www.flickr.com

Saturday, September 30, 2006

Ramadan (7)

Ya Allah, tolonglah daku di dalamnya untuk melaksanakan puasa dan shalat malam, jauhkan di dalamnya dari dosa dan kesalahan, anugerahkan padaku di dalamnya untuk berzikir pada-Mu dengan bimbingan, wahai Yang Membimbing orang-orang yang tersesat.

Friday, September 29, 2006

Ramadan (6)

Ya Allah, jangan hinakan daku di dalamnya dengan melakukan kemaksiatan pada-Mu, jangan timpakan siksa-Mu padaku, jauhkan daku di dalamnya dari sebab-sebab murka-Mu dengan segala kurnia dan anugerah-Mu, wahai Puncak keinginan orang-orang yang berharap.

Thursday, September 28, 2006

Sembuh

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kaseh yang tidak terhingga di atas kerjasama serta bantuan rakan-rakan teknikal yang begitu bertungkus-lumus menangani dan menyembuhkan masalah server Ummahonline.com di Cyberjaya ekoran digodam teruk oleh virus Akincilar baru-baru ini.

Rentetan itu, saya turut ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon ribuan kemaafan dari anda semua (kolumnis, ahli dan tetamu) yang sememangnya sungguh setia memeriahkan Ummahonline.com sebelum ini. Sejujurnya, saya turut merasa begitu kesal dengan apa yang telah berlaku, meskipun keadaan ini memang di luar jangkaan.

Walau bagaimanapun, segala rekod simpanan data Ummahonline.com masih lagi elok dan selamat. Justeru, semua status keahlian, kiriman artikel dan ruangan sembang yang dicatat sebelum ini masih lagi aktif serta tidak terusik akibat dari godaman tersebut.

Kini, setelah hampir dua minggu lesap dari pentas maya, hari ini Ummahonline.com kembali dengan ceria semata-mata untuk melapangkan ruang bagi mereka yang meminati wacana. Akhir, selamat bersua kembali di portal ragam fikiran tersebut!

Ramadan (5)

Ya Allah, jadikan daku di dalamnya tergolong dalam orang-orang yang memohon ampun, jadikan daku di dalamnya tergolong dalam hamba-hamba-Mu yang soleh dan taat, dan jadikan daku di dalamnya tergolong dalam para kekasih-Mu yang didekatkan pada-Mu dengan kasih sayang-Mu, wahai Yang Maha Pengasih dari segala yang mengasihi.

Wednesday, September 27, 2006

Ramadan (4)

Ya Allah, berikan daku kekuatan untuk melaksanakan perintah-Mu di dalamnya. Berikan kepadaku di dalamnya kelazatan berzikir kepada-Mu. Bantulah aku di dalamnya untuk bersyukur kepada-Mu dengan kemuliaan-Mu. Lindungilah daku di dalamnya dengan penjagaan-Mu dan perlindungan-Mu, wahai Yang Maha Pengasih dari segala yang mengasihi.

Tuesday, September 26, 2006

As-Sajjadiyyah

Ketika mana Imam Ali Zainal Abidin melihat dirinya berdepan dengan tirani yang enggan melapangkan mimbar-mimbar untuknya berdamping dengan kaum muslimin, lalu beliau mencari alternatif. Hasratnya adalah semata-mata untuk menghidupkan kembali kemurnian Islam yang hampir-hampir mahu dikambus oleh para penguasa ketika itu.

Dan, salah satu pendekatan yang dikembangkan oleh beliau ialah menerusi penyampaian du’a dan munajat. Bagi beliau, dengan bekalan seperti inilah, ia sekurang-kurangnya dapat menawari penyakit-penyakit ruhani yang melanda di kalangan umat pada ketika itu. Selain daripada itu, ia juga dapat membentuk etika pengabdian kepada Tuhan secara lebih sistematik lagi.

Malah, du’a dan munajatnya ini turut mendidik kita tentang bagaimana seharusnya sikap seorang mukmin semasa berdialog dengan Tuhan. Apatah lagi dialog sewaktu ujian mendatang, atau ketika kegelisahan yang menganggu fikiran. Bahkan, mungkin juga memberi pedoman kepada manusia yang ingin bertaqarrub kepada Tuhan, sekaligus melepaskan kerinduan serta kecintaan padaNya sambil mengharapkan ampunanNya.

Dari semua hasrat mengunung inilah, maka terhimpunnya teks du’a dan munajat yang kemudiannya lebih terkenal sebagai Ash-Shahifah as-Sajjadiyyah yang di sana telah memuatkan lebih dari lima puloh teks du’a dan munajat yang tersusun begitu indah, menyentuh kalbu, membangkit kesedaran, mengukuh iman, menebalkan keyakinan serta memperkuat keperibadian.

Malah, di dalamnya juga kita akan menemukan tatacara dan tatabahasa sempurna untuk melafazkan puji-pujian pada Allah swt, untuk mengagungkan namaNya dan untuk menyucikan zatNya. Dan, tidak dilupakan turut terselit umbaian shalawat dan salaam untuk Rasulullah saw, ahli keluarganya serta para penjejakinya.

Ramadan (3)

Ya Allah, kurniakan padaku di dalamnya ilmu dan kesedaran, jauhkan daku di dalamnya dari kejahilan dan kepalsuan, dan berikan padaku bahagian dari setiap kebaikan yang diturunkan di dalamnya dengan kedermawanan-Mu, wahai Yang Paling Dermawan dari semua dermawan.

Monday, September 25, 2006

Terengganu

Saya anak Terengganu. Anak jati negeri ulik mayang ini dibesarkan di Seberang Takir, sebuah perkampongan nelayan yang tidak indah, namun menyimpan sejarahnya yang tersendiri. Dan, bila saya membaca laporan Malaysiakini yang memuatkan kenyataan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Rosol Wahid mengenai projek-projek di Terengganu, saya seperti naik cemuuh (lagi!). Muak sungguh!

Saya tidak menafikan kenyataannya bahawa sebahagian besar projek-projek yang terdapat di Terengganu telah diberikan kepada anak tempatan. Ini memang sangat benar sekali. Tetapi, seeloknya sila jelaskan siapakah anak tempatan itu? Malah, beliau seharusnya turut sama membentangkan bagaimanakah tatakaedah projek-projek itu telah diberikan kepada kontraktor-kontraktor yang melibatkan anak tempatan tersebut?

Apakah projek pembinaan lapangan Equestrian di Lembah Bidong, Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, Stadium Tertutup dan naiktaraf Lapangan Terbang di Gong Badak, Pembinaan Universiti Darul Iman Malaysia di Besut --> itu semuanya telah melalui suatu proses tender terbuka, ataupun ia telah dianugerahkan kepada puak-puak tertentu? Jika ada pun tender yang dilakukan, bukankah ia hanyalah proses untuk mengelabui mata khalayak, kononnya pemberian tender ini sudah terjamin ketelusannya?

Demikian juga pembinaan jalanraya di seluruh Terenganu. Sejauh manakah beliau dapat memastikan bahawa memang tiada unsur kronisme dalam pembahagian tender-tender tersebut? Adakah pembinaan dan naiktaraf sesetengah jalanraya itu benar-benar mendesak, atau projek tersebut sengaja diada-adakan semata-mata memberi ruang untuk memunggah khazanah negeri? Mana lembaga berkecuali yang memantau kesemua projek-projek ini?

Sementara itu, mengapakah kontraktor yang sudah hilang kredibiliti – kerana gagal dalam projek sebelumnya – masih lagi dipilih? Dan, bagaimanakah boleh berlaku dalam permohonan tender, tiba-tiba ada kontraktor terpilih yang harus menerima Joint Venture (JV) dengan mana-mana syarikat kontraktor misteri? Bahkan, mengapakah ada kontraktor yang telah dipilih melalui proses terbuka untuk membangunkan suatu projek tertentu, kemudian ditarik kembali atas alasan-alasan yang kabur?

Di samping itu juga, tentang kesamaran projek penambakan pantai dan pendalaman sungai di Seberang Takir. Mengapakah penjanjian untuk kerja-kerja tersebut telah mempersetujui terma pembayaran berdasarkan secara meter per kiub? Nah, di mana untungnya terma ini kepada rakyat Terengganu --> yang awal-awal lagi sangat jelas memihak kepada kepentingan kontraktor tersebut?

Ekoran keraguan ini, maka saya tidak hairan bila Dato’ Seri Idris Jusoh memohon agar pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa II diserahkan kepada anak-anak tempatan. Kerana definisi yang tepat kepada makna anak-anak tempatan ini ialah kalangan kroninya. Tuduhan ini bukan sebarangan. Apatah lagi melihat barisan exco Kerajaan Negeri Terengganu – yang rata-rata terdiri dari kontraktor – maka sangkaan ini tidaklah jauh tersasar.

Sayang sungguh, Jawatankuasa Hisbah yang diwujudkan oleh Kerajaan PAS Terengganu di bawah pimpinan Tun Salleh Abas sebelum ini telah pun dihapuskan oleh Kerajaan Barisan Nasional. Jika tidak, barangkali ‘pembohongan bodoh’ puak-puak yang rakus ini mudah sekali dibongkar sekiranya dianggotai oleh mereka yang berintegriti. Tetapi, kini siapakah yang punya wewenang untuk melakukan pemantauan ini?

Sebab itu, saya begitu cenderung memilih sikap untuk membenarkan semua serangan Tun Dr. Mahathir terhadap dominasi Patrick Badawi. Melalui Menteri Besar boneka, Terengganu telah dijajah buat kesekian kalinya setelah penjajahan Siam, Jepun dan British. Harta dari ghanimah politik kini sedang lahap dibahagi-bahagikan sesama pembesar. Manakala, bendahara menteri di Putrajaya pula kian haloba sembari menanti-nanti kiriman ufti yang berikutnya.

Ramadan (2)

Ya Allah, dekatkan daku di bulan ini kepada keredhaan-Mu. Jauhkan daku di dalamnya dari kemurkaan dan kebencian-Mu, serta bimbinglah daku untuk membaca ayat-ayat-Mu dengan rahmat-Mu, wahai yang Paling Pengasih dari segala yang mengasihi.

Sunday, September 24, 2006

Ramadan (1)

Ya Allah, jadikanlah puasaku di bulan yang suci ini sebagai puasa orang-orang yang berpuasa sebenar-benarnya, shalat malamku di dalamnya sebagai orang yang shalat malam sebenar-benarnya, bangunkan daku di dalamnya dari tidur orang-orang yang lalai. Bebaskan aku dari dosa-dosaku wahai Tuhan semesta alam. Maafkan aku wahai Yang Maha Memberi ampunan kepada orang-orang yang berbuat dosa.

Saturday, September 23, 2006

Ya Ramadan

Ya Allah, bulan ini adalah bulan yang penuh berkah,
Bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Qur’an dan dijadikan petunjuk bagi manusia, keterangan dari petunjuk dan penjelasan.

Bulan Ramadhan telah datang,
Selamatkanlah kami di dalamnya,
Selamatkan ia bagi kami, dan terimalah amal kami di dalamnya dengan kemudahan dan keselamatan dari-Mu.

Wahai Yang Menerima amal yang sedikit dan mensyukuri yang banyak,
Terimalah dariku amal yang sedikit.

Ya Allah, aku memohon pada-Mu,
Jadikan bagiku jalan pada semua kebaikan, dan jauhkan dari semua yang tidak Engkau cintai,
Wahai Yang Maha Pengasih dari semua yang mengasihi.

Wahai Yang Memaafkan kesalahanku, dan kejelekan yang kusembunyikan,
Wahai Yang Tidak menyiksaku kerana perbuatan maksiatku,
Maafkab aku, maafkan aku, maafkan aku wahai Yang Maha Mulia.

Tuhanku, kau sedarkan aku, namun aku belum juga sedar,
Kau halau aku dari larangan-Mu, namun aku belum juga terhalau,
Lalu apalagi alasanku,
Maafkan aku wahai Yang Maha Mulia,
Maafkan aku, maafkan aku.

Ya Allah, aku memohon pada-Mu kedamaian saat maut menjemputku, maafkan aku saat amalku dihisab.

Sungguh besar dosa dari hamba-Mu,
maka baikkan ampunan dari sisi-Mu wahai Yang Maha Pemelihara dan Maha Pengampun, maafkan aku, maafkan aku.

Ya Allah, aku adalah hamba-Mu putra hamba-Mu,
Lemah dan memerlukan rahmat-Mu,
Sementara Engkau Yang Menurunkan kekayaan dan keberkahan untuk semua hamba-Mu,
Engkau Maha Perkasa dan Maha Kuasa,
Engkau menghitung semua amal mereka,
Engkau membahagikan rezeki kepada mereka,
Engkau jadikan mereka berbeza-beza dalam bahasa dan kulit mereka dari generasi ke generasi seterusnya.

Hamba-Mu tidak mengetahui ilmu-Mu,
Hamba-Mu tidak kuasa pada kekuasaan-Mu.

Kami semua memerlukan rahmat-Mu,
Maka jangan palingkan wajah-Mu dariku,
Jadikan aku tergolong pada hamba-Mu yang soleh dalam amal dan keinginan, dalam ketetapan dan takdir-Mu.

Ya Allah, hidupkan aku dalam kehidupan yang terbaik, dan matikan aku dalam kematian yang terbaik,
Mengikuti para kekasih-Mu,
Menjauhi musuh-musuh-Mu,
Takut dan taat pada-Mu
Memenuhi dan menerima perintah-Mu,
Membenarkan kitab-Mu dan mengikuti sunnah Rasul-Mu.

Ya Allah, semua yang ada dalam hatiku,
Keraguan dan perlawanan,
Keputus-asaan dan kesenangan yang berlebihan,
Kesombongan dan kebanggaan ketika mendapat nikmat,
Prasangka buruk, riya’, suka pujian, atau permusuhan,
Kemunafikan dan kekufuran,
Kefasikan dan kemaksiatan,
Atau yang lebih besar dari itu,
Atau sesuatu yang tidak Engkau redhai,
Aku bermohon pada-Mu,
Gantikan semua itu dengan keimanan pada janji-Mu,
Pemenuhan pada perintah-Mu,
Redhan pada ketetapan-Mu,
Kehidupan zuhud di dunia,
Harapan pada yang ada di sisi-Mu,
Ketenteraman dan taubat yang sebenarnya,
Aku memohon pada-Mu semua itu ya Rabbal ‘alamin.

Tuhanku, Engkau dimaksiati kerana santun-Mu,
Engkau ditaati kerana kemulian dan kedermawanan-Mu,
Seolah-olah Engkau tidak pernah dimaksiati olehku dan oleh seluruh penghuni bumi.

Kerana itu, berikan pada kami,
Kurnia-Mu Yang Maha Dermawan,
Kebaikan-Mu Yang Maha Prihatin,
Wahai Yang Maha Pengasih dari segala yang mengasihi.

Semoga shalawat yang abadi, yang tak terhitung jumlahnya dan tak terukur nilainya oleh selain-Mu,
Wahai Yang Maha Pengasih dari segala yang mengasihi.

Monday, September 18, 2006

ISIUKM

Memikirkan sesuatu yang ajaib dari pilihanraya kampus kali ini ibarat si buta membilang bintang di langit. Saya tidak menaruh harapan. Sama sepertimana yang saya ungkapkan pada mStar Online, bahawa tiada perkembangan positif yang dapat membezakannya dengan corak tahun-tahun sebelumnya.

Kononnya demokrasi yang bermain diamalkan oleh para politikus universiti itu sebenarnya tidak ada. Langsung! Di UKM, pancaindera saya lekas menangkap bagaimana Kelab Aspirasi selesa dengan standard berbeza, sambil sarat dibantu oleh sokongan moral serta dukungan infrastruktur dari para politikus universiti.

Memang, untuk lebih jauh, saya tiada bukti kukuh bahawa Kelab Aspirasi telah mendapat dukungan kewangan dari mana-mana pihak, dalam mahupun luar. Namun, ketiadaan bukti bukanlah bermakna wasangka saya ini sewenang-wenangnya boleh lerai dari fikiran.

Kerana, sudah terang lagi bersuluh, Kelab Aspirasi sebenarnya bisa menggunakan sebarang infrastruktur kampus, termasuklah kamsis, sebagai persediaan mereka untuk mengharungi pilihanraya kampus. Dan, tentunya hal yang sama tidak mungkin diizinkan untuk laskar-laskar dari Mampu --> yang saya percaya diterajui oleh ISIUKM, sebuah persatuan Islamis.

Kerana itu, saya ingin ingatkan bahawa pilihanraya kampus bukanlah wasilah tunggal dan muktamad. Sebaliknya, ISIUKM bisa saja menggunakan sebarang ruang-ruang yang lain untuk membuktikan kepada kampus serta masyarakat bahawa mereka sebenarnya jauh lebih berperanan dari PMUKM pimpinan Kelab Aspirasi.

Di samping itu juga, mereka tidak harus terkongkong dan terkepung dengan sudut Islamis mereka, lantas mengabaikan dinamika persekitaran mereka yang memerlukan mereka sentiasa bervariasi. Justeru, sangat mendesak untuk ISIUKM dan aktivis-aktivis kampus melakukan anjakan paradigma.

Malah, kesukaran mereka untuk mendampingi mahasiswa -- kerana kekangan-kekangan tertentu -- sepatutnya melebarkan lagi daya kreativitinya bagi melepaskan diri dari kemelut-kemelut yang membelenggu mereka selama ini.

Ekoran itu, ISIUKM usahlah terpana dengan kelaziman pendekatan yang mewarnai mereka sebelum ini. Mereka harus gerakkan suatu pendekatan revolusioner --> yang bercirikan semangat wacana. Saya timbulkan persoalan ini kerana kelihatan amat kurang terpampang di halaman kampus, ISIUKM memugar wacana-wacana yang berat, serius dan konsisten.

Lantaran saya sudah pesimis dengan ketelusan pilihanraya kampus serta kekuatan ISIUKM untuk mendobrak status-quo. Maka, eloklah saya awal-awal lagi berdu’a supaya tewasnya ISIUKM nanti akan mendorong mereka kembali menyemarakkan wacana-wacana yang segar dan progresif.

Saya tidak ragu-ragu bahawa ISIUKM punya jentera yang ampuh untuk tujuan ini. Sebab, hanya keluasan pemikiran sahaja yang dapat menjamin kecemerlangan alam aktivisme mereka. Selain daripada itu, mereka hanya melengkapkan lagi siri-siri kegagalan aktivis mahasiswa UKM sebelum ini.

Sunday, September 17, 2006

Godam

"Oleh cinta peribadi kian abadi
Lebih hidup, lebih menyala, dan lebih kemilau
Dari cinta menjelma pancaran wujudnya
Dan perkembangan kemungkinan yang tak diketahui semula
Fitrahnya mengumpul api dari cinta
Cinta mengajarinya menerangi alam semesta
Cinta tak takut kepada pedang dan pisau belati
Cinta tidak berasal dari air dan bumi
Cinta menjadikan perang dan damai di dunia
Sumber hidup ialah kilau pedang cinta" - Muhammad Iqbal

Muhammad Iqbal (1873-1938), sang pujangga besar dari benua kecil itu pernah menukil sajak elok ini dalam Asrar-i Khudi. Sebuah rakaman yang sangat indah --> mengambarkan semangat sebuah cinta. Nah, begitu juga Ummahonline.com! Mereka -- team portal, rakan teknikal, ahli dan tetamu -- adalah sebahagian daripada mereka yang cintakan idealisme, hidup atas cinta ini, dan bertahan kerana cinta ini. Dan, kerana itu, apakah mereka yang memiliki ilmu untuk kerja-kerja mengodam memikirkan bahawa idealisme itu akan lumat dan terhenti. Memang, jika ada yang memiliki ilmu yang menipis lantas ia menjadi kulit ular, namun di hujung sana maseh ada juga hati bersih yang menebal lantas ia menjadi sahabat. Mereka inilah yang selama ini membantu portal ragam fikiran ini. Mereka tidak lokek-lokek meruang masa, mengirim pandangan, memberi galakan, malah menghulur kritikan molek. Dan, tentunya godam bukanlah jawapan akhir untuk melumatkan idealisme mereka semua ini. Atas nama nama ini (cinta idealisme), duakan agar Ummahonline.com pulih seperti asal, atau tampil lebih baik lagi!

Friday, September 15, 2006

Shiffin

Teman-teman, izinkan saya berkongsi ceritera ini. Sebuah ceritera gementar. Dan juga, ceritera yang pernah dirakamkan dalam Nahjul Balaghah, sewaktu menantinya pertempuran Shiffin yang bersejarah itu. Baiklah, saya mulakan…

Alkisah, sesegera Imam Ali Abi Thalib dan tenteranya sampai ke Shiffin, maka datang khabar bahawa Mua'wiyyah dan tenteranya sudah terlebih dahulu tiba ke sumber air yang satu-satunya ada di situ. Mereka rupanya terlambat. Manakala, Mua’wiyyah pula enggan berkongsi. Betapa rasa amarah mula membuak. Tentera-tentera Imam Ali mula meminta izin untuk menghunus pedang. “Sumber air mesti direbut, dan jangan dibiarkan ia dibolot oleh tentera dari Istana Hijau itu”, desak tentera-tentera dari Kufah itu.

Namun, Imam Ali maseh tetap tenang. Bahkan, sempat menyabarkan tenteranya. Itulah Abu Turab seperti yang selalu dicoretkan dalam buku-buku sejarah. Buku The Voice of Human Justice, nukilan George Jordaq turut mencoretkan wajah yang demikian. Malah, dalam bening ketenangan itulah, Imam Ali menganjurkan jalan baru. Diplomatik! Lalu, tanpa ragu-ragu warkah diutus. Mua'wiyyah membaca.

"Tanpa perperangan, dan atas nama keadilan, mari kita kongsi sumber air tersebut", persis begitu catatan Imam Ali. Malangnya, Mua'wiyyah enggan menuruti, seenggan-enggannya! Bahkan, nasihat sampingan oleh 'Amr bin 'Ash, si penasihatnya yang cerdas itu, turut dilekeh-lekehkannya. Dalam logik politik Mua'wiyyah, bukankah sumber air yang dimilikinya itu satu kelebihan, yang tentunya ini akan dapat melemahkan kekuatan musuhnya?

Begitupun, Imam Ali bukannya insan berjiwa kerdil. Beliau adalah personaliti par-excellence, rakam Ali Shari'ati dalam Martyrdom: Arise and Bear Witness. Demi keamanan, demi nyawa, beliau maseh ingin mencuba. Bumi Shiffin yang bersih itu tidak seharusnya dimerahkan, sebelum tiba saatnya. Lagi utusan dikirim, sampai berkali-kalinya. Dan, setiap kali itulah permintaan tersebut tidak dipedulikan.

Nah, apa lagi ‘cara baik’ yang harus dibuat. Sifar! Bukankah sudah tiba saatnya Imam Ali dan tenteranya memulakan langkah? Tiada diplomatik lagi. Segalanya terhenti atas nama sebuah ego dari tanah Syam. Maka, kini hanya ada satu-satunya pilihan yang mulia, sepertimana satu-satunya sumber air yang ada. Dan, itulah juga pilihan terakhir. Lawan! “Untuk survival, sumber air mesti direbut dari mereka”, sepakat Imam Ali dan tenteranya.

Syahdan, sebelum bertempur, dan di hadapan kerumunan tenteranya, Imam Ali memulakan ucapan yang mengetarkan. Dalam buku Dah Guftor-nya, getaran inilah yang turut dirasakan oleh Murtadha Muthahhari setiap kali melewati khutbah ini. Sementara, tenteranya pula sepertinya tidak sabar-sabar menanti perintah. Semangat berkobar-kobar. Masing-masing ingin bangkit bersaksi. Lalu, di tengah-tengah suasana demikian, Imam Ali mengungkapkan:

"...mereka telah mendahului kita, dan mereka seperti kelaparan memohon perang dari kita. Justeru, hanya ada dua jalan bagi kita, sama ada kita tetap berada di sini dalam kehinaan serta kelewatan, ataupun membasahi pedang-pedang kita dengan darah-darah mereka, sehinggalah kita dapat melegakan dahaga dengan air tersebut. Kerana, sesungguhnya hidup di dalam kematian ialah mati sebagai penakluk, manakala mati di dalam kehidupan ialah hidup sebagai taklukan..."

Usai, maka percikan darah pun tertumpah di bumi Shiffin. Bumi itu. Dan, tumpahnya membenahi bumi atas dua pilihan tersebut, sesudah pilihan yang pertamanya dinafikan. Merah itu mengalir, terus-menerus, tanpa henti, sehinggalah Al-Qur'an dijunjung di hujung tombak...

Wednesday, September 13, 2006

Metalogik

Saya sendiri sememangnya bergaul antara keketaraan perwakilan dari dua aliran fikiran. Untuk mudah takrif, bilang saja antara puak-puak liberalisme dan puak-puak Islamisme. Izinkan saya simpulkan begitu.

Kerana itu, saya agak mengerti ketajaman fikiran kedua-kedua puak ini. Dan, harus saya kongsi, untuk mencari kejernehan fikiran bukannya bernoktah dalam pilihan dua puak yang terhad ini. Kita harus pergi lebih dari itu. Jauh. Maksud saya, harus menjangkau metalogik!

Umpamanya, kita renung balek secebis sejarah Islam di awal-awalnya. Metalogik yang dipraktikkan oleh Imam Husayn merupakan salah satu contoh menarik yang boleh kita semak kembali.

Beliau, ketika di Makkah, telah disarankan oleh Ibn Abbas, Muhammad Hanafiyyah, dll dengan sebuah catur strategi yang licik, cerdas dan selamat. "Tangguhkan saja kunjungan ke Kufah", pinta Ibn Abbas. Dan, "jangan berdada dengan tentera Yazid!"

Memang, secara logiknya cadangan tersebut amat bernas, lebih-lebih lagi mengenangkan realiti tak bertepi di Kufah. Namun begitu, Imam Husayn dan rombongannya sudah nekad melangkah.

Malah, Imam Husayn turut diperingatkan oleh Farazdaq ketika pertengahan perjalanannya menuju ke Kufah. Farazdaq, si penyair itu menukil dengan penuh perasaan, "hati mereka (orang Kufah) bersamamu, namun pedang mereka pula bersama Yazid". Itupun, Imam Husayn maseh memilih mengabaikan peringatan ini.

Nah, kini Imam Husayn dan yang lain akhirnya meraih apa yang diimpikannya, kecuali Imam Ali as-Sajjad dan kaum perempuan. Seperti ungkap Ali Shari'ati, mereka yang gugur itu telah menjadi jantung sejarah kemanusiaan. Sementara, Zaynab al-Kubra mula memercikkan pesan-pesan dari darah para syuhada.

Lalu, di sinilah bermula persoalan-persoalan besar yang harus ditebak maknanya. Apakah tindakan Imam Husayn ini bodoh dan bebal kerana tidak menuruti kepintaran anjuran Ibn Abbas, dll itu? Dan, apakah logik tindakan Imam Husayn untuk tetap berkunjung ke Kufah dalam keadaan dukungannya belum lagi dipastikan?

Dan, demikian juga, logik apakah juga yang telah mendorong mereka semua (keluarga dan pengikutnya) untuk terus menempuh badai gurun, sedangkan utusannya ke Kufah, Muslim bin Aqil sudah diketahui terkorban di tangan puak-puak Yazid?

Sungguh, persoalan ini maseh belum lagi terhenti begitu saja, sebelum terselaknya tabir metalogik transformasi tindakannya itu? Kerana, sepintas telahan, tindakan Imam Husayn ini langsung tidak diwarnai dengan aturan-aturan logik. Tetapi, berdosakah logik?

Logik, seperti yang kita ketahui, merupakan salah satu daripada teras falsafah. Begitu juga metafizik. Maka, bukankah dengan menyingkir falsafah sebenarnya hanyalah menjarakkan lagi pemaknaan terhadap tindakan Imam Husayn ini? Sebab, metalogik tidak akan hadir dari luar lingkungannya

Justeru, bagi saya, jalan untuk memahami dan menekuni metalogik seharusnya juga bermula dengan penaakulan secara falsafah, tentunya! Falsafah tidak bersalah. Bahkan, harus dicermati bersama bahawa falsafah itu hanya ada satu, bukannya ragam! Yang berbeza adalah natijah dari kefalsafahannya.

Kerana itu, jika kita mencarinya pada kubu-kubu liberalisme dan Islamisme semata-mata, saya yakin dan percaya, kita tidak akan mendapat kesempurnaan seperti mana yang termanifestasi dalam metalogik revolusi pewaris Adam!

Tuesday, September 12, 2006

Semesta

Barangkali ramai yang lebih berahi menonton berbanding dengan membaca. Apatah lagi, sekiranya bahan bacaan tersebut di luar persekitaran pendidikannya. Brian Greene, seorang professor dalam teori fizik tetali dari Columbia University pernah menulis buku, The Elegant Universe: Superstrings, Hidden Dimensions, and the Quest for the Ultimate Theory (1999). Meskipun buku tersebut berkategori popular, namun maseh membentangkan cabaran untuk menghadamnya. Sebab itu, saya begitu mashyuk bila bertemu dengan versi dokumentarinya. Nyata sekali, dokumentari ini telah membaur rasa gembira serta membuak rasa ghairah terhadap keasyikan fizik moden. Untuk sama-sama berkongsi perasaan tersebut, silalah semak jaringan yang dilampirkan di bawah, yang mana ketiga-tiga siri dokumentari ini dimainkan sekitar satu jam setiap satunya, tidak lebih!

+ The Elegant Universe: Einstein's Dream (siri 1)
+ The Elegant Universe: String's the Thing (siri 2)
+ The Elegant Universe: Welcome to the 11th dimension (siri 3)

Selamat menonton!

Sunday, September 10, 2006

Nubuwwah

Benak saya kadangkala rungsing memikirkan dampak wawancara ini --> Abdul Moqsith Ghazali: Nabi Muhammad bukannya nabi terakhir (Siri 3). Adakah ia hanya setakat mengundang emosi dan bikin gegeran khalayak semata-mata, tetapi akhirnya tidak menjurus kepada tingkat wacana-wacana balas yang bermutu?

Lantarannya, idea-idea di sini ternyata berseberangan dengan hampir seluruh fikiran kerencaman masyarakat Islam, lebih-lebih lagi terhadap puak-puak yang berfikiran konservatis, tradisionalis dan fundamentalis (jika diizinkan dengan permainan terminologi ini). Menerusi wawancara yang dilakukan oleh Ummahonline Team bersama dengan Abdul Moqsith Ghazali, koordinator Jaringan Islam liberal (JIL) ini, ia telah memuatkan lima butir fikirannya.

Ini termasuklah, (1) beliau mempercayai masih berlakunya penerusan pintu nubuwwah. Manakala, (2) beliau menyisihkan sari Islam daripada pengaruh Arabisme dan ajarannya yang tulen. Dan, tentunya betapa tindakan ini sekaligus mendorong ke arah peminggiran ketetapan shari’ah seperti poligami, hudud, dll. Kemudiannya, (3) beliau yakin bahawa manusia sebenarnya boleh menjadi baik tanpa memiliki agama.

Sementara (4) orang yang bijaksana sebetulnya tidak memerlukan lagi dukungan Al-Qur’an dalam membantu merumuskan mana-mana keputusan kehidupannya. Dan, ini juga sekaligus membawa pengertian bahawa akal itu lebih tinggi dari Al-Qur’an. Manakala, (5) Abdul Moqsith Ghazali menolak kesepakatan ijma’ dan mempersoalkan jumhur al-ulama’.

Saya yakin dan percaya, daripada empat rumusan terakhir yang diungkapkan oleh Abdul Moqsith Ghazali ini sebenarnya merupakan ciri-ciri lazim yang terbentuk dalam rasionaliti fikiran Jaringan Islam liberal (JIL). Jadi, butiran tersebut bukanlah suatu kejanggalan yang terdapat dalam ide semasanya. Namun, yang pertamanya – menolak pengakhiran nubuwwah – bagi saya, benar-benar sesuatu yang mengugat.

Dengan dakwaan ini, tentunya bermakna jendela wahyu masih lagi terbentang sampai kini. Walaubagaimanapun, pada Abdul Moqsith Ghazali, ia tidaklah membawa makna kepada pembentukan pemerintahan teokratik oleh sosok seorang nabi. Sebaliknya, ia mewajahkan seorang nabi yang sangat demokratik dan mengagih-agihkan kuasa yang dimilikinya.

Apapun, jangan ketinggalan, masih terdapat dua lagi daripada baki dalam siri wawancara tersebut – yang masing-masing sarat dengan gegerannya yang tersendiri. Harap-harap ada yang sudi menanti dengan penuh kesabaran di bilek Ummahonline.com.

Friday, September 8, 2006

Nimeh

Dengan Nama Allah, Maha Pengasih, Maha Penyayang. (1) Sesungguhnya Kami menurunkannya pada malam Lailatul Qadr. (2) Dan, apakah yang membuat engkau tahu apa itu malam Lailatul Qadr? (3) Malam ketetapan itu lebih baik dari seribu bulan. (4) Para malaikat dan ruhh turun di dalamnya atas izin Tuhan mereka, untuk menjalankan semua perintah. (5) Damai! Sampai terbitnya fajar.

Ayatollah Bahjat, dari sekolah pemikiran Najaf al-Ashraf dan Qom al-Muqaddasah pernah dikesahkan pengsan setiap kali membacakan perkataan ruhh (ayat 4) dalam Surah Al-Qadr ini ketika menunaikan shalat. Beliau, barangkali ada penghayatan lain tentang perkataan yang sarat makna ini. Manakala, dalam tafsir Ibn Kathir yang mashyur itu, ruhh ditafsirkan sebagai malaikat Jibreel `alayhis salaam.

Namun begitu, saya sepertinya tersinggung. Apakah tidak ironik dengan tafsiran sedemikian? Tidak adakah lagi tafsir yang lebih baik tentang perkataan ruhh tersebut? Dan, bisakah dihubungkan tafsiran ruhh tersebut dengan manifestasi pertengahan bulan Shaaban? Atau, itu semua perangkap bida'ah yang harus disisihkan jauh-jauh? Kalau dalam realiti kuantum, persoalan ini serba mungkin; ya atau tidak.

Wednesday, September 6, 2006

Alam

Hampir lima belas tahun dahulu, jika tidak salah ingatan saya, Pasir Raja merupakan sebuah kampong yang sangat indah dan mengasyikkan. Terpencil di Hulu Dungun dan punya sejarah yang tersendiri. Jujur, ketika itu air sungainya sangat-sangat jerneh, manakala kehidupan akuatiknya pula sungguh mempersonakan. Sesiapa saja boleh tersentuh dengan mainan alamnya.

Namun begitu, semalam saya berkunjung lagi untuk menikmati keasyikan tersebut, sambil-sambil singgah di Chemerong. Sayangnya, ia sudah nyata berbeza. Aktiviti pembalakan bagaikan meratah keindahannya. Bilang masyarakat Pasir Raja, dalam loghatnya yang unik, serta dengan susunan nada yang tampak pasrah, “warisan kami sudah pun ditoreh sampai ke gunung”. Jelas sekali, hukum zaman menghimpit mereka.

Sekuntum Rafflesia, dari spesies baru yang ditemui oleh Dr. Kamaruddin Mat-Salleh (UKM) baru-baru ini di Hulu Dungun mungkin boleh terpelihara dengan sempurna, tetapi bagaimana dengan nasib khazanah yang lain? Jika sungainya sudah demikian tercemar, maka apa lagi harapan yang ada untuk anak-anak Pasir Raja menikmati warisan berharga zaman-berzamannya?

Saturday, September 2, 2006

Du’a

Saya senang jika dapat memetik 'rengekan' du’a Ali Shari’ati ini sebagai renungan bersama...

“Tuhanku, siapakah orang kafir? Siapakah orang muslim? Siapakah orang shiah? Siapakah orang sunni itu? Apakah kiranya batasan yang membezakan mereka antara satu sama lain? Sungguh, aku menanti datangnya hari yang menyucikan kefahaman dan pengetahuan mengenai agama di negeri Islam ini. Sehingga seorang dari kita dapat memotretkan Fathimah seperti kupasan Sulaiman Katani, seorang doktor kristian; memotretkan Imam Ali seperti seorang kristian, George Jordaq memotretnya; mengerti ahlulbayt seperti telaah si Katolik, Massingon; memahami Abu Dzar seperti tulisan Abdul Hamid Judah as-Sahhar; mengurai Al-Qur’an seperti terjemahan Blache’re, seorang paderi gereja; atau, dapat berbicara tentang Nabi kita, Muhammad, seperti Maxim Rodinson, seorang penyelidik beragama Yahudi. Seperti juga saya berharap, suatu hari nanti, Islam dan para pendukungnya serta para penegak wilayah dapat bersama-sama menerjemahkan karya orang-orang kafir yang itu…”
Untuk lebih lanjut, sila semak dan baca dalam buku Ad-Du'a beliau.

Friday, September 1, 2006

Keanehan Grisha

Menolak Fields Medal 2006, enggan menerima anugerah dari European Mathematical Society dan kemudiannya sinis dengan hadiah US1 Juta dari Clay Mathematics Institute di Boston. Beliau juga tidak melayan permintaan temubual media serta langsung tidak berminat dengan jurnal-jurnal akademik. Semua pendirian ini adalah karekteristik Grigory ‘Grisha’ Perelman, seorang matematikawan misteri dari Steklov Institute of Mathematics, Russia. Malah, beliau menuduh para juri yang menilai hasil kerjanya tidak cukup layak, manakala komuniti matematikawan pula dianggapnya sebagai hipokrit serta hidup penuh dengan ketidakjujuran.

Grisha – yang pernah memenangi International Mathematical Olympiad dengan catatan markah sempurna ketika berusia 16 tahun – sebenarnya cuba untuk lari dari kelaziman sambil melihat persoalan-persoalan di sekelilingnya dari dimensi yang berbeza. Sebab itu beliau cuba menyindir komuniti matematikawan konvensional dengan menyatakan bahawa bahawa sebarang hasil kerjanya tidak pernah dibiayai oleh mana-mana dana sekalipun. Ia adalah dari tabungannya sendiri. Tidak hairan, Professor Marcus du Sautoy dari Oxford University cuba memahaminya dengan berkata, “Perelman sebenarnya tidak berminat dengan wang. Baginya, anugerah terbesar ialah berjaya membuktikan teoremnya”.

Dan, Grisha namanya tiba-tiba mashyur bilanya diumumkan sebagai antara pemenang Fields Medal 2006 – anugerah yang dianggap sekelas dengan Nobel. Ini kerana hadiah Nobel yang berprestij itu tidak diberikan kepada bidang matematik. Tiga kertasnya yang menarik itu mula disiarkan dalam Arxiv [(1) Finite extinction time for the solutions to the Ricci flow on certain three-manifolds, (2) Ricci flow with surgery on three-manifolds, (3) The entropy formula for the Ricci flow and its geometric applications] semenjak November 2002 lagi. Dan, kini ia terpaksa ditutup kerana ribuan orang ingin membacanya serentak. Dalam kertas tersebut, Grisha membuat sumbangan penting ke atas geometri Riemann serta topologi geometrik.

Secara khususnya lagi, Grisha telah berjaya membuktikan konjektur geometri Thurston yang melibatkan struktur geometrik pada persoalan matematik yang lebih dikenali sebagai manifold. Dan, pembuktiannya ini sebenarnya merupakan penyelesaian ke atas konjektur Poincaré. Justeru, ekoran konjektur Poincaré ini merupakan persoalan khusus yang terdapat dalam konjektur Thurston, maka ini sekaligus bermakna Grisha juga telah berjaya membuktikan kebenaran konjektur Poincaré, yang selama seabad terakhir ini dianggap sebagai masalah matematik yang paling sukar.

Malangnya, sumbangan Grisha ini barangkali adalah hasil kerja matematik terakhirnya yang dapat kita saksikan. Grisha, yang hanya baru berusia 40 tahun, kini dikhabarkan sudah bersara dan enggan dikenali sebagai seorang matematikawan lagi. Tinggal bersama ibunya di St. Petersburg, Grisha hanya hidup atas wang pencen ibunya. Malah, beliau cukup tidak senang dengan tindakan Asian Journal of Mathematics pada Jun 2006 yang menyiarkan kertas kerja Xi-Ping Zhu (dari Sun Yat-sen University, China) & Huai-Dong Cao (dari Lehigh University, Pennsylvania). Kertas tersebut “A Complete Proof of the Poincaré and Geometrization Conjectures - application of the Hamilton-Perelman theory of the Ricci flow” merumuskan hasil Grisha secara lengkap dan akademik mengenai pembuktian konjektur Poincaré.

Sebenarnya, keunikan pendirian Grisha ini bukanlah suatu kejanggalan dalam dunia akademia. Sekiranya Richard Feynman tidak menolak hadiah Nobel 1965 atas sumbangan elektrodinamik kuantum bersama Julian Schwinger dan Shin-Ichiro Tomonaga, tentunya Feynman juga seperti Grisha. Kerana, selain hadiah Nobel, Feynman sebelum itu sudah pun menolak sejumlah besar pengiktirafan yang diberikan kepadanya. Malah, fikiran Feynman tidak kurang gilanya. Bahkan tidak mustahil, kita mungkin juga akan saksikan nanti seorang Felo Akademi Sains Malaysia yang akan memulangkan semula anugerah felo tersebut. Beliau, yang memang tidak melihat peranan signifikan Akademi tersebut, khabarnya hanya menunggu saat yang sesuai untuk berbuat demikian.

Begitu juga dengan sikap ‘tidak betul’ Grisha. Ia juga bukanlah suatu keanehan. Pernah diceritakan, seorang mantan professor fizik teori dari UKM, hanya tahu menggunakan keretanya semata-mata, tetapi tidak pernah ambil peduli soal minyak pelincir (dan maintenance) kereta tersebut. Dan, kereta tersebut terus-menerus digunakannya sampailah rosak dengan sendirinya. Kalau tidak membeli kereta baru, tentunya ribuan ringgit sudah terbuang untuk memperbaiki kereta tersebut. Lebih lucu lagi, kalau anda pernah dengar kesah telatah sosial seorang professor fizik optik dari UM, yang dipercayai boleh bikin hairan dan ketawa yang tak sudah-sudah dari kita.

Memang, alam saintis itu kadangkala indah dan mengasyikkan. Namun, usahlah dihairankan jika anda bertemu dengan saintis yang berperangai seperti ini, lantaran Grisha bukanlah satu-satunya saintis yang pernah berperangai demikian. Dan, barangkali menonton filem A Beautiful Mind (2001) boleh membantu kita memahami 'spesies' Grisha dengan lebih baik lagi.