www.flickr.com

Saturday, January 13, 2007

Feynman, Mana Pintu?

Buku Surely You’re Joking, Mr. Feynman? (1997) menurut Science Digest merupakan salah satu bacaan popular sains yang fenomenal, yang mampu merangsang anda untuk menjadi fizikawan. Himpunan dari cerita benar Richard Feynman ini memang diakui sangat menghiburkan. Malah, saya seronok sekali bila membacanya! Begitu juga sekualnya, What Do You Care What Other People Think? (2001) yang sama-sama sarat dengan anekdot cerminan pengalaman hidup pemenang anugerah Nobel Fizik 1965 (bersama-sama Julian Schwinger dan Sin-itiro Tomonaga) ini.

Malah, sejujurnya bagi saya lagi, Feynman merupakan seorang fizikawan cemerlang yang telah berjaya menggabungkan antara dunia fizik dengan kelucuan manusia. Di bawah, saya catatkan salah satu daripada anekdot yang disebutnya sebagai antara kenangan terbaik.

Pernah berlaku, ketikanya menuntut di MIT, atau lebih tepatnya semasa di asramanya, Feynman, atau panggilan mesranya Dick, telah bikin kekecohan di kalangan teman-temannya. Suatu hari, Dick bangun lebih awal dari hari-hari biasa, dan turun ke tingkat bawah. Semasa berada di tingkat bawah, dia terserempak dengan kertas tergantung dengan tali yang mencatatkan tulisan tangan: Pintu! Pintu! Siapa Yang Mencuri Pintu? Dick menyedari, rupa-rupanya ada orang yang telah mengambil serta menyorok satu pintu dalam ruangan belajar itu—yang kebetulan ruangan tersebut mempunyai dua pintu.

Lalu, tiba-tiba Dick mendapat idea. (Pete Bernays dan beberapa pelajar lain sering menggunakan ruangan tersebut untuk belajar. Lazimnya, bila Dick --atau sesiapa sahaja-- yang memasuki ruangan tersebut, mereka akan menyuruhnya menutup kembali pintu apabila keluar. Jadi, bagi Dick, kadang-kadang mendengar kata-kata, ”Tolong tutup pintu”, sebagai begitu membosankan). Maka, Dick kemudiannya bertindak menanggalkan satu lagi pintu dalam ruangan tersebut, lalu diusung dan disorokkan di sebalik tangki minyak yang berada pada aras bawah tanah bangunan asrama tersebut. Setelah selesai, Dick kembali menyambung tidurnya.

Kemudian, pada waktu paginya itu, Dick pura-pura bangun lambat. Apabila Dick turun ke tingkat bawah yang terdapat ruangan belajar tersebut, ramai yang sudah berkumpul sambil marah-marah ekoran ruangan tersebut sudah hilang kedua-dua pintunya. Dan, salah seorang dari mereka bertanya, ”Dick, kamu yang mengambil pintu, ya?” Dengan selamba, Dick menjawab, ya! Malah, Dick sempat menambah, ”Lihat saja kesan calar di jariku. Ini semua gara-gara tanganku yang tercalar pada dinding semasa aku membawa pintu tersebut ke aras bawah tanah.” Seperti yang diduga oleh Dick sendiri, jawapan jujurnya ini pasti tidak akan dipercayai —kerana Dick tidak pernah dikenali sebagai seorang serius, yang asyik dengan bermain-main dan berlawak. Dan, menurut hitungan Dick juga, kalaulah si pencuri pintu yang pertama sudah diketahui, maka pasti juga orang yang sama akan turut dianggap telah mencuri pintu yang kedua. Jangkaan Dick itu ternyata benar! Akhirnya si pencuri yang pertama sudah dikenalpasti menerusi bentuk tulisan tangan yang ditinggalkannya itu. Setelah dibelasah teruk-teruk oleh teman-temannya dalam asrama tersebut, akhirnya ternyata si pencuri tersebut memang tidak tahu-menahu atas kehilangan pintu yang kedua.

Hampir seminggu berlalu, sementara pintu kedua tersebut masih belum lagi berjaya ditemui. Situasi ini telah menganggu tumpuan belajar Pete Bernays dan beberapa pelajar lain sering menggunakan ruangan tersebut. Akhirnya ketua asrama mengumpul semua pelajar sewaktu makan malam bagi untuk membincangkan masalah ini. Maka, ramailah yang mengemukakan idea masing-masing.

Dan, di tengah-tengah perbincangan tersebut, Dick bangun sambil berpura-pura marah: ”Siapa pun anda, wahai pencuri pintu, kami tahu anda sangat hebat. Anda memang sangat cerdik! Kami sendiri tidak tahu siapa anda, maka pastilah anda seorang yang teramat pintar. Anda tidak perlulah katakan siapa diri anda; kami cuma ingin tahu di mana pintu itu berada. Jadi, kalau anda dapat meninggalkan catatan di mana-mana saja, sehingga dapat menemui pintu itu, maka kami akan menghormati anda serta mengakui bahawa selamanya anda memang teramat hebat, teramat pintar, sampai mampu mencuri pintu dalam keadaan kami sehingga kini tetap tidak tahu siapa yang melakukannya. Tetapi, tolonglah tinggalkanlah satu catatan di mana-mana saja, dan kami akan sangat-sangat berterima kasih dengan anda.”

Selepas ucapan sarkastiknya itu, ada pula pelajar lain yang mengusulkan supaya ketua asrama tersebut bertanyakan seorang demi seorang itu di kalangan pelajar yang hadir. Kata pelajar yang mencadangkan itu, ”atas nama persaudaraan sesama kita, harap ada jawapan yang jujur dari kalangan kita. Kemudian, ketua asrama berkata, ”Itu satu idea yang bagus”. Lalu ketua asrama itu bertanya dari seorang ke seorang:

"Jack, adakah kamu yang mengambil pintu?"
"Tidak Tuan, saya tidak mengambil pintu itu."

"Tim, adakah kamu yang mengambil pintu itu?"
"Tidak Tuan, saya tidak mengambil pintu itu."

”Maurice, adakah kamu yang mengambil pintu itu?"
"Tidak Tuan, saya tidak mengambil pintu itu."

"Dick, adakah kamu yang mengambil pintu itu?"
"Iya Tuan, saya mengambil pintu itu”,
"Sudahlah Dick, ini serius!"

"Sam, adakah kamu yang mengambil pintu?"
"Tidak Tuan, saya tidak mengambil pintu itu.”...

Kemudian, pertanyaan yang sama ini berterusan meliputi semua yang hadir ketika itu. Akhirnya semua pelajar merasa amat kecewa. ”Bedebah ini betul-betul seekor ’tikus’! Langsung tidak menghormati semangat persaudaraan yang ada di kalangan kita”, ujar salah seorang dari mereka.

Lalu, pada waktu malam yang sama, Dick meninggalkan lakaran tangki minyak kecil dengan sebuah pintu di dekatnya. Keesokkannya, pintu tersebut telah ditemui dan sudah dipasang kembali. Dan, keadaan kembali menjadi seperti biasa. Namun, setelah beberapa hari berlalu, barulah Dick mengakui kenakalannya itu. Pengakuannya itu menyebabkan semua teman-temannya menuduhnya si penipu kerana tidak mahu mengaku. Tetapi, bukankah awal-awal lagi Dick sudah mengaku bahawa memang dia yang mengambil dan menyoroknya? Cuma, tidak ada sesiapa ketika itu yang mahu mempercayai serta mempedulikan pengakuannya tersebut, sebab semua tahu bahawa Dick orang yang tidak pernah serius, meskipunnya sendiri bergelumang dalam bidang yang serius.

Nah, cerita di atas adalah satu daripada sejumlah anekdot yang terhimpun dalam buku Surely You’re Joking, Mr. Feynman?, sebuah buku yang turut digemari oleh Bill Gates, manakala Richard Feynman pula merupakan tokoh yang paling diminatinya. Malah, Apple Inc. pernah pada satu ketika menjadikannya sebagai iklan dengan tema, "Think Different". Dan, yang paling pasti lagi, buku ini langsung tidak membosankan—kerana Feynman itu sendiri sememangnya; unik, lucu dan genius!

No comments: