahu bahawa saya dapat tahu? Kesedaran cogito merupakan kesedaran subjek yang terarah kepada dirinya sendiri. Dalam konteks inilah, sistem heliosentrik Copernicus sangat popular. Bukan sahaja kerana data-data saintifiknya semata-mata, melainkan juga kerana tafsiran falsafah yang menempatkan manusia sebagai subjek yang aktif dalam kosmos.
Saturday, April 15, 2006
Subjektivisme
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment