www.flickr.com

Monday, September 18, 2006

ISIUKM

Memikirkan sesuatu yang ajaib dari pilihanraya kampus kali ini ibarat si buta membilang bintang di langit. Saya tidak menaruh harapan. Sama sepertimana yang saya ungkapkan pada mStar Online, bahawa tiada perkembangan positif yang dapat membezakannya dengan corak tahun-tahun sebelumnya.

Kononnya demokrasi yang bermain diamalkan oleh para politikus universiti itu sebenarnya tidak ada. Langsung! Di UKM, pancaindera saya lekas menangkap bagaimana Kelab Aspirasi selesa dengan standard berbeza, sambil sarat dibantu oleh sokongan moral serta dukungan infrastruktur dari para politikus universiti.

Memang, untuk lebih jauh, saya tiada bukti kukuh bahawa Kelab Aspirasi telah mendapat dukungan kewangan dari mana-mana pihak, dalam mahupun luar. Namun, ketiadaan bukti bukanlah bermakna wasangka saya ini sewenang-wenangnya boleh lerai dari fikiran.

Kerana, sudah terang lagi bersuluh, Kelab Aspirasi sebenarnya bisa menggunakan sebarang infrastruktur kampus, termasuklah kamsis, sebagai persediaan mereka untuk mengharungi pilihanraya kampus. Dan, tentunya hal yang sama tidak mungkin diizinkan untuk laskar-laskar dari Mampu --> yang saya percaya diterajui oleh ISIUKM, sebuah persatuan Islamis.

Kerana itu, saya ingin ingatkan bahawa pilihanraya kampus bukanlah wasilah tunggal dan muktamad. Sebaliknya, ISIUKM bisa saja menggunakan sebarang ruang-ruang yang lain untuk membuktikan kepada kampus serta masyarakat bahawa mereka sebenarnya jauh lebih berperanan dari PMUKM pimpinan Kelab Aspirasi.

Di samping itu juga, mereka tidak harus terkongkong dan terkepung dengan sudut Islamis mereka, lantas mengabaikan dinamika persekitaran mereka yang memerlukan mereka sentiasa bervariasi. Justeru, sangat mendesak untuk ISIUKM dan aktivis-aktivis kampus melakukan anjakan paradigma.

Malah, kesukaran mereka untuk mendampingi mahasiswa -- kerana kekangan-kekangan tertentu -- sepatutnya melebarkan lagi daya kreativitinya bagi melepaskan diri dari kemelut-kemelut yang membelenggu mereka selama ini.

Ekoran itu, ISIUKM usahlah terpana dengan kelaziman pendekatan yang mewarnai mereka sebelum ini. Mereka harus gerakkan suatu pendekatan revolusioner --> yang bercirikan semangat wacana. Saya timbulkan persoalan ini kerana kelihatan amat kurang terpampang di halaman kampus, ISIUKM memugar wacana-wacana yang berat, serius dan konsisten.

Lantaran saya sudah pesimis dengan ketelusan pilihanraya kampus serta kekuatan ISIUKM untuk mendobrak status-quo. Maka, eloklah saya awal-awal lagi berdu’a supaya tewasnya ISIUKM nanti akan mendorong mereka kembali menyemarakkan wacana-wacana yang segar dan progresif.

Saya tidak ragu-ragu bahawa ISIUKM punya jentera yang ampuh untuk tujuan ini. Sebab, hanya keluasan pemikiran sahaja yang dapat menjamin kecemerlangan alam aktivisme mereka. Selain daripada itu, mereka hanya melengkapkan lagi siri-siri kegagalan aktivis mahasiswa UKM sebelum ini.

9 comments:

Amin Ahmad said...

Agil,

Tanyalah kepada ana..kan ana bekas calon Aspirasi!! Haha..

Aqil Fithri said...

salaam~

Min, hang patut buat pendedahan terbuka bahawa Aspirasi itu Umno, manakala PMI itu Pas. dua2 punya mentaliti politik yang sama ajer!

hang ada bukti kang :-)

Sapere Avde said...

hidup 'arah haluan baru mahasiswa'...hahahaha! enta Mursyidul Am gerakan mahasiswa berhaluan baru ....boleh? hehehe..caya lah...

Amin Ahmad said...

Takla sampai taraf Mursyid. Tapi ana ada sebut dalam forum di UoL dulu bahawa baik aspirasi atau PMI sama saja.

Pokoknya, ana berpendirian bahawa sesiapa pun bebas. Kalau aspirasi nak panggil To' Pa ke, Dato' Adham ke even PM sekalipun..mereka bebas. Tapi jangan sekat pihak lain nak panggil Husam ke, Tok Guru ke, Mahfuz ke, Anwar ke..itu isunya..

tidak ada level playing field! Ana tak kisah kalau PMI nak jadi PAS atau Aspirasi nak jadi UMNO dalam konteks kampus..soalnya mereka ini tidak rasional..maka menjadi UMNO atau PAS di kampus mesti saling 'berbunuhan!'

Aqil Fithri said...

salaam~

iya Min, "kita turunkan bendera yang satu itu, atau kita naikkan bendera yang satu lagi". inilah antara ucapan Prof Shaharir ketika beliau diminta berucap dalam senat Kustem pertama kali. sebagai anggota senat baru, ucapan tersirat ini gagal difahami oleh rektor dan ahli2 senat yang lama. dah, terpaksa beliau berterus-terang...

Amin Ahmad said...

Aqil,

Tiba masa ana akan catatkan rantaian pengalaman ana..

Dalam congakan politik ana..ana percaya satu. Bahawa yang bobrok itu akan jatuh sendirinya, yang penting penggantinya telah sedia atau tidak?

Aqil Fithri said...

salaam~

iqbal (kemenangan) selamanya datang lambat, kata muhammad iqbal bila menjawab pertanyaan guru sekolah tentang mengapa beliau datang lambat ke sekolah.

Anonymous said...

Saya salah seorang pelajar UKM.
Saya terpaksa untuk mengundi Aspirasi, kerana saya takut sangat diugut akan dibuang Kolej untuk sesi akan datang. Ramai kawan2 saya takut akan hal tersebut. Sebenarnya hari ini (21/09/06), undian kami tidak rahsia lagi kerana kertas undi diambil no. siri, itu yang menyebab saya menjadi terkedu seribu kebimbangan. Saya harap pihak berwajib (SUHAKAM) agar pantau akan hal ini keran kami dizalimi..
Semoga Allah menjadi penolong kepada penegak kebenaran (nasrul-Haq)dan mengeji orang-orang yang zalim.

Saya menanti MUJADID kamsis

Anonymous said...

Saya teruja membaca entri ini. Bukan saja ditulis dengan bahasa yang baik, ia memberi satu overview yang sangat perseptif tentang suasana semasa politik kampus dan kepimpinan mahasiswa.

Saya kasihan dengan mahasiswa generasi baru yang terpaksa berdepan dengan kekangan-kekangan seperti ini. Universiti kini bukan lagi medan untuk mencanai potensi diri dengan kebebasan yang munasabah. Ia sudah seperti satu acuan yang sangat rigid. Ia seperti mahu menghasilkan satu kelompok graduan yang homogen. Yang tiada variasi individu, dan tiada pertumbuhan perspektif yang pelbagai.

Saya tidak kata zaman saya dulu lebih bagus atau lebih terbuka. Tapi saya fikir pada era itu, modus operandi politik kampus tidak didalangi oleh 'tangan-tangan ajaib' pihak atasan. Tidak wujud gerakan mahu mengekalkan status quo - kerana memang tidak ada konsep status quo in the first place!

Kemudian, bila universiti keluarkan produk graduan yang jumud, tidak kompetitif, tidak berdikari, tidak mampu menjana peluang (selain sekadar mengemis ihsan kerajaan untuk membekalkan pekerjaan!) dan layak jadi 'pengikut' (bukan pencipta tren) dalam mana-mana organisasi: maka, kerajaan akan bising-bising macam lembu betina nak beranak songsang.

Hello, bukankah generasi begitu mereka telah ternak, didik, asuh dan ajar di kampus? Nah, sekarang.. merasalah hasilnya yang begitu juga.