www.flickr.com

Tuesday, March 20, 2007

John von Neumann: 1903-1957

John von Neumann adalah seorang saintis berbangsa Hungary yang dilahirkan di Budapest pada tahun 1903. Von Neumann punya latar agama keluarga yang menarik; di mana bapanya Yahudi sementara ibunya pula Kristian. Meskipun begitu, kebitaraan ini tidak bererti mereka merupakan penganut agama yang kental, meskipun leluhur keluarganya menghimpun ramai intelektual yang besar.

Walau bagaimanapun, Von Neumann memang merupakan seorang genius par-excellance. Dalam makalah The Legend Of John Von Neumann, Paul Halmos sempat mengambarkan kepintaran von Neumann; pada usia 6 tahun von Neumann sudah mampu menyelesaikan operasi bahagi berjumlah lapan digit, sementara pada usia 8 tahun menguasai kalkulus, manakala pada usia 12 tahun memiliki kecerdasan yang setaraf dengan lepasan universiti.

Bertitik-tolak dari bakatnya tersebut, pendidikan yang ditempuhi oleh von Neumann turut menyimpan catatan yang tidak kurang menariknya. Menerusi asas pendidikan dalam kimia dan matematik, von Neumann melengkapkan sarjananya dalam kejuruteraan kimia. Dan kemudian, pada tahun 1926, iaitu ketika di Budapest, von Neumann akhirnya berjaya menyelesaikan ijazah kedoktorannya dalam matematik setelah melakukan penyelidikan tentang teori set.

Dan, dalam usia yang sangat dini, von Neumann sudah pun ditawarkan berkhidmat di Universiti Berlin sebagai Privatdozent, sebelum mendapat tawaran kerja baru yang jauh lebih menarik!

Memang, meskipun waktu itu terdapat arus di mana saintis Jerman atau Eropah Timur cenderung berhijrah ke Amerika Syarikat ekoran dasar Nazi yang anti-semetik—umpamanya Albert Einstein dan Kurt Gödel—namun von Neumann sebaliknya tidak menjadikan itu sebagai alasannya. Von Neumann tertarik berhijrah ke Institute for Advanced Study, Universiti Princeton setelah mendapat tawaran sukar untuk ditolak, iaitu menjadi profesor termuda pada usia 30 tahun.

Sebenarnya, tawaran tersebut datang ekoran penguasaan von Neumann dalam mekanik kuantum, bidang sains pesat membangun pada waktu tersebut, serta mendapat sorotan akrab dari kebanyakan universiti di Amerika Syarikat. Ini kerana, mekanik kuantum disifatkan sains Jerman, dan agak lambat berkembang ke Amerika Syarikat.

Malah, pada waktu tersebut juga, iaitu sebelum 1930, beberapa beberapa saintis awal Amerika Syarikat dalam mekanik kuantum terpaksa menuntut di Eropah. Umpamanya, Jeremy Bernstein dalam Oppenheimer: Potrait of an Enigma mengungkapkan bagaimana Robert Oppenheimer dan rakannya, I. I. Rabi terpaksa ke Eropah ekoran dorongan yang sama.

Di samping itu, antara sumbangan von Neumann yang memikat Institute for Advanced Study ialah keupayaan menghasilkan sebuah buku yang cukup fenomenal, Mathematical Foundation of Quantum Mechanics. Selain daripada itu juga, von Neumann turut terlibat bersama-sama Hilbert dan kalangan matematikawan yang lain dalam di Berlin dalam memformalkan matematik bagi mengelak keruntuhan seperti yang dibayangkan oleh masalah paradoks mantik Russel dan Whitehead.

Von Neumann dicatatkan antara matematikawan yang tampil menawan dan tidak akan membiarkan rambut berserabai, serta gemar menghadiri aktiviti-aktiviti sosial. Malah, sebelum ke Institute for Advanced Study, von Neumann sering berkunjung ke kelab-kelab malam di sekitar Berlin. Meskipun sudah bercerai dengan isteri pertama (Mariette Kövesi, kahwin pada 1930), dan berkahwin buat kali kedua (Klara Dan, kahwin pada 1938), von Neumann masih lagi dengan perangai tersebut.

Namun begitu, tidak seperti ramai saintis lain, von Neumann masih mampu mengikuti tentang perkembangan politik antarabangsa serta hal-ehwal semasa dengan baik. Dan, kemuncak kejayaannya ialah pada tahun 1956, von Neumann telah meraih anugerah Enrico Fermi dari Suruhanjaya Tenaga Atom atas sumbangannya dalam teori dan rekabentuk komputer elektronik.

Walau bagaimanapun, kehidupannya mula berubah setelah dikesan menghidapi barah pankreas yang didapati merencatkan sistem pemikirannya. Dikatakan, barah yang dihidapinya itu merupakan kesan sampingan dari serakan radioaktif semasanya melakukan ujian terhadap A-Bomb di Pasifik serta penyelidikan nuklear di Los Alamos, New Mexico. Sewaktu mengharungi saat sukar ini, von Neumann kadang-kadang kelihatan seperti tidak dapat menerima hakikat nasibnya tersebut.

Dan, pada tahun 1957—tidak seperti Richard Feynman yang sempat berkelakar saat menghadapi kematian—von Neumann telah mengakhiri detik kehidupannya dengan paparan emosi yang sebaliknya. Apapun, bagi khalayak sains, von Neumann tetap dianggap sebagai lagendaris yang terbaik pada zamannya!

2 comments:

Dr Dre said...

asalamualikum bro....anta UKM ke?...najwan kata anta UKM.fact fst ye?...bila kita boleh jumpa.hahhhhahha...anta editor ummah online?..wow..what a nice web..i'm one of ummaonline visitor..hahahah.....ana pun UKM..undergraduate sains politik..

Aqil Fithri said...

salaam sheikh~

yup, tengah membilang hari di UKM. orang2 politik (dan siswa sains politik) mesti baca UoL, supaya "hati mereka bisa jadi sejuk" :-)

kalau senang, bila2 saja boleh jumpa. ana biasa main bola di padang hoki, jam 6:15ptg. tempat itu mungkin tidak sesuai, tapi tak salah untuk berkenalan.

lebih elok, mari main sekali... :-)