www.flickr.com

Sunday, February 4, 2007

Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (2/6)

Penerokaan fizik kuantum

Berkaitan falsafah kuantum, bidang ini dirangsang menerusi penemuan saintifik oleh sekumpulan fizikawan Barat, terutamanya dari kalangan fizikawan Jerman. Antara yang terawal meletakkan asas fizik ini ialah Max Planck melalui makalahnya pada tahun 1901. Di sini, Planck percaya bahawa dalam sesebuah jasad hitam, cahaya yang terpancar mahupun yang meresap sebenarnya berbentuk diskrit, bukannya selanjar sepertimana yang kental dipercayai oleh fizik Newton. (Meminjam sifat diskrit inilah, perkataan kuanta (ketul-ketulan) mula menjadi popular. Kemudian, setelah dijamakkannya maka lahirlah perkataan kuantum).

Walau bagaimanapun, penemuan revolusioner Planck ini pada peringkat awal tidak diberi perhatian, meskipun ideanya itu telah merombak perspektif Newtonian. Sambutan sepi dari kalangan komuniti sains ini berterusan, sehinggalah pada tahun 1905 Albert Einstein yang ketika itu bertugas sebagai pemeriksa paten di Berne julung kalinya menghargai aksiom serta postulat Planck tersebut menerusi ujikaji terhadap kesan fotoelektrik. Menariknya, melalui makalah Einstein yang termuat dalam Annalen der Physik itulah yang melengkapkan tahun ajaibnya, hingga membawanya ke anugerah Nobel Fizik pada tahun 1921.

Selepas itu, penyelidikan tentang sains Jerman (baca: fizik kuantum) ini mulai rancak. Ini dibuktikan sepanjang 30 tahun pertama pada abad ke-20, di mana banyak penemuan baru yang telah berjaya diteroka. Ini termasuklah menerusi penyelidikan yang diusahakan oleh Neils Bohr tentang teori spektra kuantum, Arthur Compton menerusi penyerakan foton oleh elektron, Wolfgang Pauli menerusi prinsip pengecualian, dan tidak ketinggalan juga Louis de Broglie menerusi penjelasannya tentang gelombang zarah.

Malah, keghairahan terhadap fizik kuantum ini diteruskan lagi oleh Erwin Schrödinger dengan rumusan persamaan gelombang, manakala Werner Heisenberg pula mengemukakan prinsip ketakpastian, dan Davisson & Germer melakukan ujikaji mengenai kegelombangan zarah elektron, sebelum Max Born pada tahun 1927 menafsirkan fungsi gelombang.

Menerusi kegigihan yang diserlahkan oleh fizikawan kuantum dalam tiga dekad terawal inilah, William H. Cooper dalam The Quantum Physicist menyifatkan detik tersebut sebagai 30 tahun yang sangat heroik buat dunia sains! Buktinya, kesemua fizikawan yang dinyatakan tersebut akhirnya meraih anugerah Nobel atas sumbangan masing-masing. Itulah episod bersejarah bagaimana kemunculan dan awal pengukuhan salah satu bidang fizik moden ini (selain fizik kuantum, fizik kenisbian turut dianggap sebahagian dari bidang fizik moden, yang mula-mula sekali diperkenalkan oleh Einstein, menerusi makalah On the Electrodynamics of Moving Bodies).

Walau bagaimanapun, arus revolusi fizik ini masih belum terhenti setakat itu. Ini kerana, fizikawan kuantum masih lagi gagal untuk menerangkan hasil cerapan ujikaji yang di dapati mempunyai ciri-ciri tidak mantik, bersifat kedualan gelombang-zarah, serta tak-tentuisme. Malah, semua sifat-sifat ini kemudiannya di dapati telah berseberangan dengan pencirian fizik Newton yang selama ini kuat dipercayai oleh komuniti sains. Maka, usaha untuk memberi tafsiran terhadap fizik kuantum mula dibahaskan, terutamanya selepas 1930-an. Neils Bohr, yang pintar berbahas itu, umpamanya adalah antara mereka yang terawal memimpin perbincangan ini sehingga melahirkan mazhab Copenhagennya

Selain mazhab Copenhagen yang dipimpin oleh Bohr tersebut, banyak lagi tafsiran-tafsiran yang lain yang telah dikemukakan untuk menjelaskan tentang fenomena fizik kuantum ini. Dan, antara tafsiran yang memberi saingan kepada Copenhangen ialah tafsiran Banyak Alam yang diperkenalkan oleh Hugh Everett III sebelum diperkemaskan oleh John A. Wheeler, tafsiran Bohm yang holisme, teorem ketaksamaan Bell, tafsiran Kochen, tafsiran Healey, dll. Malah, penafsiran tunggal tidak pernah diselesaikan, sampai kini sekalipun!

Di satu sisi yang lain, Einstein dan sekelompok kecil fizikawan lain memilih untuk menolak fizik kuantum kerana sifatnya yang tak-tentuisme serta kegagalannya untuk mematuhi prinsip kebersebaban. Pada tahun 1935, menerusi jurnal The Physical Review, bangkangan Einstein—bersama-sama Boris Padolsky dan Nathan Rosen—dibentangkan menerusi makalah mashyurnya yang bertema, Can Quantum-Mechanical Description of Physical Reality be Considered Complete. Dalam makalah EPRnya tersebut, mereka bertiga memberikan formulasi yang tajam untuk memaparkan paradoks serta betapa tidak lengkapnya fizik kuantum seperti saranan Copenhagenisme.

Himpunan Siri Ini:
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (6/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (5/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (4/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (3/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (2/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (1/6)

5 comments:

Anonymous said...

Aqil fitri,ini mungkin soalan diluar konteks tajuk di atas. tapi ini adalah apa yang membelenggu fikiran saya selama ini. saya selalu berfikir begini. Bahawa kita sebenarnya tidak wujud. Apa yang wujud di hadapan kita adalah merupakan fantasi semata2. pada masa saya sedang menaip ini, saudara tidak wujud. Yang wujud pada mata saya adalah PC dihapdan saya ini dan teks2 nya. Bila saya menoleh ke kiri, yang wujud adalah kawan saya yng sedang menonton bola di tv. Bila saya menoleh ke kanan pula, yang wujud dalam pandangan saya adalah sekitar kawasan dapur, peti ais, mesin basuh atau dapur gas.Sedang saya masih lagi mendengar bunyi perlawanan bola, maka sangka saya adalah mereka semua masih wujud di situ. entah kenapa akal saya selalu berkata bahawa apa yang wujud adalah apa yang sedang saya perhatikan oleh mata saya. lalu akal saya pun mentafsir bahawa itu wujud. Tetapi apabila saya turun ke flat yang saya sewa ini, maka semua yang berlaku pada saya sekarang adalah tidak lagi wujud.Yng ada cuma kenangan saya.Apa agaknya yang saya fikirkan sekarang? adakah ini permainan minda atau.. saya sudah menjadi orang yang dilabel sebagai..gila???Bukan kah yang betul2 wujud di alam ini cuma Dia yang maha kuasa? apakah yang saya fikirkan ini benar??

Anonymous said...

sya terlupa sesuatu, yang saya pun pada masa sekarang ini, tidak wujud??

Aqil Fithri said...

salaam,

saudara, macamana saya mahu balas, sedangkan saya tidak wujud? sebab, tidak mungkin yang tidak wujud dapat berhubung dengan yang tidak wujud juga, tidak begitu? :-) maaf, lupakan usikan tersebut...

saudara, saya bukannya pandai sangat, lebih2 lagi dalam bidang falsafah ini. saya hanya seorang pembaca dan penuntut, apatah lagi tuntutan formal sains dalam bidang sains tulen, bukannya bidang falsafah. walau bagaimanapun, apa kata kita sama2 tengok tanggapan Plato (dalam Republic) terhadap pertanyaan2 saudara.

memang, bagi Plato, apa yang saudara lalui itu sebenarnya merupakan jalan2 kepada usaha untuk memperoleh pengetahuan dan menemui hakikat kebenaran. mengapa demikian? pertama, sebab saudara menggunakan jalan pemikiran kefalsafahan. dan kedua, sebab saudara tahu bahawa ada sesuatu yang saudara tidak tahu.

iya, itu mungkin benar. tetapi apa pula hujah Plato? kata Plato, pengetahuan yang tertinggi mestilah bersifat abadi dan tidak berubah. nah, cuba saudara bandingkan dengan apa yang saudara lalui. adakah pengalaman2 yang saudara lalui itu serupa? jawab Plato, tidak! kerana, tidak mungkin saudara dapat mengulang perbuatan yang sama lebih dari sekali. umpamanya, saudara duduk di hadapan PC sambil menaip. dan, taipan saudara serupa dengan taipan yang semalam. tapi, bukankah waktunya taipan saudara untuk kedua-duanya sudah berbeza. jadi, apabila berbeza, itu menunjukkan berlakunya perubahan. dan, bila ada perubahan, maka pengetahuan yang saudara peroleh tidak abadi!

tetapi, jangan gusar. walaupun hierarki pengetahuan itu tidak abadi dan bukan yang sebenar2nya, namun sekurang-kurangnya saudara masih menggunakan cerapan. kerana, lebih rendah dari cerapan ialah imej. jika saudara memandang imej, ia langsung tidak mewakili hakikat kebenaran dan apa2 nilai pengetahuan. kerana, ada apa pada imej? iya, imej boleh membawa 1001 cerita. tetapi, adakah imej tersebut sesuatu yang real? benar2 sesuatu yang hidup? imej tidak boleh berfikir, dan imej itu kaku. malah, haiwan lebih baik dari imej, sebab ia dapat membezakan imej.

jadi, kalau menurut formula Plato, tidak mungkin ada lukisan yang bernilai jutaan ringgit. itu bohong! sebab, lukisan itu tidak real! malah, lukisan itu tidak membawa kepada pengetahuan abadi. ia hanya imej, bukan yang sebenar2nya! jadi, bagi Plato, khayalan fikiran yang saudara lalui itu dan perasaan Wujudnya Dia adalah benar! sebab, hanya yang tidak berubah saja merupakan Pengetahuan Yang Abadi. tidak begitu?

oh, Pak Khalid (Khalid Jaafar) sekarang sedang membaca "The Republic of Plato", barangkali dia mahu berkongsi?

wa Allahu `Alam...

me,myself n all around da world said...

I saw that everything in the world that is famous and beautiful, if we rely on the descriptions n drawings of writers and artists, always loses when we go to see it and examine it up close_
history of my life

******

setiap detik masa saudara adalah kepunyaan saudara. bila saudara menonton bola maka bunyi dan imej sorakan dan bola itu adalah wujud dan kepunyaan saudara pada setiap detik tersebut.tetapi bila saudara keluar drpd medium tersebut maka bunyi dan imej sorakan tersebut bukan lg kepunyaan saudara, ia sudah tidak wujud bg saudara.ia hanya wujud bagi sesiapa yg mengalaminya shj. Mungkin shj kita boleh katakan kehidupan itu tiada jika manusia tidak wujud.Wujud kehidupan kerana manusia ada.

wong soga said...

salaam

celebrate the moment!

raikan detik ini, kerana kita hidup hanya pada detik ini sahaja. kita tidak hidup pada detik yang sudah berlalu, dan tidak juga pada detik akan datang.

live. be awake. breathe. kesemuanya bercakap mengenai meraikan detik ini. sila rujuk sufisme, metafizika, buddhisme, ataupun zen buddisme.

mereka yang sedemikian dalam al-qur'an dirujuk sebagai 'almuttaqeen' atau 'those who are constantly aware of God' (2.2).

begitulah pada hemat kami.