Asalnya, tak terfikir untuk menulis tentang ini. Waktu itu, apa yang terlintas pada saya, ini adalah soal remeh. Walau bagaimanapun, rasanya perlu juga. Ini tak hanya tentang Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal seorang. Malah, juga tak hanya tentang masa depannya. Tapi, tentang fizik. Dan, juga tentang kesendengan sistem pendidikan negara.
Pertama, biarpun agak terlewat, tahniah buat Madihah atas kejayaan! Sudah tentu, waktu sekarang sangat sulit untuk menentukan pilihan. Bila datangnya banyak peluang, kesukaran seperti ini memang tak dapat dielakkan. Maka, harus cermat.
Sejujurnya, saya menulis secara spontan ini kerana dua sebab. Pertama, hasrat Madihah untuk menuntut dalam bidang fizik. Jika memang Madihah punya minat dalam bidang ini, itu satu permulaan yang amat bagus. Minat sering saja membawa kepada keghairahan untuk memperoleh kejayaan. Langkah pertama yang tepat. Kedua, adalah usulan saya buat Madihah dalam merungkai lambakan tempat pengajian fizik.
Saya mendengar ada tawaran untuk Madihah melanjutkan pelajaran fizik di Jordan. Jelas, saya fikir Madihah tak perlu berfikir panjang untuk menolak tawaran sedemikian. Berdasarkan kepada pencapaian yang Madihah peroleh, ada tempat yang lebih baik dari Jordan, mahupun mana-mana negara Arab. Mahu atau tidak, diakui negara Arab bukanlah tempat sesuai untuk menjadi ahli fizik yang cemerlang.
Lalu, saya cadangkan Jerman, atau Switzerland, atau Austria, atau Amerika Syarikat. Negara-negara ini punya lebih alasan untuk Madihah berkembang menjadi ahli fizik yang berpenyelidikan perdana.
Sebab, bagi menjadi ahli fizik yang baik, Madihah juga perlukan tempat yang baik. Dalam bidang fizik, disepakati Max Planck Institute (Max Planck Gesellschaft) atau ETH Zürich merupakan dua tempat pendidikan fizik yang terbaik di dunia hari ini. Boleh cuba juga di Universität Wien, Austria. Ataupun pilihan yang berikutnya di Princeton University, Massachusetts Institute of Technology (MIT) atau California Institute of Technology (Caltech) di Amerika Syarikat.
Justeru, kita tak perlu terseret dengan tanggapan persekitaran. Tak perlu takut pada Eropah. Malah, persekitaran Arab belum tentu Islamik, berbanding dengan persekitaran Eropah. Jadi, usah resah pada sebuah kata: barat. Yang seharusnya lebih dirisaukan ialah "tak tahu," dan kesedaran untuk mencari "tahu." Budaya barat adalah cabaran. Lantas, yang patut diselesaikan ialah soal menguruskan beza budaya tersebut. Bukan melarikan.
Tampak, betapa herotnya wajah kita pada barat, atau Barat. Ini sama juga herotnya citra fizik di Malaysia. Selama ini, khalayak sering memikirkan bahawa bidang fizik adalah lekeh, ringan, dan sebagainya. Barangkali mereka turut merasakan bidang fizik tak punya harapan. Tiada masa depan. Memang, tak salah juga percaya demikian. Apatah lagi, sebelum ini, fikiran khalayak sering saja terseret dengan dasar materialisme/instrumentalisme yang disumbat oleh kerajaan.
Mithal saja kecenderungan universiti-universiti di negara kita. Lebih kurang sedekad yang lepas, apa yang kerajaan utamakan ialah bidang kejuruteraan. Hujah ramai, kita akan lebih mudah memperoleh pekerjaan. Sementara, pihak industri juga dikatakan lebih condong pada pelajar dari aliran kejuruteraan. Hasilnya, bidang sains tulen—seperti fizik, kimia, matematik, dan biologi—di universiti-universiti telah kehilangan penuntut yang bermutu. Lalu, bidang sains tulen terpinggir dan jatuh ke taraf “menjadi guru sekolah.”
Pendekatan kerajaan ini amat senget! Kesannya, kita boleh lihat sekarang. Semak saja jabatan fizik di universiti-universiti di Malaysia, rata-ratanya sudah berdepan dengan kepupusan ahli fizik yang berkebolehan. Tiada pelapis yang berwibawa.
Memang, kita mampu menghasilkan ahli fizik, atau akademia fizik, setelah kerajaan hantar mereka ke luar negara. Tapi sebaik manapun ahli fizik yang kita ada dewasa ini, tetap saja kita tak mampu nak melahirkan ahli fizik teori. Sampai hari ini, kita maseh tiada lagi ahli fizik lulusan dari institusi bergengsi seperti Max Planck Institute dan ETH Zürich. Ini tambah-tambah lagi corak penyelidikan fizik di universiti kita sekarang lebih banyak tertumpu pada fizik ujikaji.
Tampak, bidang fizik teori begitu lompong di Malaysia. Di Universiti Malaya kita ada Keshav N. Shrivastava. Itu pun terpaksa pinjam dari India. Di UPM, kita ada Hishamuddin Zainuddin, yang pernah menuntut dengan Christopher Isham. Tapi di sana tak pula dibekalkan dengan pasukan teori yang berkesan. Manakala di UKM, ada Lim Swee Cheng. Walau bagaimanapun, kemudian bersama murid hebatnya, Sithi V. Muniandy, mereka ‘terpaksa’ mengundur diri—gara-gara budaya penyelidikan fizik teori yang tak disambut baik.
Malah, kursus matematik-fizik peringkat sarjana yang pernah dijalankan di UKM pun akhirnya turut dimansuhkan kerana ketiadaan pengajar. Walhal, bukanlah kerana ketiadaan pengajar sangat pun. Sebaleknya, lebih kerana ketaksenangan permainan politik terhadap individu tertentu. Akhirnya, pendidik matematik-fizik sebaik Shaharir Mohamad Zain—yang memulakan kursus tersebut—pun tak dipedulikannya.
Bahkan, saya percaya UTM yang memiliki Institut Ibn Sina, juga mengalami masalah yang sama, sampai superkomputer yang amat mahal dibeli mereka, akhirnya terbengkalai begitu saja. USM, meskipun sebagai Universiti Apex, belum lagi terserlah dalam bidang fizik teori.
Justeru, kita memang tandus ahli fizik teori. Saya fikir Madihah perlu mengisi kekosongan tersebut, jika memang bidang fizik yang diminatinya. Tapi, untuk berjaya sebagai ahli fizik teori yang baik, itu pasti tak terdapat di Jordan, atau di negara-negara Arab, atau di Malaysia sekalipun! Madihah, atau mereka yang berminat dengan fizik, mesti ditawarkan ke negara-negara yang serius dalam penyelidikan fizik tinggi.
Saya usulkan Jerman sebagai pilihan pertama kerana beberapa faktor. Tak nafi, jerman adalah antara pemuka bidang fizik berbanding negara-negara lain. Fizik kuantum dan fizik kenisbian, kedua-duanya adalah fizik moden, yang terasas dari tradisi sains negara tersebut. Dewasa ini, penyelidikan fizik sudah menjadi asasi di Max Planck Institute. Begitu juga ETH Zürich dan Universität Wien yang tak kurang hebatnya.
Kemudian Amerika Syarikat. Bukan Britain. Siapa yang arif sistem pendidikan, pasti akan lihat ada beza besar antara sistem pendidikan dua buah negara Anglo-Saxon ini. Dua benua, dua mutu.
Tentunya, sistem pendidikan di Amerika, bukan saja lebih ikhtisas, tapi turut memperkenalkan umbaian bidang yang mengukuhkan kursus utama yang ditekuni. Saya ambil contoh di MIT. Di sana, mereka yang menekuni matematik, boleh saja turut menekuni bidang falsafah dalam waktu yang sama. Dan, hujungnya kita boleh memperoleh ijazah dalam dua-dua bidang secara serentak—major dan minor.
Tentu ada yang bertanya. Kenapa perlu disibukkan dengan pelajaran falsafah pula? Sedangkan kita mahu belajar matematik, atau fizik saja?
Sebabnya, untuk setiap perkara yang mencetuskan penyelidikan yang hebat-hebat, itu tidaklah bermula dari bilek makmal semata. Hadiah Nobel bermula dari berfikir. Terbukti, kebanyakan penemuan adalah terhasil daripada daya intuisi. Untuk menajamkan intuisi, budaya kefalsafahan sangatlah membantu. Kerana itu, sistem pendidikan kebelakaan (holistic) amat ditekankan di Amerika Syarikat, juga di negara bernuansa Jerman.
Kelemahan di Malaysia, kita terlalu berbau Britain. Segalanya seperti Britain semata, seolah-olah dunia fizik hanya ada Isaac Newton. Tidak Gottfried Leibniz. Barangkali ini tempiasnya daripada dampak penjajahan; minda tertawan dan jiwa abdi. Mungkin belajar di Cambridge University juga bagus. Penyelidikan teori tetali di sana juga hangat. Tapi saya tak fikir di peringkat sarjana muda fizik, universiti tersebut adalah sebagus dengan Max Planck Institute atau dengan ETH Zürich.
Demikian masalahnya di Malaysia. Masalah bukan sekadar berakar di universiti, tapi berumbi hingga ke sekolah. Di universiti, hampir tiada penekanan pada fizik moden. Kandungan matapelajaran fizik di kuliah-kuliah lebih bercorak status quo, sampai mengabaikan jalur-jalur fizik yang lain. Kalau di sekolah pula, semua buku teks fizik di sekolah tersudut pada Newtonian sahaja, dan para pelajar langsung tak diperkenalkan dengan fizik moden.
Jadi, jika pelajar tak diasah lebih awal dengan perbezaan pemikiran dalam fizik, maka tak mungkin kelak lahirnya ahli fizik yang bermutu di Malaysia.
Negara kita, dengan budayanya, memang bukan tempat menjadi ahli fizik yang cemerlang. Sama juga dengan negara-negara Arab. Sebenarnya, pendidikan di negara-negara dunia ketiga sudah terlalu lama dicengkam paternalistik, dan tak dibudayakan sikap kritis dalam penerokaan sains. Lalu, kita harus menuntut pencerahan baru. Barangkali surat ini adalah sebentuk pencerahan buat semua. Bukan untuk Madihah seorang.
Tapi khusus buat Madihah, pesannya mudah. Memileh harus cermat. Tapi, saya yakin, dengan memileh Jordan, atau mana-mana negara-negara Arab sekalipun, itu bukanlah sebuah pilihan yang bijak. Di sana, bukan untuk tempat subur untuk menjadi ahli fizik yang cemerlang. Tengok saja, penerbitan saintifik di seluruh negara-negara Arab adalah jauh lebih rendah dari sebuah negara Portugal. Sedangkan, jumlah penerbitan Portugal adalah terendah sekali di Eropah. Malah, Israel jauh lebih baik!
Hal ini mungkin tak lerai di sini. Nanti, ASASI, atau Akademi Sains Islam Malaysia akan menganjurkan Seminar Pemikiran Fizik Semasa. Menarik jika dapat hadhir. Di sana terdapat ramai ahli fizik teori yang berhimpun. Maka, sudah tentu pandangan-pandangan ini dapat diranumkan lagi. Sekian, selamat memileh!
Monday, March 23, 2009
Madihah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
8 comments:
Aqil,
harus ada orang ASASI yang bertemu beliau. dan aku sokong sepenuhnya untuk dia sambung dalam bidang Fizik!
Terima kasih atas tulisan saudara. Saya menyokong penuh jika Madihah meneruskan usaha dalam penguasaan dan mempopularkan fizik teori di Malaysia. Terutamanya daripada kalangan 'orang' kita.
Terima kasih!
Terima kasih atas tulisan saudara. Saya menyokong penuh jika Madihah meneruskan usaha dalam penguasaan dan mempopularkan fizik teori di Malaysia. Terutamanya daripada kalangan 'orang' kita.
Terima kasih!
Salam. Hampa pi rumah dia kat Kg Parang Putin, Pengkalan Chepa. Rumah dia kat rumah Dr Yaakob Yusof bekas pensyarah pengajian Islam Malaysia, UiTM, Shah Alam.
Ja'afar Ahmadi, Pas Bukit Bintang14
Aqil; Ramai rakan pensyarah yang saya kenal menyatakan betapa hebatnya politik universiti. Malah, kadang-kadang, kebusukannya lebih busuk daripada politik kepartian. Moga-moga tidak terus berlarutan.
Apapun, niat Madihah untuk menyambung ke dalam bidang Fizik, tentunya murni. Cuma, saya rasa perlu ada pihak yang arif untuk membimbingnya. Salam
amin, lu kena tolong gua. gua sekarang buat mathematical physicist. tapi gua tak mau balik malaysia sebab kerjaya sebagai string theorist tak ada di malaysia.
gua suka quantum mechanics. semester gua belajar derivation of Heisenberg Uncertainty Principle using Linear Algebra. Last sem gua guna fourier integral and gaussian function.
sejak bila fizik UM pinjam Prof Keshav dari India. Dia yg apply post tu di UM.
Erm, belajar di luar negeri bukan semudah transfer dari kampung di kelantan dan boleh terus duduk di mana2 negara yg disebutkan. Terutamanya pada umurnya yang masih muda, dan nampaknya, tidak pernah terdedah pada apa2 di luar kg halamannya (memang tidak perlu terlalu terdedah utk cemerlang dlm SPM), dia akan melalui kecutan budaya yang amat. Dan SPM memang tidak menyediakan seseorang utk cemerlang dalam sistem2 lain (yang kurang menekankan peperiksaan akhir sebagai pengukur kepandaian). Adakah dia mempunyai kematangan, minda terbuka dan kekuatan dalaman utk melakukan sesuautu yang akn di luar kehidupannya yang walaupun miskin, amat tertutup. Semua ini perlu difikirkan sebab apa yang boleh berjaya di Malaysia tidak semestinya boleh berjaya di tempat lain. Aku cakap juga dari perspektif seorang yang mendidik pelajar2 kolej di satu universiti elit, seumur atau lebih muda dari Madihah.
Maaf, aku baru ternampak blog entri lama ini so baru komen. Kau tau apa jadi dgn Cik Madihah ini? Tak dapat apa2 berita yg substansi ttgnya walaupun google. Ok sambung kerja.
Post a Comment