www.flickr.com

Friday, November 21, 2008

Schier

Airmata juga punya bahasa.

Kadang-kala, jika kata-kata tidak mencukupi, airmata akan mengambil-alih. Saya sempat bersama Peter Schier. Saat ia berbicara soal Bosnia & Herzegovina, jelas sekali ada satu bahasa yang sampai pada kita.

Tegasnya, Bosnia & Herzigovina, dalam tempoh 1992-1995, adalah satu tragedi Eropah. Sebuah tragedi yang tidak seharusnya berlaku. Ia tidak melihat itu konflik agama. ¨Saya tahu, itu bukan kerana agenda Kristian,¨ ungkap Schier ketika membalas hujah Nasser Marohomsalic dari Philipines Council for Islam and Democracy.

Tanpa membiarkan rasa kusut berlarutan, ¨yang salah ialah Perancis, Britian dan tentu sekali Russia,¨ katanya dengan penuh tahu.

Tentu saja, sebagai orang Jerman, Schier ingin mempertahankan negaranya. Tapi benar, Jerman sudah berbuat apa saja untuk Bosnia & Herzigovina semenjak hari pertama tragedi tersebut. Cuma, penyelesaianya tidaklah semudah menumpahkan airmata. Fakta bahawa ribuan, malah ratusan ribu Bosniak yang diizin ´kembali´ ke Rhine menceritakan kebenaran kata-kata Schier.

Kini sudah lebih sedekad tragedi tersebut. Tak sangka, ada yang maseh mengenangnya dengan penuh hayat. Dan, yang mengenang itu seorang kristian, yang katanya; yang tidak minum; yang tidak bertaruh; dan yang tidak berfoya-foya.

Ia hanya memiliki sebuah kebun mangga di Kemboja. Itupun dicuih-cuih oleh orang rumahnya.

Barangkali benar, ada tempat-tempat tertentu, konflik yang wujud bersembunyi di sebalek jubah agama. Jika tidak, tidak mungkin Marohomsalic berbicara dengan penuh keyakinan. Tapi, mungkin juga sebab sentimen di dalam dirinya yang ada darah Slavik. Tapi, Schier, yang pernah bergelumang di Kosova sewaktu konflik tersebut melihatnya berbeza. Satu peristiwa, dua sisi pandang.

Apapun, kita dapat membaca keikhlasan. Tangan yang menyeka bintik-bintik air pada kelopak mata Schier menceritakan segala-galanya—tentang apa yang terbuku di sanubarinya.

Sebab itu, jika kata-kata tidak mencukupi, airmata akan mengambil-alih, dan menerangkan apa itu kebenaran. Dan, tanpa dipaksa, kita akan dapat merasainya.

2 comments:

Amin Ahmad said...

Aqil,

Sungguh kau buat aku yakin bahawa IKD memilih orang yang betul untuk ke Penang.

Aku akan berusaha untuk memastikan pemilihan aku ke Indonesia juga adalah pilihan yang betul!

Aku rindu soalan-soalan kau! Ia buat aku jadi manusia.

Amin Ahmad said...

Peter Schier mungkin antara orang Jerman yang unik.

Dia tak kenal Juergen Habermas bukan? Dan dia tidak minat dengan perang ideologi yang biasa.

Beruntunglah kau kerana masih dapat bertemu dia.

Tapi kita harus mula berkenalan dengan Thomas Knirsh!