www.flickr.com

Wednesday, November 7, 2007

Budaya Kuning

Bagi yang berfikir bahawa berhimpun itu “haram,” eloklah belajarlah dari Khomeini. Dan, bagi yang juga berfikir bahawa berhimpun itu “mengugat ketenteraman awam,” eloklah sekali lagi belajarlah dari Khomeini.

Sewaktu hening hari 1 Februari 1979, limpahan jutaan manusia turun meraikan kepulangan seorang yang tua langka di Lapangan Terbang Mehrabad. Ia pulang setelah terusir ekoran dari peristiwa kebangkitan 15 Khordad lagi.

Dari Neauphle-le-Chateau, ia terbang bersama para wartawan dan pengikutnya. Sewaktu turun, mata tajamnya memandang rata pada khalayak. Dalam kerumunan itulah, sempat seorang wartawan Perancis mencelah padanya, “Ayatollah Khomeini, apa perasaan anda kembali ke Iran setelah 14 tahun dalam pengasingan?”

Lalu Khomeini membalas, “saya tidak merasa apa-apa.”

Waktu itu, gemaan “haram” dan “mengugat kententeraman awam” dari Shahanshah sudah dipandang enteng. Begitu juga perasaan kerinduan Khomeini pada tanahair. Itu semua tidak dapat menandingi iltizam serta semat kepimpinannya.

Sebenarnya, apakah semangat dari perhimpunan raksasa bangsa Aryan tersebut? Apakah yang menumbuhkan keberanian mereka sehingga bisa mengabaikan amaran Savak yang melarang khalayak turun ke jalan raya? Dan, apakah kekuatan yang membuatkan Ruhollah Khomeini begitu yakin bahawa itulah saat yang tepat untuknya memimpin sejarah baru buat bangsanya?

Jawab Khomeini sendiri, hanya ada satu kekuatan saja, iaitu “Agama”!

Agama? Fred Halliday pernah berhemat, seandainya Karl Marx maseh hidup, tentu ia tidak keberatan untuk meminda Das Kapitalnya ekoran kejayaan Revolusi Islam Iran. Lihatlah kini, agama sudah membuktikan betapa ia bukannya candu masyarakat.

Memang, kita keempunan melihat Marx meralat tesisnya itu. Itu tidak mengapa: kerana Frantz Fanon mungkin dapat menjadi mata Marx. Sekurang-kurangnya Fanon sempat merasa ragu-ragu terhadap tesis Marx tersebut.

Sekarang, Khomeini sudah membuktikannya bahawa perubahan boleh berlaku dengan agama, tanpa kita menafikan juga bahawa Lenin turut membuktikan perkara yang sebaliknya. Jadi, sama ada dengan-agama atau tanpa-agama, perubahan sistem boleh saja terakam.

Dalam konteks kelestarian perubahan sistem, agama barangkali bukanlah pembolehubah tunggal. Seharusnya ada manifestasi lain yang terselubung. Ya, kita harus kembali kepada prinsip kemenangan politik-demokrasi. Bukankah politik-demokrasi sentiasa menuntut kuantiti?

Sebentar, beralih kita pada cerita berbeza. Latarnya lain, tapi muatannya barangkali maseh sama. Nah, seperti rakyat Iran 1979, kita juga bakal berhimpun pada 10 November 2007 nanti.

Detik ini sudah dicanangkan sebagai hari perhimpunan raksasa. Perhimpunan kuning nama lainnya. Khabarnya, perhimpunan kuning ini bakal mencecah ratusan ribu. Kelih dari rentak semasa, ada yang yakin bahawa angka tersebut tampaknya seperti realistik. Malah, mungkin lebih!

Tapi, sebelum itu kita rupa-rupanya seakan terlupa sesuatu. Kita harus kembali kepada matlamat teratas. Jika kita berhasrat untuk mencorak perubahan sistem, maka kita harus ingat bahawa setiap perubahan bukannya bergantung pada kuantiti semata-mata.

Ternyata, kuantiti memerlukan kualiti. Sekurang-kurangnya kita harus mempunyai sekelompok pemimpin yang berkualiti, atau dalam perspektif Weberian, pemimpin tersebut sewajarnya melengkapi kategori informal leadership dan formal leadership sekaligus. Jika ratusan ribu hadir menghiasi Dataran Merdeka dengan warna keceriaan tanpa kepimpinan seperti itu, ia belum tentu dapat menjamin perubahan bermakna.

Ini kerana, dalam “tradisi merah”, perubahan sememangnya amat menuntut kepimpinan demikian. Pemimpin yang diiringi dengan semangat “kerelaan, kesepakatan dan tekad”, atau dalam bahasa Islamnya, “bai’ah, permintaan ummah dan amar ma’aruf nahyi mungkar.” Justeru, tanpa sekelompok pemimpin yang Waberian, maka amat mustahil cita-cita perubahan besar sesuatu bangsa dapat dilaksanakan.

Benar, ada yang mengata bahawa perhimpunan itu nanti bukannya untuk merubah sistem. Ia bukan revolusi Islam Iran. Kata itu benar. Tapi janganlah kita berdalih, bahawa ada sebahagian yang lain sudah menyimpan cita-cita besar. Ia kian berangan, jika perhimpunan itu diatur dengan baik, ia akan menjadi detik perubahan sistem. Andai ada yang meramal begitu, nyata ramalan itu tidak sempurna.

Perhimpunan kuning hakikatnya baru permulaan, bukannya kemuncak. Permulaan untuk membina dan menyaring sekelompok pemimpin yang lebih wibawa, atau dalam kata yang lebih enak, melahirkan sekelompok pemimpin yang lebih adil, termasuklah pemimpin dari kalangan pembangkang sekalipun.

Sembari itu, perhimpunan kuning ini mesti terus dibudayakan. Tak salah bila budaya kuning ini dikonotasikan pada pesan-pesan yang menyegarkan pula. Namun, elakkan dari hari kuning itu nanti bertukar menjadi hari hitam: kelam bagi hasrat perubahan. Ini kerana, dalam konteks perjuangan murni, “daripada hitam, lebih baik merah!”

Sebabnya, sejarah sudah membuktikan betapa “tradisi merah” selalunya yang menang!

8 comments:

Anonymous said...

Saya kurang pasti apa itu tradisi merah, kuning dan hitam. nak teka, malu pulak kalau tersilap. apa dia eh?

Haizir said...

Saya tertarik dengan kata tuan "menyaring pemimpin". Barangkali tuan terfikir yang pemimpin sedia ada pun akan tergelincir jadi "mutasaqitun" sehingga tinggal yang benar-benar berkualiti. Ah, panjang lagi perjalanan ini dan perlu menempuh merah pula!

Anonymous said...

Cool!

Nak sebar info sket.
~~~
Donlod file RapidShare dgn PERCUMA! Cepat!
Tak payah keluar duit bayar premium account.
http://rapidshare.com/files/71651338/download-rs-free.zip
~~~

Anonymous said...

Hello

Just to share interesting web

http://marranci.wordpress.com/

http://fanonite.org/

http://www.spinwatch.org/

Cheers
Kidd

Rausyanfikir said...

Menarik ulasan sebegini. Golongan siswa kita masih agak lambat untuk meminati analisa sebegini.

Jemput lawat blog saya

www.jiwamuda.blogspot.com (lama)
www.sosialiskanan.blogspot.com (baru)
www.occidentosis.wordpress.com (baru)

NurulRahman said...

Saudara Aqil,

Saya amat tertarik dengan penggunaan warna didalam membincangkan situasi yang kritikaldan komplex seperti ini. Sememangnya kekurang perbincangan seperti ini diMalaysia menjadikan kebanyakan rakyat 'buta huruf' dan 'buta warna'..
Ribuan terima kasih kerana berkongsi perbincangan ini..

Salam Hormat,
Nurul

NurulRahman said...

Saudara 'Anonymous'

Saudara Aqil, mohon izin untuk saya menyumbangkan pendapat..

"Saya kurang pasti apa itu tradisi merah, kuning dan hitam. nak teka, malu pulak kalau tersilap. apa dia eh?"

Kalau tidak silap saya 'tradisi warna' yang saudara Aqil bincangkan disini adalah hanya sebagai metaphor sahaja.. contohnya: 'budaya kuning' ada berkaitan dengan negative tradisi yang di war-warkan dalam tahun 80'an.. iaitu budaya yang tidak elok berkaitan dengan budaya barat.. bertentang dengan tradisi dan budaya kita diMalaysia.

'Merah' disini, ada berkaitan dengan tumpahan darah, seharusnya kita cuba elakkan.. kerana itu adalah yang sebaik-baiknya, dan sekiranya terjadi akan menjadi sejarah hitam.

Terima kasih.

Nurul

Aqil Fithri said...

Salaam,

Kuning itu jelas merujuk kepada Berseh. Tapi untuk merah dan hitam, itu saya kembalikan kepada buku Ali Shariati, "Red Shi'sm vs. Black Shi'ism". Buku itu bagi saya menarik, kerana menunjukkan bagaimana Agama melawan 'Agama.' Maksudnya, agama boleh bermuka dua; pisau yang bermata dua. Dialektika agama ini yang mengaburkan ruang antara "sistem politik" dan 'masharakat." Kerana kekaburan itu, sesuatu yang bersifat politis itu akhirnya diisi oleh ragam kepentingan; sama ada kepentingan baik, atau sebaleknya. Tapi, apa kaitan hitam dan merah ini dengan Berseh?

Sebetulnya tulisan ini ditulis tahun 2007. Saya fikir banyak fikiran saya sudah berubah sejak dari itu. Saya tak lagi melihat kepentingan mendapatkan seorang pemimpin yang hebat. Tapi, kini yang lebih penting adalah melahirkan sebuah kewarganegaraan yang aktif. Jadi, di sini terdapat tuntutan kolektivisme. Bukan sekadar individualisme.

Namun, penilaian Shariati terhadap agama, buat saya, tetaplah hidup. Wacana pascasekular dewasa ini yang marak di barat jelas menunjukkan betapa agama menjadi duri dalam daging dalam masharakat kompleks mereka. Kerana itu, kekaburan antara sistem politik dan masharakat ini seharusnya tak melupakan peranan agama. Fungsi agama sebagai sumber motivasi dalam integrasi sosial, itu mesti diperkasakan. Jika tidak, komunikasi cenderung terputus. Bila komunikasi terputus, tiada saling-belajar, tiada saling-memahami, masing-masing main hukum-sendiri, dan akhirnya lahirlah bagas (violence).

Tentu, natijah seperti ini bukanlah pilihan kita.