www.flickr.com

Thursday, January 14, 2010

Dua Filsuf Indonesia

Dalam limpahan tokoh di Indonesia, tak lepas dua nama yang sebenarnya jarang didedangkan. Ya, mereka tak terkenal, tapi penting. Yang pertama adalah Franz Magnis-Suseno, dan yang kedua adalah F. Budi Hardiman.

Menariknya, mereka bukan politikus, tapi hanyalah filsuf. Pertanyaan awalnya, apakah begitu bernilai kehadhiran filsuf dalam sebuah negara? Tentu, sebagai filsuf, keduanya akan menjawab "ya." Tapi, jawapannya bukan sekadar kata, tapi tindakan.

Saya, kebetulan, sempat menuntut dengan mereka. Juga sempat menemubual mereka. Dan, barangkali akan ada sebuah kesempatan lagi. Darinya, saya belajar bagaimana Indonesia dimaknakan. Romo Magnis, begitu sapaan lazim pada Franz Magnis-Suseno, menyatakan bahawa falsafah itu bertugas untuk membela akal-budi (Verstand) dalam pembentukan negara.

Selain itu, padanya ini juga yang akan memungkinkan sesebuah masyarakat tersebut untuk memikirkan rasional wawasan kenegaraan mereka.

Memang, kata rasional ada tentangan, terutamanya dari kehampaan yang ditunjukkan oleh Teori Kritis. Namun, rasional tetap saja asas penting. Ibarat kata Habermas, "sebuah projek yang tak selesai." Justeru, dari falsafah, kita berpeluang untuk membuka semesta wacana, dan dapat mengelak dari idealogi sempit.

Lihat saja di Indonesia. Budaya falsafahnya sangat meriah. Kelompoknya kecil saja, tapi ada dan bererti. Tentu saja peranan ini dimainkan baik oleh Sekolah Tinggi Filsafat Driyarkara (STF) wadah pada dua filsuf tadi.

Demikian pula F. Budi Hardiman, atau Pak Franky, yang setelah lapan tahun di Hochschule für Philosophie München, pulang menawarkan kerangka kenegaraan yang sistematik pada Indonesia. Belum sepenuhnya terlaksana, tapi sudah mula terarah. Maka, tak salah, jika rancaknya wacana demokrasi deliberatif di Indonesia adalah tak lari dari peranan filsuf muda ini.

Dari Pak Franky, demokrasi deliberatif ditunjukkan sebagai antara pilihan terbaik untuk menyelesaikan kemelut konsep kewarganegaraan, berbanding dengan konsep komunitarian, ragam-etnik, dll. Indonesia, yang biarpun ragam-etnik, amat beruntung. Mereka bukan saja telah lama belajar pluralisme, malahan kian mendekati demokrasi deliberatif ini. Dewasa ini, bangsa Indonesia makin jelas, apa peranan hukum, apa peranan negara, dan apa peranan rakyat.

Ternyata, falsafah bukanlah omongan berat, dan sampah. Sebab, dari Habermas--sama melalui Pak Franky sendiri, atau McCarthy--telah berjaya memaparkan bagaimana teori dan praktik adalah dua hal yang tak terpisah, seperti pengetahuan dan kepentingan. Melalui Habermas, falsafah membentangkan-- mitahalnya kegunaan Leviathan-nya Hobbes, Phenomenology-nya Hegel, Critique-nya Kant, Capital-nya Marx, dll--dalam kehidupan seharian, khususnya dalam taabir politik.

Lalu, atas semangat ini, falsafah selamanya tak pernah mati. Ini pasti. Falsafah sentiasa ada peminatnya. Malah, negara yang tanpa falsafah-lah yang akan mati. Sebab, negara tersebut tak ada penjelasan memuaskan (rasional) tentang sebarang kemelut yang berlaku, dan tentu akan berlaku lagi, dan lagi.

Demi falsafah, manusia hidup dalam kebahagian. Demi falsafah, kehidupan kita akan jadi lebih bermakna: yang dalam erti, menjernihkan jalur perbezaan, dan menghayati keindahan perbezaan. Ini juga sejajar dengan semboyan STF: "Ex Philosophia Claritas" (dari falsafah muncullah kejernehan).

Itulah falsafah. Itulah harganya: kejernehan. Bak kata Habermas sendiri, "filsafat dengan tegas mempertahankan peranannya sebagai penjaga kerasionalan."
Powered by Telkomsel BlackBerry®

No comments: