www.flickr.com

Monday, March 26, 2007

Nahj al-Balaghah

Mungkin tidak ramai dari kalangan kita yang pernah menekuni Nahj al-Balaghah? Mungkin?

Memang, ada kalangan—lebih-lebih lagi dari ummat kita—yang meminggirkan buku ini. Alasan yang sering didengungkan, keaslian buku tersebut diragui. Malah, dakwa kalangan ini lagi, buku tersebut bukannya merupakan dari himpunan cepu fikiran Amirul Mukminin Ali Abi Thalib. Manakala, tuduhan yang paling berat sekali, Nahj al-Balaghah adalah saduran serta ciptaan propaganda 'musuh agama' semata-mata! Memang berat!

Tetapi, tidakkah kita terasa aneh? Kalangan ini tiba-tiba lupa, bahawa betapa keraguan ini sebenarnya boleh terurai setelah mereka menekuni sendiri Nahj al-Balaghah. Tekuninya dengan adil, semaklah sarinya, dan asingkan antara kebenaran dengan prejudis. Atau, jadilah seperti Muhammad Abduh.

Rupa-rupanya tidak! Kalangan ini hanya mengesahkan kewujudan tipikal eksklusivisme. Mereka tidak pernah merasa malu dengan catatan George Jordac, "Wahai zaman, andaikan dengan segala kekuatanmu... wahai alam semesta, andaikan dengan segala kesanggupanmu engkau boleh menciptakan sosok pahlawan besar, maka sekali lagi ciptakan manusia seperti Ali, sebab zaman memerlukan orang seperti Ali."

Maaf, jika saya mengulang lagi ungkapan, "hebat sungguh Ali..!".

Sebenarnya kata-kata ini hanya mampu terbutir dari jiwa-jiwa seperti Jordac juga. Sekurang-kurangnya begitu. Jordac orang Kristian, membesar di antara Sunni, Shi'ah, Druz dan Yahudi. Namun, rencam ini tidak pernah menghalangnya untuk menulis Sautu’l ‘Adalati’l Insaniyah. Jiwa besar mengatasi segalanya.

Iya, tidak ramai yang punya jiwa sepertinya, yang mahu jujur mengakui, "hebat sungguh Ali..!". Dan, sarat gagasan dalam Nahj al-Balaghah adalah buktinya!

2 comments:

Najwan Halimi said...

Aqil, terima kasih atas entri ini. Dan secara jujurnya, saya memang tidak pernah menekuni Nahj al-Balaghah secara mendalam.

Sekadar mendengar cerita dan kupasan dari arwah datuk sewaktu saya kecil-kecil dulu yang memetik inti pengajaran dari kitab ini. Selepas beliau meninggal dunia, entah ke mana perginya kitab tersebut. Barangkali jadi wakaf di masjid.

Saya kenal Ali r.a. kerana arwah datuk. Dan kecintaan datuk terhadap Ali sampaikan menurut ayah, ingin beliau namakan saya dengan nama Ali. Ditolak oleh ayah kerana katanya beliau lebih suka dengan "Najwan".

Ali memang hebat.

Baginda anak kecil yang tanpa gentar menawarkan diri bersama-sama dengan Rasulullah menyebarkan Islam pada peringkat awal.

Baginda juga pemuda berani yang meletakkan jasadnya sebagai ganti nyawa Rasulullah kala peristiwa Hijrah.

Baginda pahlawan gagah di medan Badar yang memenggal leher si sombong Walid Bin Utbah.

Semoga Allah memuliakan Ali dan kerabat keturunannya. Amin.

Terima kasih Aqil, atas entri ini. Terasa bersemangat kembali tatkala mengenang Ali.

Anonymous said...

tolong terjemahlah kitab tu
ramai yang nak baca ni