www.flickr.com

Monday, September 8, 2008

Tentang al-Attas

Apa yang menarik pada Robert Oppenheimer (1904-1967), Martin Heidegger (1889-1976), Ali Shariati (1933-1977), dan Fatima Mernissi (1940--)? Saya fikir kerana kontroversi-kontroversi mereka.


Kontroversi memang tidak lekang mengundang perbahasan, yang kadang-kadang menelan zamannya sendiri. Begitulah yang terpapar pada ISTAC yang 'runtuh' ekoran gerombolan politik. Nama kedua besar yang disekutukan dengan ISTAC, selepas Syed Muhammad Naquib al-Attas, ialah Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, muridnya Fazlur Rahman. 

Sebenarnya, saya dan seorang teman, Noor Amin Ahmad, dapat menghubungi beliau menerusi bantuan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamar.

Ketika di awal perbicaraan, beliau awal-awal mengakui bahawa terdapat kesilapan dalam pemikiran Fazlur Rahman, terutamanya mengenai al-Quran. Walau bagaimanapun, beliau memahami kesilapan Fazlur Rahman tersebut, iaitu ekoran Fazlur Rahman memileh jaluran Ibn Sina. Namun, baginya, "setiap pemikir besar sudah tentu akan berkemungkinan untuk melakukan kesilapan yang besar juga." Dan, "ini termasuklah Fazlur Rahman juga."

Asalnya, memang kami mahu merakam wawancara. Tapi, nampak beliau lebih senang untuk bertaaruf dan berandau terlebih dahulu. "...wawancara kita boleh dilakukan kemudian," ujarnya sambil menunjukkan buku Jennifer Webb yang mengolongkan al-Attas sebagai satu-satunya pemikir muslim yang terangkum dalam Powerful Ideas: Perspectives on the Good Society.

Terus-terang, saya hadhir dengan sejumlah pertanyaan tentang ISTAC, dan dan ingin sekali memperoleh jawapan dari mantan Timbalan Pengarah ISTAC ini. Memang, apa yang terbuku ini merupakan persoalan-persoalan kritis yang telah bermain di fikiran selama ini.

Pertama, tentang pendapat al-Attas, iaitu tentang definisi ilmunya yang saya kira terdapat persamaan dengan definisi yang digunakan oleh Fakruddin ar-Razi. Ilmu, antara al-Attas dan ar-Razi, rupa-rupanya adalah dalam takrif yang sama: ketibaan makna dalam diri. Jadi timbul pertanyaan, adakah al-Attas sudah mengetahui definisi ar-Razi ini sebelum beliau merumuskan takrifnya tersebut?

Lalu, Prof Wan Mohd Nor menjawab, rumusan tersebut sebenarnya adalah terpisah, tapi punya kebetulan yang hampir sama. Kendatipun begitu, kata beliau, definisi al-Attas tampak lebih menyeluruh kerana telah menakrifkan proses mendapatkan ilmu yang lebih dini. Dan aspek ini tidak dinyatakan oleh ar-Razi.

Kedua, saya fikir kelihatan ada perseteruan intelektual antara al-Attas dan Sayyed Hossein Nasr. Sejujurnya, memang saya cenderung pada Nasr berbanding al-Attas. Maka, persoalan saya ialah, mengapa dalam banyak waktu, Prof Wan Mohd Nor melihat wibawa intelektual al-Attas melebihi dari wibawa intelektual Nasr. Tapi, akhirnya, mengapa pula nama Nasr lebih semarak dari al-Attas, terutamanya di barat? 

Maka, beliau menyatakan bahawa terdapat beberapa faktor yang mendorong perkara tersebut. Ini termasuklah, lokasi Nasr yang berkhidmat di Amerika Syarikat, penerbitan buku Nasr dalam Bahasa Inggeris, kemudian diterbitkan pula oleh penerbit-penerbit besar, dukungan Shah Iran pada Nasr pada peringkat awal, dll. Namun begitu, yang melakukan kerja-kerja falsafah secara fundamental adalah al-Attas, beliau sendiri dan kalangan ISTAC sahaja.

Ketiga, persoalannya, kalaulah al-Attas mendaulatkan Bahasa Melayu, mengapakan beliau banyak menulis dalam bahasa Inggeris. Meskipun kita menyedari bahawa di tahap awal karier akademiknya memang beliau menulis dalam Bahasa Melayu, tapi kemudian al-Attas tidak takat lalu beralih kepada bahasa Inggeris. Justeru itu, tampak tiada beza antara al-Attas dengan Nasr dari sudut penggunaan bahasa popular?

Lantas, beliau yang kini penyelidik kanan ATMA membela, bahawa tiada guna kita menghalakan buah fikiran kita pada khalayak yang tidak menghargai ilmu yang ingin disampaikan. Sebab itu, ramai murid-murid tegar al-Attas, terutamanya dari luar negara, sedih apabila karyanya, dan fikirannya tidak diberi tempat yang sewajarnya di sini, kata Prof Wan Mohd Nor. Jadi, kerana itu, al-Attas lebih banyak menulis dalam bahasa Inggeris demi untuk mendapatkan khalayak yang lebih luas.

Dan keempat, saya mengajukan pertanyaan penting saya, "anda menyatakan bahawa setiap pemikir besar berkemungkinan akan melakukan kesilapan yang besar juga. Maka, menurut anda, apakah sebenarnya kelemahan al-Attas? Maksud saya, kelemahan terbesarnya?"

Nampaknya, lulusan University of Chicago ini mengambil sedikit waktu sebelum lekas membuat tanggapan. Kata beliau, "kelemahan al-Attas ialah kerana beliau degil." Beliau degil kerana tegas dengan sikapnya sendiri, dan tidak memberi ruang kompromi dalam prinsip yang diyakininya. Dan bagi Prof Wan Mohd Nor lagi, "ini adalah degil yang positif."

Saya fikir, saya tidaklah mahu merumuskan apa-apa di sini. Saya hanya melaporkan, dan menyimpan rumusan peribadi dalam dekaman diri saja. Sekurang-kurangnya buat setakat ini. Tapi, saya anjur persoalan-persoalan ini harus dicungkil lagi--supaya kita beroleh jawapan yang lebih tuntas. Dan barangkali lebih elok kalau diizinkan untuk dirakam, dan dibuat wawancara mengenainya. 

Hakikatnya, saya dan teman masih belum mengukir senyum dalam makna kepuasan sejati. Kami menanti randau berikutnya.

6 comments:

Amin Ahmad said...

Salam sdr Aqil,

Jujurnya kita harus berani melihat dua perkara secara terpisah (meski sukar):

1. idea
2. pengemuka idea

Kita harus sentiasa menghormati ilmuan dan pada masa yang sama tidak membataskan pandangan kritikal kita padanya. Acapkali kita gagal membezakan ini - malah mereka yang mahu dilihat ilmuan juga sukar membezakannya.

Ya, sudah tentu kita punya tanggungjawab terhadap diri sendiri. Jujurnya, saya tidak banyak bermasalah dengan pandangan Prof. Syed Naquib, hanya saja penjelmaan idea dalam teks dan konteks punya keunikan sisi masing2.

Aqil Fithri said...

salaam,

yup, saya kini berfikir, sudah tiba masanya kita mengenyahkan sisi pandang "ilmu untuk ilmu", ataupun "agama untuk agama."

selagi, ilmu/agama tidak bermuara dari "iman", lalu membentuk "pengetahuan", dan kemudian menjadi "kesedaran", "tanggunjawab" + "aksi", maka ia ibarat shaum hanya kerana shaum, tapi akhirnya ibadah tersebut tidak membumbungnya kepada apa-apa.

di sinilah barangkali benarnya nietzsche dan ralatnya kita pada sultan mahmud ghaznawi. tapi memang wajar, penghargaan sentiasa ada untuk kalangan sekolah pemikiran al-Attas. tentu.

Amin Ahmad said...

ana ke kedai DVD yang sama semalam, tapi filem Wittgenstein telah tiada lagi..dan ana melangkah longlai tanda kesal kerana tidak mendapatkannya dulu.. :(

Aqil Fithri said...

itulah, kan dah cakap dah :-) sekarang dah nanar :-) pulas telinga nih :-)

Anonymous said...

hossein nasr sesat dengan tariqah maryammiya dan perennial philosophynya...

sabina said...

baru bisa ikut baca, belum bisa komentar