www.flickr.com

Wednesday, January 17, 2007

Eksklusivisme Dr. Maza

Setelah menonton wacana Dr. Maza dalam Isu Semasa (TV1), maka izinkan saya untuk bersikap kritis.

Memang, sebahagian besar ucapan beliau waktu wacana itu saya boleh bersetuju (---> meskipun apa yang digagaskan oleh Dr. Maza tidak ada sesuatu yang baru untuk dibezakan dengan rumusan para intelektual sebelum ini). Namun, dalam waktu yang sama saya dapat mengesan terdapat beberapa sikap Dr. Maza yang telah menyanggahi ucapannya sendiri.

Pertama, ketika Dr. Maza ditanya soal siapa yang boleh bergelar ulama'/mufti. Bukankah Dr. Maza cuba mengelak---> dengan membawa retorika, "mufti rasmi" dan "mufti tak rasmi"; atau juga, "ulama rasmi", "ulama tak rasmi"? Persoalannya, kenapa Dr. Maza tidak rungkai salahfaham definisi ulama ini serentak pada waktu itu? Bukankah sikap ini menunjukkan ulama' kita bukan sahaja pandai membantah, tetapi pandai juga mengelak dari memberi jawapan?

Kedua, Dr. Maza saya perasaan terselit prejudis dengan Iran dan Ruhollah Khomeini ketika ditanya soal "sinema Islam". Mengapa cuba mengatakan, "bukan Iran sahaja?" Tidakkah ini menunjukkannya prejudis seolah-olah cuba menafikan sumbangan saudara semuslim kita yang lain? Natijahnya, kita sendiri yang meletakkan sempadan pengetahuan yang sewajarnya kita boleh berkongsi dari mana-mana kelompok sekalipun!

Ketiga, Dr. Maza seboleh-bolehnya mahu mengelak dari memukul kerajaan. Dari satu sudut ia tindakan bijak dan politis, tetapi dalam waktu yang sama ia sekaligus menimbulkan tanggapan bahawa Dr. Maza cuba melunakkan sikapnya terhadap kerajaan. Atau, cuba mengaburkan matanya terhadap kesalahan kerajaan! Adakah sikap dan pendekatan Dr. Maza selari dengan konsep akal dan etika? Malah, mengapa hampir "per se" idea Dr. Maza dalam wacana tersebut menyalahkan ummah! Kenapa tidak disalahkan juga kerajaan? Bukankah rupa ummah dibentuk oleh rupa pemerintah? Sewajarnya, Dr. Maza tidak harus jadikan ummah sebagai kambing hitam! Dan, tidak semua ummah seperti yang diungkapkan olehnya! Cara Dr. Maza mengitlakkan kesalahan ummah (semata-mata!) hanyalah menzahirkan ketirisan intelektualnya sendiri. Kajian beliau terhadap sosiologi agama ternyata tidak mikro, tidak autoritatif dan juga tidak represantatif!

Keempat, Dr. Maza menyatakan beliau mementingkan kesarjanaan, dan pastinya bukan emosi. Namun, kecenderungan serangan beliau pada aliran Islam yang lain; sufi, tasawuf, tariqat (semuanya kalangan tradisionalis) membayangkan beliau tidak menghormati serta menyelami khazanah ilmu yang terhimpun dalam aliran tersebut. Bahkan, Dr. Maza sepertinya mahu menipiskan unsur-unsur metafizik yang sudah terbina dalam aliran-aliran tersebut dengan mendaulatkan kaedah tetapi meminggirkan semangat! Pada saya, Dr. Maza harus berhati-hati, Islam bukan datang secara sehala ---> konservatisme, reformisme ataupun revolusisme. Tetapi kolektif! Kita perhatikan, ada ritual-ritual Islam yang tidak direvolusi, namun semangatnya yang direvolusi terlebih dahulu. Jadi, kaedah (atau: metodologi) bukanlah soal pertama, sebaliknya semangat agama itu! Justeru, yang pertama-tamanya Dr. Maza harus merevolusi semangat/kesedaran, bukannya memomok-momokkan soal kaedah dan ritual-ritual!

Akhirnya, walaupun ini sikap kritis yang dikemukakan, namun ketrampilan beliau --dengan suara garau, kemas, berusaha tenang-- memang memikat kerana paparan sebegini boleh menambah keyakinan para pendengar; muslim atau bukan-muslim. Namun, atas dasar kesarjanaan juga, idea Dr. Maza mesti diulang semak! Bandingkan fikirannya dengan Ghannouchi, Iqbal, Shariati, Faruqi, Turabi, dll. Dan, akhirnya kita bakal mengetahui siapa yang sebenarnya berkasih sayang terhadap semua aliran-aliran dalam agama, dan siapa yang memuliakan kesarjanaan. Ataupun, wawasan Dr. Maza hanya berselindung di sebalik agenda untuk mensalafikan semua orang.

Saya, pastinya bukan orang pertama yang menolak uniform. Namun, saya memang percaya, Dr.Maza hanya memperbaharui fikiran garisan Ibn Taimiyyah--->Albani. Ini tidak pernah menjadi soal. Tetapi bagaimana pula dengan fikiran dari garisan At-Thusi--->Sistani? Atau, bagaimana pula dengan fikiran garisan al-Hallaj--->Kabbani? Atau, bagaimana pula dengan fikiran garisan Ibn Sina--->Fazlur Rahman? Atau, bagaimana pula dengan fikiran garisan Mu'awiyyah--->Nabhani? Atau, bagaimana pula fikiran garisan Al-Ghazzali--->Abd-Al-Haqq? Adakah semua aliran ini sesat belaka? Atau, kafir!? Jadi, mana perginya inklusivisme Dr.Maza? Dan, mengapa mahu menaja eksklusivisme?

Saya ingat kata Dr. Maza, beliau "bukan penghukum, tetapi pendidik!", kata-kata yang dipinjam dari Ali Gharisah! Iya, benarkah mendidik? Mendidik untuk uniformkan fikiran! Fikiran siapa? Fikiran kita! Kita siapa? Kita si anu... si anu yang bukan beridealogikan salafi!

Tetapi, salahkah salafi? Tidak... salafi tidak pernah salah! Yang salah ialah penganut dan penyebar eksklusivisme!

7 comments:

Anonymous said...

alhamdulillah...
artikel yang baik...
cara saudar menasihati ulama adalah sangat berhemah...
diharapkan ulasan saudar ini dapat sampai kepada dr.maza, so dr. maza akan dapat memperbaiki apa yang salah...
bagus cara cinta saudara kepada sesama muslim...

Unknown said...

Aqil,

Setahu saya, eksklusivisme selalunya dikaitkan dengan faham pandangan agama Kristian terhadap agama lain. Faham ekslusivisme menganggap hanya penagnut Kristian yang betul dan akan selamat di akhirat nanti.

Agak pelik, jika perbezaan mazhab dan fikrah dalam Islam disamakan dengan exlusivism.

Memang ada puak yang keras dengan pendapat mereka, tetapi ianya tidaklah sehingga mengatakan puak yang lain keluar dari landasan tauhid, seperti yg kita faham dengan exlusivism Kristian.

Anonymous said...

teguran berhikmah? rasanya saudara aqil fikri bnyak menggunakan tanda seru yg seolah olah menjerit ataupun lebih emosi.

Anonymous said...

Ahsanta.. Semoga Allah mudahkan anda dalam penulisan2 begini lagi.

Buat cik Nony, tanda soal tak semestinya membaca nada menjerit atau emosi. Sila pastikan husnuddzon anda kemas di dada dan baca dengan nada yang banik apa yang ditulis

Exklusivisim di dalam Kristian mungkin berbeza dengan apa yg ditulis, tetapi kita fahamilah dengan mudah ekslusivisme yang dibawa oleh Asri dan apa yang ditulis oleh pengarang.

Jong said...

"Oh Tuhan umat macam apa kami ini? Oh Tuhan Oh Nabi bagaimanakah kami akan menemuimu tanpa sedikit pun pembelaan? Bagaimana kelak kami akan menghadapmu tanpa sedikit pun rasa sedih dan tidak ada secebis pun rasa duka?
Telah syahid Husein cucu Nabi.
Oh Nabi, kami membiarkannya sendiri.
Umat macam apa kami ini?"

Aqil Fithri said...

salaam anonymous 4:16 PM dan 8:25 AM ,

terima kaseh atas perhargaan dan tafsiran anda. tapi, tulisan ini dibikin spontan. bukan niat awal saya menulis kerana mau berhemah, tetapi lebih semata-mata untuk melihat sisi2 kritis.

salaam JR dan anonymous 10:43 AM,

eksklusivisme seperti tanggapan saudara mungkin betul ---> kerana pembacaan serta pengetahuan saya tentang aplikasi eksklusivisme dalam tradisi kristian agak longgar. namun, istilah yang saya gunakan itu lebih merujuk kepada faham yang terdapat dalam pengalaman muslim (persis juga seperti bicara anonymous 10:43 AM). kerana, bukankah ada puak2 tertentu dalam Islam yang menganggap puaknya sahaja yang betul? justeru, faham dan cerapan lain terhadap Islam --selain faham dan cerapannya-- tidaklah mewakili ketulenan ajaran Nabi. menurut mereka, cerapan dan tafsiran lain harus tunduk atas satu puak sahaja! dan, tidaklah sulit untuk kita mencari dalam sejarah Islam pengalaman sebegini. khawarij bukti yang sangat jelas! jadi, tidakkah pemikiran (seperti) khawarij ini suatu bentuk eksklusivisme juga? memaksakan fahamnya terhadap puak2 yang lain? malah, jangan dinafikan bahawa ciri2 khawarij moden masih merayap dalam komuniti muslim dewasa ini. tidak begitu JR? tentang Dr. Maza, saya syak beliau mahu menundukkan (maksudnya, sampai tahap menggunakan kuasa) tafsiran agama yang berbeda dengannya! itu yang saya namakan eksklusivisme!

Aqil Fithri said...

salaam FT,

kadang2, sepasang mata yang hanya meyaksikan kebenaran lebih jujur dari sekeping lidah yang menyembunyikan kebenaran. kerana, sekurang2nya sepasang mata dapat mengalirkan airmata sebagai tanda sebuah kecintaan yang halus, berbanding sekeping lidah yang yang tidak mampu mengetarkan apa2, semata2 ia mahu melarikan diri dari "hukuman sejarah"! semoga berbahagia buat mereka yang tidak lari dari "hukuman sejarah", tetapi terus kental melawan takdir yang sudah ditentukan ke atas mereka! dan, itulah yang kita namakan "keadilan ilahi", bukan?