Teman saya berkongsi cerita: sewaktu awal-awal kelas Sejarah & Falsafah Sains, ia dengan wajah lugu pernah bertanya, "Prof, pembentangan kami nanti dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris? Sayang, tentu sekali ia sudah tahu jawapannya andai lebih dulu mengenali latar pengajarnya itu. Prof Shaharir Mohammad Zain, anak Melayu pertama dari lulusan PhD matematik La Trobe itu hanya menguntum senyuman sambil berkata, "saya tidak tahu bahasa Inggeris". Ingat, peristiwa ini berlaku di UKM.
Setahun kemudian, Prof Shaharir, pakar formulasi kuantum ini akhirnya tersingkir dari Jabatan Matematik gara-gara 'suara besar'nya dalam isu perjuangan bahasa Melayu. Tercampak ke UPM sebagai penyelidik dan kemudian diajak ke UMT (dulunya KUSTEM) untuk kembali sebagai professor matematik. Seketika UKM aman, meskipun kursus sarjana sains (matematik fizik) pupus, berdamping kuburan dengan kursus sarjana sains (fizik teori). Prof Shaharir bersama-sama dengan Prof Lim Swee Cheng dan Dr. Sithi Vinayakam Muniandy akhirnya tinggal nostalgia.
Saya sendiri, yang sedang menuntut dalam Fractals and Chaos kini mewarisi pengetahuan dari pengajar tempelan, bukan dari pakarnya. Membelek-belek jurnal fizik teori hanya membuak-buakkan rindu saya pada pengetahuan mereka. Terkenang pula tatkala bersembang dengan seorang pengajar senior yang bermata sepet. Ia membeber, "orang yang tak berguna pun boleh disambung (kontrak), kenapa sebaliknya mereka dilayan sebegitu rupa, tidak dihargai?". Saya yang asalnya diam kemudian tersenyum, dan akhirnya kami sama-sama tersenyum dan ketawa.
Rupa-rupanya pertarungan ini belum selesai. Keterpesonaan elit politik terhadap Bahasa Inggeris kian nyata. Apatah lagi pencacainya di kampus—tentulah semakin mengada-gada—lebih sudu dari kuah. Kini orang yang membawa Prof Shaharir ke UMT, Prof Abu Osman Md Tap yang juga pakar Topos, akhirnya turut tersingkir dari UMT. Lucunya, ia tersingkir bukan kerana tidak datang mengajar, sebaliknya gara-gara mengajar dalam bahasa Melayu. Tidak sangka, kini hanya tinggal Prof Shaharir sahaja di UMT yang masih meneruskan pengajaran dalam bahasa kebangsaan. Yang lain menganut ajaran, "dengan menggunakan bahasa Inggeris, kami akan lebih maju", seolah-olah Nobel sudah dalam genggaman mereka.
Merenung hal ini, saya tidak punya keraguan lagi. Genap dua tahun nanti, hampir pasti kontrak Prof Shaharir tidak akan disambung. Ia professor 'degil' dan 'menyusahkan' banyak pihak. Malah, telahan ini tampak semakin benar. Belum sampai setahun lagi di UMT, Prof Shaharir sudah tiga kali ’masuk mengadap’ bilek para pencacai elit politik. Mencari makna peristiwa ini, benak saya tiba-tiba menyoal, ”apakah dapat diterima sekiranya Werner Heisenberg juga tersingkir dari Kaiser Wilhelm Institute for Physics kerana mengajar mekanik matriksnya dalam Deutsche? Benar, menamsilkan peristiwa ini saya mula melihat jawapan.
Jadi, untuk para pengajar baru, jika anda tidak kuat dan mahu selamat, elok jangan meniru sikap 'degil' Prof Shaharir, Prof Abu, dan mungkin juga Heisenberg. Meniru pendirian mereka bererti karier akademik anda bakal tergugat. Tekanan luar sangat kuat untuk dipaksakan ke atas budaya dalam. Jadi tiketnya; teruslah mengajar dalam bahasa Inggeris, meskipun di universiti kebangsaan sekalipun! Tiada kompromi! Jangan mengada-gada mahu menggunakan bahasa lain. Memang, inilah cara tunggal untuk kita maju dan mengenggam Nobel.
Maaf, nasihat terakhir ini hanya benar jika diamalikan di Princeton. Dan, bukan di Mengabang Telipot!
Friday, April 6, 2007
Shaharir & Abu Osman
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
11 comments:
ana terpesona dengan kritisan ini, daulat melayu!..hehe..
salaam,
amboi zarul, udah pandai mengusik sekarang ya? :-)
Orang lain tak pun menghina kita dan bahasa kita. Tetapi kita lah yang menghina diri dan bahasa kita sendiri
salaam,
benar albazrah; itulah yang benar-benar meruntunkan kita...
Kalau ikutkan geram di hati, mahu sahaja kukerat anu pencacai dan pemuja bahasa Inggeris itu.
Kerat dan lempar sahaja ke Sungai Kelang. Apa gunanya lagi jika sudah hilang kejantanan.
salaam,
wah, sampai begitu sekali pak jiwa? mungkin sungai amazon lebih baik kot?
untunglah piranha :-)
betul ke sampai jadi sebegitu, sememangnya agenda politik di utamakan dari nilai intelek. sayang, kerana saya kenal kedua2nya semasa jadi student dulu.
salaam
angin badai terima kaseh kerana sudi singgah.
benar, siapa yang mengenali mereka tentu menyayangkan hal ini berlaku...
hehe terima kasih kerana menghargai 'kedegilan' ayah saya
salam..."kedegilan" prof shaharir..kena pada tempatnya..tempat yg dipenuhi hnya dgn politik..tempat yg semua org hanya perlu mengikut tanpa ada sebarang kompromi..namun..prof shaharir adalah seorang prof yang amat ku kagumi..kerana..2 semester ku bersama dengan nya..terlalu byk dia mengajar ku..terima kasih prof...jasamu tetap ku kenang sampai mati...
bekas pelajar prof shaharir
UMT
bangga jugak ngan ayah kawan aku ni
teguh dengan prinsip
Post a Comment