Salaam,
Saudara, terima kaseh atas maklumat serta perkongsian ilmu dalam ulasan pada kiriman sebelumnya. Saya sangat hargai.
Namun, pertanyaan saya pada saudara tentang pemikiran Mulla Sadra ada beberapa maksudnya, terutamanya kalau kita mahu melihat ide-ide pencerahan yang pernah tercatat dalam belahan dunia muslim.
Jujur, saya akui, bahawa saya tidaklah begitu akrab tentang Sadra berbanding dengan beberapa pemikir semasa lain. Walau bagaimanapun, kebanyakan buku-buku pemikir semasa yang saya baca; Fazlur Rahman, Murtadha Muthahhari, Sayyed Hossein Nasr, malah Ruhollah Khomeini sekalipun, rata-rata mereka kelihatan tersanjung dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh Sadra ini. Malah, Muthahhari sendiri, setahu saya pernah menamakan cucunya sebagai Sadra sebagai salah satu bentuk penghormatannya serta lambang kecintaannya pada penganjur hikmah muta’aliyyah ini.
Mengapa Sadra? Mengapa tidak yang lain? Dan, mengapa buku-buku saingan sekolah pemikiran Islam yang lain seperti 'irfan, isyraqi, kalam dan filsafat tidak dilihat sebegitu lengkap dengan apa yang digagaskan oleh Sadra? Juga, mengapakah akhirnya hikmah muta'aliyyah yang akhirnya berjaya mensintesiskan beragam sekolah pemikiran yang lain? Memang, ada banyak perselesihan dan perbezaan. Seperti biasa, pasti ada yang bersetuju dan ada yang berfikir sebaliknya!
Apapun, sejauh yang saya faham, ide Mulla Sadra terhadap konsep epistemologi adalah yang paling menarik berbanding dengan sekolah pemikiran Islam yang terdahulu. Ia dikatakan mengatasi keunggulan pemikiran Ibn Arabi, al-Asyaari (dan al-Ghazzali), Suhrawardi dan al-Farabi.
Saya boleh bersetuju dengan kenyataan demikian kerana, kebanyakan jawapan-jawapan yang dibentangkan oleh Sadra lebih bersifat saintifik (yang bukan dengan maksud ia mendekati emferisme semata-mata). Umpamanya, kalau kita meneliti al-Asfar al-Arba'ah—yang diakui ramai sebagai karya yang sukar untuk difahami, namun dengan mudah saja ia diajar di Qum al-Muqadassah—Sadra sebenarnya telah berjaya menyelesaikan satu persoalan yang sangat besar yang membelenggu dunia kefalsafahan. Bahkan, persoalan-persoalan inilah juga yang merantai sebahagian besar pemikir-pemikir barat yang dekat dengan metafizik sekalipun, seperti para pemikir fenomenologi; Husserl, Heidegger, dll.
Justeru, sumbangan Sadra dalam menerang dan menurunkan empat tahap dalam epistemologi sangatlah wajar diberi semakan tajam oleh para pemikir muslim yang tercerah. Tindakan ini penting sebagai satu kerangka kita untuk membangunkan semula gagasan intelektual Islam yang asli. Menerusi rungkaian Sadra dari tahap persembahan --> tahap konsep --> tahap pengetahuan diri --> tahap diri yang sedar menyeluruh --> tahap wujud yang hakiki, kita mungkin dapat melahirkan epistemologi alternatif.
Dari kesedaran inilah, maka usaha membina serta membangunkan epistemologi alternatif kian menjadi signifikan, iaitu dalam keperluan kita untuk menganti atau sekurang-kurangnya memperbaiki, umpamanya episteme mantik tulen anjuran Husserl yang dilihat amat berkuasa dewasa ini.
Bahkan, lebih jauh lagi, kita mungkin dapat mengurangkan cengkaman epistemologi sekular yang sarat ditaja oleh kalangan sekularis-ateis, yang seperti kita sedia maklum bahawa kebanyakan kosmologi pemikirannya hanya terbatas dalam persoalan dua tahap yang terawal sahaja, jika dibandingkan dengan keseluruhan konsep besar anjuran Sadra.
Jadi, dunia muslim hakikatnya ada kelebihan berbanding dengan dunia barat. Muslim punya kekayaan khazanah intelektual yang tidak kalah bandingnya dengan barat. Dan, hikmah muta'aliyyah adalah sebahagian daripada longgokan kekayaan tersebut! Cuma, persoalannya kini, adakah kaum muslim lebih selesa untuk menebalkan dogmanya, semata-mata kerana tidak senang dengan perbezaan sekolah pemikiran?
Benar, saudara dan saya, juga mereka-mereka yang lebih mementingkan scientia mungkin tidak akan bermasalah untuk menipiskan dogma serta mencabut semua dogmatik yang tidak perlu. Dan memang, tidak pernah ada hukum, "ranting mengatasi pokok" buat mereka yang rasional. Yang mendesak dalam dunia muslim waktu ini ialah, memikir serta mengerah tenaga bagi menimbunkan kembali khazanah pemikiran Islam yang sangat bernilai itu!
Saudara yang budiman, saya kira inilah sedikit catatan tambahan saya. Tentu saja ia tidak mencukupi untuk kita sama-sama menyimpulkan satu perbincangan yang lengkap, melainkan kita juga sama-sama mengambil inisiatif membaca, mengorek serta merumus semula segala keaslian pemikiran dari karya-karya yang primer!
Sekian, salaam hurmat!
Tuesday, July 17, 2007
Buat Pas 14 Bintang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Benar, saya sgt setuju dengan warkah ni. Epistemologi dalam kebudayaan Islam sungguh kaya. Rasa dah tak sabar nak tengok, epistemologi yang tawhidic ni menewaskan epistemologi eteis-secularis.
Salam,kata tuan "...kalau kita meneliti "al-Asfar al-Arba'ah" yang diakui ramai sebagai karya yang sukar untuk difahami..." Pada pandangan saya satu2 insan yg telah menghayati akan "al-Asfar" ini adalah Pemimpin Revolusi Islam, Imam Ruhullah al-Khomeini (Quddisasirruh). Labbayka Ya Ruhullah !
Post a Comment