www.flickr.com

Thursday, August 31, 2006

Husayni

Kullu yaumin ‘Ashura, wa kullu ardhin Karbala
(Setiap hari adalah Ashura, setiap bumi adalah Karbala)

Butiran ini sangat akrab dengan tarikh 10 Moharram 61 Hijriah. Waktu itu, terakam sejarah tragis yang sungguh revolusioner dalam sejarah kemanusiaan. Ingatkah kita, Imam Husayn meskipun punya pilihan lain, akhirnya tetap memilih syahid dalam menentang kezaliman. "Syahid mesti dipilih dan dicari, bukan dielak dan dinanti", tegas Murtadha Muthahhari.

Kerana itu, saya suka jika dapat menghimbau kembali falsafah ketentuan Ilahi ini terhadap Imam Husayn – suatu peristiwa secara awalnya memang telah dijanjikan. Kita tentu menyedari, Rasulullah SAW melalui ummatul mukminin, Ummu Salamah pernah lebih awal mengabarkan berita kesyahidan Imam Husayn di Qarbun wa Bala’.

Dari itu, seperti catatan Jawad Amuli dalam bukunya ‘Irfan wa hamasah, dimensi perjuangan Imam Husayn ini merupakan perlambangan kepada dua sisi yang diserasikan – ‘irfan (pengenalan terhadap Allah) dan hamasah (jiwa kepahlawanan). Imam Husayn, ketika dinihari tersebut telah merafa’kan du’a Arafah yang sangat mencengangkan.

Antara petikan du’anya yang menarik, “jadikanlah aku hamba yang takut kepada-Mu, seolah-olah aku melihat-Mu”. Manakala, dalam satu petikan yang lain, Imam Husayn menyatakan, “jika seluruh permukaan bumi tertutup bagiku, sesekali aku tidak akan menyerah!”

Di kira, inilah wajah du’a seorang hamba yang arif lagi hamasi – mengerti bahawa tujuan hidupnya adalah untuk mengesahkan kebenaran risalah Rasulullah SAW. Kerana itu, menurut Ibnu Sina dalam bukunya, Jami’ al-Asrar, adalah tidak mungkin seorang yang sempurna 'irfannya tetapi dalam masa yang sama adalah seorang yang dayus.

Saya yakin dan percaya, du’a Arafah seluruhnya adalah manifestasi ‘irfan, kerinduan, cinta dan menghinakan diri di hadapan Ilahi sembari mengharapkan liqa' (pertemuan) denganNya. Manakala, seluruh pencak Imam Husayn di medan Karbala sebelum kesyahidannya adalah paparan hamasahnya.

Bagi saya lagi, inilah juga du’a yang telah mengisra’kan Husayn kepada ummah serta memikrajkannya pula kepada Ilahi. Dan, ujian yang menimpa Ahlul Bayt tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata untuk membersihkannya dari dosa-dosa kerana mereka merupakan keluarga pilihan sepertimana juga keluarga Al-Imran.

Moga-moga Allah swt melimpahkan keperibadian Husayni kepada kita, sebuah keperibadian yang diteladani dari leluhurnya. Ameen...

1 comment:

Aqil Fithri said...

[mereka yang gugur laksana husayn, manakala yang hidup harus mengalas tugas zaynab. selain dari keduanya itu, mereka adalah sekutu yazid] - ali shari'ati