www.flickr.com

Tuesday, November 18, 2008

Nasr

Seyyed Hossein Nasr, kita tahu, adalah cendikia Islam yang terpandang waktu ini. Sebab itu, ia tergolong dalam Library of Living Philosophers Series.

Nasr juga, namanya bukan sahaja terselit dalam tema-tema Sains Islam—yang keras dikritik Pervez Hoodbhoy itu--, tetapi juga dalam tema-tema politik muslim-barat mutakhir. Setelah 911, ketika adikuasa menjaja demokrasi, dan tekad memerangi keganasan global,--seperti banyak cendikia lain—Nasr turut sama menawarkan pandangannya terhadap agenda tersebut.

Memang sudah sifat cendikia--harus lekas menurunkan analisa aslinya. Betapa tidak, sejarah sudah banyak merakam, analisa yang asli akan dihurmati dalam waktu yang lebih lama.

Namun, dalam bukunya tersebut, The Heart of Islam: Enduring Values for Humanity, Nasr menyerang kemodenan. Malah, sampai memanggilnya sebagai aliran yang paling ekstrim yang pernah dikenali.

Ini sudah tentu mengulangkan apa yang ditulis sebelumnya--Traditional Islam in the Modern World--buku yang turut memuatkan kritikan terhadap pendekatan Gerakan Islam. Katanya, Gerakan Islam yang ada dewasa ini lebih berupa permukaan, tapi mudah mengabaikan keindahan.

Bila menyentuh tentang Nasr juga, kita mungkin dapat bayangkan, bagaimana Hoodbhoy mencenggil bila kedengaran namanya. Dalam Islam and Science: Religious Orthodoxy and the Battle for Rationality ia menyebutnya Sains ´Islam´ Nasr dengan tanda kutip pada perkataan Islam. Sebab, Hoodbhoy tahu benar, Nasr tidak memahami sains moden seperti mana yang ia telah lalui

Suara Nasr, dalam kata lain, hanyalah gelora mereka yang inginkan keanehan, gemarkan perbezaan, mahukan perhatian--yang kununnya dianjurkan atas nama memanjangkan nafas tradisional, dan kemudiannya memanggilnya sebagai neo-tradisional.

Tapi, salahkah Nasr? Barangkali tidak. Suara dhamir yang takzim dengan ilmu, tentu sekali tidak memerlukan kemaafan. Sebab, kemaafan hakiki tidak pernah terluah atas nama ilmu yang diyakininya.

Dewasa ini, menerusi Northbourne, Smith, Schoun, dll terbukti bahawa budi Nasr lebih bererti bagi sebuah pencarian scientia.

No comments: