www.flickr.com

Thursday, May 31, 2007

Buku Shari'ati

Sudah ramai teman-teman yang bertanya tentang buku-buku Ali Shari’ati. Sebagai salah seorang pengemarnya dari demikian banyaknya pengemar Shari'ati—seperti Husam Musa, Jomo KS Sundram, Wan Manan Wan Muda, Ahmad Shabery Chik, dll sebelum ini—saya kira elok saya pautkan sebahagian dari buku-bukunya. Buku-buku yang dipaparkan ini adalah sebahagian kecil dari buku-buku Shari'ati yang sempat saya gelintar dengan berserta sedikit coretannya. Selamat membaca!

And Once Again Abu-Dhar

Ini merupakan buku pertama tulisan Ali Shari’ati. Buku ini asalnya merupakan pengaruh Abdul Hamid Jawdah as-Sahhar terhadap Ali Shari’ati, yang dibilang sendiri oleh Shari’ati sebagai memberikan sumbangan terhadap kekayaan ilmu dalam khazanah masyarakat Shi’ah. Ketika membicarakan tentang Abu Dhar, tema-tema tentang melawan penindasan, menentang rasuah, menolak nepotisme, sering menjadi sebutannya. Harus dinyatakan di sini, Shari’ati melihat penghujung zaman pemerintahan Saiyidina Uthman Affan telah menghimpunkan semua keburukan itu. Sebab itu munculnya Abu Dhar. Abu Dhar, teman Nabi yang dari golongan yang awal memeluk Islam itu, tidak gentar untuk menunjukkan kesalahan yang terdapat dalam pemerintahan Uthman, sampaikan ia akhirnya dibuang ke Damsyik, kemudian diasingkan lagi ke Rabadzah, sehinggalah ia menemui Tuhannya seorang diri. Memang, Abu Dhar adalah lambang perjuangan Shari’ati. Malah—dengan semangat yang menyala—Shari’ati pernah berkali-kali menyatakan demikian; bahawa dirinya adalah pengikut tradisi Abu Dhar!

Hajj

Tidak banyak buku Shari’ati yang ditulis secara khusus. Kebanyakan tulisan Shari’ati adalah transkrip daripada kuliah serta ceramahnya, terutamanya di Husainiyyah Iryad. Namun, buku Hajj ini memang ditulis secara khusus. Bagi mereka yang pernah membacanya, kita akan diajak—secara filsafat sejarah—oleh Shari’ati untuk meneroka persoalan ritual agama ini dalam bentuk yang sangat menyegarkan. Bagi saya, buku inilah yang akan meninggalkan kita pertanyaan, dan seterusnya akan mendorong kita untuk memikirkan, ’siapakah Ismail kita”. Pesan saya, bagi mereka yang bercita-cita untuk menunaikan rukun Islam yang kelima itu, buku Hajj ini harus dimiliki, dan dihadam! Usul ini bukanlah bermakna Haji kita hanya akan sempurna setelah membaca buku ini. Tidak! Tetapi, bagi saya, jika kita tidak membaca buku ini, kesedaran Haji yang kita laksanakan itu semacam pudar, tandus dan kosong!

Fatima is Fatima

Fatima, bagi Shari’ati, adalah muslimah teladan. Lazimnya, bila Shari’ati berbicara tentang Fatima, Shari’ati cuba untuk menunjukkan beragam keistimewaan Fatima yang jarang sekali ada dalam peribadi muslimah yang lain. Sebab itu, Shari’ati sendiri kelihatan agak sukar untuk meletakkan Fatima dalam mana-mana citra, melainkan Fatima itu adalah Fatima sendiri. Buku Fatima is Fatima ini terbahagi kepada dua bahagian, yang masing-maing membicarakan persoalan yang berkaitan. Di awal, Shari’ati membahaskan tentang muslimah, sebelum mengakhirinya dengan pemaparan keperibadian, kehidupan dan perjuangan Fatima sebagai simbol muslimah ideal.

Martyrdom: Arise and Bear Witness

Bagi saya, ini merupakan antara buku Ali Shari’ati yang paling mengesankan. Seperti yang kita tahu, dalam tradisi Shi’ah, mereka meletakkan konsep kesyahidan sebagai teras dalam perjuangan mereka. Tradisi seperti ini dipercayai berkembang dari fahaman mereka terhadap Islam yang berbeza dengan kita, sampaikan ungkapan, ”Setiap tanah adalah Karbala, setiap hari adalah 10 Muharram”, bersemi dalam kebudayaan mereka. Tentang syahid, Shari’ati mengupas dengan cukup baik. Dengan membawa pengalaman Karbala, Shari’ati memperlihatkan peranan Imam Husayn dalam melanjutkan risalah nubuwwah. Kemudian, tidak cukup dengan itu, peranan Zaynab turut dicatatkannya sebagai penyampai pesan-pesan dari revolusi Karbala. Sebab itu, satu kata-kata Shari’ati dalam buku ini yang bergeming dibenak saya hingga kini ialah, ”...tanpa Zaynab, Karbala akan tenggelam dalam lipatan sejarah”. Memang, saya kira, rumusan Shari’ati ini benar!

Art Awaiting the Saviour

Seperti Imam Khomeini, Ali Shari’ati turut mempunyai idea yang serupa tentang konsep kezuhuran al-Mahdi. Menanti kehadiran penyelamat akhir zaman, bagi Shari’ati, hanya akan bermakna sekiranya kita memulakan perjuangan yang boleh menjadi asas kepada suatu kebangkitan sejagat. Menanti bukan bererti diam tanpa tujuan. Menanti bermakna ummah harus melaksanakan pesan-pesan suci agama—terus-menerus—tanpa henti—di mana-mana. Malah, kata Shari’ati, kita juga harus waspada, kerana pengalaman sejarah turut menunjukkan bagaimana nama agama itu pernah pada satu saat memancung kembali agama itu. Agama, tegas Shari’ati, dalam faham yang mutlak hanya terhimpun pada peribadi nubuwwah dan imamah. Dan, Imam al-Mahdi, sepertimana kepercayaan Shari’ati sendiri, adalah antara sosok yang melengkapkan Islam di akhir zaman!

9 comments:

Jong said...

Salam,
setelah 20 tahun mengenal 'Fatimah', saya tetap menangis kala membaca ulang karya beliau yang ini.
saya memang membaca karya beliau yang satu ini untuk menumbuhkan semangat jika saya rasa kalah atau murung.
rasa macam bateri yang dicas semula.
pada saya untuk mereka yang belum mengenal ali shariati, elok bermula dengan 'Fatimah'.
Wassalam.

Anonymous said...

sebermula degan fatima kemudian abu dhar.... shariati mengangkat kedua isu yang paling saya minati keadilan dan wanita... ternyata pemikirannya benar suatu bentuk pencerahan yang menyentap minda dan juga jiwa... bagi muslim yang cintakan kebenaran dan menginginkan perjuangan islam inilah harus dipertemukan! terima kasih kerana memperjodohkan ambo ngan shariati... suatu jasa yang tak mungkin dilupa!!!-elvedina kesten

Anonymous said...

Aqil, dengar khabar kau ajak kawan2 mendiskusikan buku2 Shariati. Betulkah?

Elok 'tu. Aku pun naik join! Kalau tak selalu, sekurang-kurangnya apabila aku free, aku join!

Buat area tempat hang ler. Aku pi sana pulak... faomar@yahoo.com

Aqil Fithri said...

salaam,

FT, 'terima kaseh'!

Elvedina Kesten, selamat berkunjung!

Fathi, ana ingat begitulah... Sekarang tengah kumpul kawan2 yang berminat. Insha'alLah, nanti ana cuba aturkan. Ana akan maklumkan pada enta dan kawan2 bila jadi!

Kaki Bangku said...

Aqil ni, kejap suka Tabatabaei, kejap Shariati, pastu Soroush pulak...

Tak aci, tak konsisten.



Tapi takpe, saya boleh maafkan. Penulisan dan analisa saudara tetap kencang!

Aqil Fithri said...

salaam,

kaki bangku, apa khabar? lama tidak mengirim artikel sufi? hehehe

sebenarnya antara Tabataba'ie, Shari'ati dan Soroush, masing2 ada perkaitan yang menarik untuk diteladani.

kalau anda tidak pernah membaca, mungkin saya fikir anda pernah melihat sebuah buku Soroush yang bertema, "Reason, Freedom, and Democracy in Islam".

saya masih ingat, bagaimana dalam buku tersebut, Soroush menyatakan rasa terhutang budinya pada sebuah karya Tabataba'ie, "The Principles of Philosophy and the Method of Realism". malah, buku inilah yang saya cari2 sampai sekarang.

lebih menarik, perasaan yang sama juga turut dirasai oleh Mahmoud dan Ahmad Sadri yang mewawancarai Soroush ketika itu.

nah, sekarang Soroush yang terpesona dengan Tabataba'ie itu, telah dianggap oleh sebilangan besar anak2 muda progresif Tehran sebagai penyambung lidah Shari'ati.

justeru, saya kira antara Thaba'thaba'ie-Shari'ati-Soroush masing2 ada satu jaluran warisan yang sangat menarik: intelektual-aktivisme!

dan, saya yakin dan percaya, jaluran seperti inilah yang wajar untuk kita teladani...

Anonymous said...

Aqil, buku Soroush yang Sdr sebut ini, Reason, Freedom, and Democracy in Islam -- bagi saya -- ada sedikit masalah dan "mengecewakan". Kalau tidak salah saya, bab 4. Sewaktu beliau mengungkapkan isu sains modern, falsafah sains dan agama.

Saya perasan, kalau tidak salah saya, Soroush ini agak "positivistic" cara pandangnya terhadap sains dan falsafah sains yang mengkritik positivisme.

Saya pernah mengulas lanjut bab ini di forum AstoraJabat.com tetapi sekarang sudah "ghaib", maka saya tidak ada artikel yang merakamkan hujah saya itu.

Nanti, kalau senang2, kita boleh merujuk lagi buku ini.

Anonymous said...

Salam Aqil...

Sering juga mendengar nama saudara tapi rasanya tak pernah ketemu.Ana pernah lama belajar di Iran.Ana kurang setuju dengan kecenderungan saudara terhadap Soroush.Dia sangat kuat mengkritik institusi ulama di Iran.Ini bukan pendekatan yang betul.Ulama Iran bukan macam ulama Sunni.Mereka tersohor dari segi ilmu.Sudah acap kali berlaku perdebatan antara si Soroush dengan ulama-ulama besar di Qom dan terbukti Soroush bungkam dengan hujjah-hujjah ulama-ulama bertaraf Ayatullah.Soroush harus cermin dirinya sebelum berbicara tentang Islam.Dia bukan seorang ulama.Tradisi Ahlul Bait adalah tradisi ilmu.Hanya ulama yang memiliki autoriti untuk berbicara tentang Islam secara mendalam.Wassalam...Ali Haidar...

Doa Dan Harapan said...

Buku tentang Falsafah Haji karangan Dr Ali Shariati amat elok dibaca oleh bakal-bakal haji supaya dapat kemanisan ibadah haji kelak...